‘Bagus Berbanding Mane’- Pundit Percaya Diaz Bakal Memenangi Anugerah Pemain Terbaik Tahunan

Bekas bintang Premier League, Stuart Pearce mengangkat pemain penyerang Liverpool, Luis Diaz sebagai calon pemenang anugera pemain terbaik tahun ini.

Diaz menyertai The Reds pada Januari lalu dengan yuran perpindahan bernilai £37 juta dan beliau sepertinya dengan segera telah memberikan impak seperti yang diharapkan.

Berdasarkan persembahan beliau dalam saingan Premier League dan Champions League musim lalu, pemain sayap itu jelas sekali membuktikan yang beliau pemain yang ada kelas tersendiri.

Walau bagaimanapun, pemain kebangsaan Colombia itu mungkin akan berdepan tekanan selepas beliau bakal menjadi pemain harapan Liverpool untuk aksi mereka pada musim baharu ini.

Dengan Sadio Mane sudah selamat menyertai Bayern Munich, jelas sekali Diaz bakal menjadi pemain yang akan diharapkan untuk mengetuai jentera serangan Liverpool terutama dari bahagian kiri.

Bekas pemain kebangsaan England, Stuart Pearce percaya yang Diaz akan mampu menyerap segala tekanan tersebut dan tidak akan ada masalah untuk menyerlah.

Bercakap kepada talkSPORT, Pearce meluahkan rasa percaya beliau yang Diaz bakal mampu untuk memenangi anugerah pemain terbaik tahunan Premier League pada tahun ini.

Beliau juga percaya yang Luis Diaz bakal menjadi pemain harapan dan pemain terbaik Liverpool sepanjang musim baharu ini.

Bekas pemain pertahanan West Ham United itu turut menambah lagi dengan menyatakan:

“Sangat teruja dengan Diaz musim lalu dan bagaimana dia menunjukkan aksi dia di atas padang.”

Pearce percaya yang pemain berusia 25 tahun itu boleh dikatakan langsung tak gugup ketika memegang bola dan ketenangan yang dimiliki oleh bekas bintang Porto itu sangat menakjubkan.

Beliau bahkan secara terbuka dengan beraninya menyatakan bahawa Diaz sebenarnya berpotensi untuk menjadi lebih hebat berbanding Sadio Mane.

Selain dari segi persembahan, beliau juga percaya yang Diaz ada kualiti penyudah yang jauh lebih bagus berbanding pemain penyerang kebangsaan Senegal itu.

Sepertinya pujian yang diberikan oleh beliau kepada Diaz tersangatlah tinggi, namun melihat kepada apa yang dipersembahkan oleh pemain penyerang itu, sepertinya kenyataan Pearce ada kebenarannya.

Pemain kebangsaan Colombia itu merupakan jenis pemain yang akan sentiasa mampu menghiburkan para peminat dengan kemampuan teknikal serta kualiti yang beliau ada.

Beliau sangat lincah dan beliau juga turut memiliki kepantasan yang sukar sebenarnya untuk pemain lawan tandingi.

Ramai yang percaya bakat semula jadi yang beliau miliki menyebabkan Diaz mudah serasi dengan sistem kendalian Jurgen Klopp dan andai beliau sudah terbiasa dengan kancah bola sepak Inggeris, tidak akan mengejutkan andai beliau akan mampu lebih bersinar.

Sebelum Sadio Mane pergi meninggalkan kelab lagi para peminat sudah mula meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada Luis Diaz.

Bahkan ketika Salah bersungguh seolah-olah mahu meninggalkan kelab pada penghujung musim lalu, ramai peminat yang sedikit tidak bimbang kerana mereka percaya Diaz bakal mampu menjadi calon pengganti terbaik bintang Mesir itu.

Walau belum satu musim bersama kelab, Diaz kini sudah berjaya membantu Liverpool memenangi gelaran Carabao Cup, FA Cup dan terbaru Community Shield.

Jelas sekali beliau berpotensi untuk menambah koleksi kejuaraan Liverpool selepas ini dan beliau juga akan turut menjadi pemain terpenting skuad.

Para peminat sudah tidak sabar mahu menyaksikan aksi beliau bersama Liverpool pada musim baharu ini dan semoga sahaja beliau akan mampu lebih bersinar.

Adakah Diaz akan mampu menepati ramalan ramai? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mane Terpaksa Tangguh Bulan Madu Kerana Isteri Perlu Kembali Bersekolah