Pelari pecut muda negara, Mohd Azeem Fahmi, telah mencatat rekod baru acara pecut 100m apabila dia mencatatkan masa sepantas 10.09 saat, sekaligus melayakkanya untuk beraksi dalam peringkat separuh akhir acara tersebut dalam Kejohanan Olahraga Bawah-20 Dunia di Cali, Colombia.
Azeem memecahkan rekod yang dicipta oleh Khairul Hafiz Jantan , 10.18 saat, yang direkod dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Kuching, Sarawak.
Jika dilihat kepada larian Azeem, ternyata dia belum mengeluarkan kesemua keupayaannya lagi dan tidak mustahil untuk mengatakan bahawa dia bakal menjadi rakyat Malaysia yang pertama berjaya mencatatkan masa di bawah 10 saat!
Kejayaan ini adalah hasil usaha tanpa kenal putus asa Azeem yang pernah disingkirkan dalam acara 100m di Sukan SEA Hanoi.
“Saya gembira dapat catatkan masa kedua terpantas dalam peringkat saringan,” ujar Azeem kepadaTimesport.
“Saya berada di landasan yang tepat untuk mencatatkan masa di bawah 10 saat,” tambahnya lagi.
Dalam perlumbaan saringan kelapan tersebut, Azeem bermula dengan begitu baik dari blok permulaan dan mula mendahului pelari lain selepas 40 meter. Dengan bersahaja dia mengekalkan ketenangan dan dilihat dengan begitu mudah tanpa perlu bersungguh-sungguh untuk memenangi saringan.
Sebagai tanda syukur, Azeem sujud syukur sebaik selepas perlumbaan.
Untuk rekod, Azeem bukan sahaja cemerlang di lapangan olahraga, malah dia juga turut cemerlang dalam bidang pelajaran.
Pada bulan Jun lalu, Azeem telah mendapat keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan dia boleh menjadi contoh kepada anak muda lain bahawa pelajaran dan karier boleh diseimbangkan.
its never easy to balance your study and sports but alhamdulillah i did it !🤍 pic.twitter.com/hNlWIVDWy0
— azeemfahmi (@_azeemf) June 16, 2022
Pelari dari Bostwana, Letsile Tebogo yang mempunyai rekod peribadi terbaik 9.94 saat, muncul pelari terpantas dalam kesemua lapan saringan apabila dia mencatatkan masa 10.00 saat.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi pada bulan Mei lalu, Puripol Boonson dari Thailand, muncul pelari ketiga terpantas dengan catatan masa 10.20 saat di saringan keenam.
Pusingan separuh akhir akan dilangsungkan pada hari ini, 2 Ogos 2022.
Mungkin ramai anak muda terutamanya, memasang impian untuk berlari selaju Haiqal Hanafi. Berikut adalah antara latihan yang boleh diamalkan.
Fasa pertama : Pecutan
Dua langkah di bawah membantu anda meningkatkan daya pecutan ke tahap maksimum dalam jarak yang singkat, terutamanya ketika permulaan larian.
Lompat Arnab (Bunny Hops)
Rutin : 5 set, 20 kali
Seperti dalam video di atas, lompatan arnab dilakukan dengan dalam keadaan separa duduk, kangkang diluaskan, dan lompatan dimulakan dengan jarak dekat. Sebaik sahaja kaki mencecah lantai, lompatan berikutnya perlu dilakukan secepat mungkin.
Peningkatan latihan boleh dilakukan dengan melakukan lompatan jarak jauh, dan bersama tambahan beban.
Pecutan memerlukan peha yang kuat, maka latihan ini akan memberikan otot peha yang kuat untuk memacu daya permulaan pecutan.
Lompatan Kotak (Box jump)
Rutin : 4 set, 8 kali
Berkedudukan separa duduk seperti Bunny Jump, lompatan dilakukan ke atas sebuah kotak di hadapan. Ketinggian minimum kotak dicadangkan ialah 60cm, atau paras peha seseorang.
Lompat ke atas kotak, pegun seketika lalu lompatan turun ke belakang dilakukan. Sebaik kaki mencecah lantai, lompatan naik ke kotak dilakukan secepat mungkin.
Penting untuk memastikan kotak yang digunakan bukanlah sebuah kotak kertas. Gunakanlah kotak yang keras dan mampu untuk menampung berat badan anda.
Fasa kedua – Stride
Stride dalam bahasa mudahnya ialah melangkah luas – iaitu berlari dengan langkah yang besar secara konsisten. Kalau kita perhalusi larian Bolt, langkahnya yang luas mengekalkan halaju lariannya. Latihan ini memberikan tumpuan terhadap bahagian sendi flexor (hip flexor) dalam badan, kerana bahagian inilah yang akan menentukan sama ada kita mampu untuk mengekalkan larian pantas atau tidak.
Pacuan lutut berkabel (Cable knee drive)
Rutin : 3 set, 10 kali.
Cara melakukan cable knee drive adalah seperti di dalam video di atas. Lutut di kaki yang ditambat hendaklah diangkat setinggi mungkin, manakala kaki yang tidak ditambat perlu direndahkan sedikit dalam keadaan kuda-kuda.
Kaki Terangkat semasa tergantung (Hanging Leg Raises)
Rutin : 3 set, 10 kali
Cari mana-mana palang dan terus bergantung di palang tersebut. Angkat lutut ke paras dada secara perlahan-lahan sebagai permulaan. Setelah dah biasa, boleh tambah kelajuan pada hayunan lutut ke atas. Selain membantu hip flexor, latihan ini juga membantu memberikan bentuk badan yang ideal kepada mereka yang melakukannya.
Jadi tunggu apa lagi? Jangan buang masa!
Terus pergi berlatih. Bila dah laju nanti hubungi admin The Sukan untuk lumba lari. Rekod peribadi admin adalah 11.40 saat. Ada berani ke?