Azpilicueta: Piala FA Tidak Cukup Untuk Kelab Sebesar Chelsea

Pemain pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta berharap pasukannya mampu memenangi Piala FA musim ini tetapi piala tersebut tidak cukup untuk menyelamatkan kempen yang mengecewakan.

The Blues dilihat hampir pasti terlepas untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan  dimana mereka ketinggalan 10 mata di belakang penghuni tangga ke-4, Tottenham dengan perlawanan berbaki 6 sahaja lagi.

Penjaring gol Chelsea tetapi tidak cukup untuk meraih 3 mata penuh

Dalam perlawanan terakhir Chelsea, mereka sekali lagi mencatatkan keputusan yang mengecewakan, kali ini di hadapan penyokong sendiri apabila seri 1-1 menentang jiran sebandar, West Ham.

Tahun 2018 bukanlah tahun yang mahu diingati penyokong Chelsea. Mereka hanya mampu mencatatkan 3 kemenangan dalam 11 perlawanan sejak masuk tahun baru, dan turut tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah selepas tumpas di tangan Barcelona dalam pusingan kedua.

Chelsea bakal berkunjung ke pasukan yang bergelut, Southampton selepas ini dan kemudian, Burnley pula menanti dalam satu lagi aksi di tempat lawan. Pada 22 April pula, Chelsea sekali lagi bakal berhadapan Southampton dalam pusingan separuh akhir Piala FA di Wembley.

Naib kapten Chelsea, Azipilicueta mengakui persembahan pasukannya tidak cukup bagus musim ini dan penurunan prestasi yang dipamerkan Chelsea tidak dapat diterima oleh pemain mahupun penyokong yang mengharapkan lebih lagi daripada juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu.

Piala FA sahaja tidak cukup

“Kami semakin jauh dengan Top 4.”

“Piala FA merupakan trofi yang hebat, dan mempunyai sejarah yang panjang. Tetapi trofi ini sahaja tidak mencukupi untuk kelab seperti Chelsea.”

“Kami akan cuba untuk memenanginya, tetapi trofi ini tidak akan menyelamatkan kempen kami yang mengecewakan.”

“Untuk mencatatkan satu lagi keputusan seri di tempat sendiri dalam derby London merupakan perkara yang amat mengecewakan semua pemain dan juga peminat. Kami semua tidak gembira dengan apa yang telah berlaku.”

“Apa yang paling penting adalah kedudukan selepas tamat perlawanan. Saya berasa sangat kecewa kerana kami sepatutnya menang perlawanan tersebut.”

Walaupun Azpilicueta menegaskan beliau tidak akan berasa gembira dengan hanya memenangi Piala FA, pandangan tersebut tidak dikongsi rakan sepasukannya, Eden Hazard.

Chicharito, pemusnah harapan rakyat London Berdarah Biru

Hazard berpendapat adalah amat penting buat kelab seperti Chelsea mengakhiri musim dengan sesuatu yang hendak ditunjukkan atas kerja keras mereka sepanjang musim.

“Saya berharap kami mampu memenangi sesuatu musim ini demi peminat Chelsea dan juga para pemain. Kami masih lagi mempunyai Piala FA untuk difokuskan. Jadi kami perlu membawa pulang trofi tersebut ke Stamford Bridge pada penghujung musim nanti.”

Seperti biasa, sudah muncul spekulasi yang mengatakan musim ini bakal menjadi musim terakhir Antonio Conte sebagai pengurus Chelsea. Beberapa nama sudah dikaitkan dengan kerusi panas di Stamford Bridge tetapi satu nama dilaporkan menjadi pilihan pihak atasan Chelsea iaitu pengurus Juventus, Massimiliano Allegri.

BACA:  Costa Dedah Cerita Sebenar Di Sebalik Masalah Beliau Dengan Conte