Klopp Akui Persiapan Menentang Nottingham Adalah Paling Sukar Sepanjang Bergelar Pengurus

Jurgen Klopp berkata persiapan menentang Nottingham Forest dalam aksi Premier League pada Ahad adalah yang paling sukar pernah dilaluinya sejak bergelar pengurus pasukan.

Klopp memulakan karier di dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan ketika bersama Mainz 05 pada 2001 sebelum melatih Borussia Dortmund pada 2008.

Jurulatih dari Jerman itu tiba di Anfield pada 2015 dan berjaya mengubah Liverpool daripada sebuah kelab pertengahan liga yang sering gagal memenuhi potensi untuk menjadi sebuah pasukan yang kembali digeruni di England dan Eropah pada hari ini.

Walaupun berjaya memastikan Liverpool menang 3-0 dalam aksi pada malam tadi, bagi Klopp persiapan untuk perlawanan itu tidak mudah selepas mendapat perkhabaran di hotel penginapan pasukan ibu bapa Luis Diaz diculik di Colombia.

Ditemubual selepas perlawanan Klopp berkata: “Persiapan [untuk perlawanan ini] adalah yang paling sukar pernah dilalui sepanjang hidup saya.

“Saya tidak pernah menjangkakan akan berhadapan masalah seperti ini, dan tidak pernah bersedia berhadapan dengan situasi sebegini. Saya tidak berniat menjadikan perlawanan ini lebih penting berbanding apa yang telah berlaku.

“Perkara terutama ialah kami cuba membantu Lucho dengan memberikan cabaran di dalam perlawanan ini. Kami tidak boleh membantu [mencari ibu bapa] secara langsung, dan satu-satunya cara ialah berjuang untuk Lucho di atas padang, dan itulah yang dilakukan oleh rakan sepasukannya pada hari ini.

“Kami mendapat perkhabaran mengenai kejadian itu pada tengah malam dan kami berbincang dengan Lucho. Dia mahu pulang. Kami arahkan seseorang [daripada kelab] untuk menguruskannya.

“Masih ada sebahagian daripada keluarganya di sana [Colombia]. Itulah sebab mengapa mereka mahu bersama. Ia boleh difahami.

“Selepas itu kami mendapat perkhabaran ibunya telah dibebaskan, dan ia berita baik. Tetapi itulah sahaja perkhabaran yang kami perolehi.

“Mereka [pihak berkuasa] masih berusaha, tetapi ia jauh. Sudah tentu kami [Liverpool] bukan pihak pertama yang akan dinotifikasi mengenai perkembangan terkini, tetapi kami cuba untuk ambil tahu semua perkara. Perkara terpenting kami enggan menganggu.

Rakan sepasukan, Diogo Jota mendedikasikan jaringannya kepada Diaz dengan mengibarkan jersi No.7 milik pemain itu.

“Bagaimana anda boleh membuatkan bola sepak menjadi lebih penting seperti pada hari ini? Realitinya ia sukar. Saya tidak pernah bergelut sebegini,” tambah Klopp.

“Bola sepak sentiasa menjadi tempat selamat untuk saya. Adakalanya ia tempat saya bersembunyi sebagai pemain dan jurulatih.

“Sepanjang 90 minit anda hanya dibenarkan fokus untuk perlawanan. Dan ia mustahil pada hari ini. Sangat mustahil.

“Jadi ia sangat jelas semua pemain perlu memberikan fokus tambahan iaitu berjuang untuk Lucho. Kemudian pemain [Jota] mengibarkan jersi itu, dan saya sendiri turut tidak bersedia untuk itu. Ia amat menyentuh hati, tetapi pada masa yang sama ia juga sesuatu yang indah.

Jota turut berkongsi pendapatnya: “Luis bersama kami di hotel sebelum dia terbang pulang. Ia adalah situasi sukar dan saya tidak tahu bagaimana seseorang akan memberikan reaksi jika ia berlaku kepada mereka.

“Dia sepatutnya bermain [dalam perlawanan]. Tetapi sebaliknya saya yang bermain dan saya mengibarkan jersi miliknya sebagai tanda kami sentiasa bersamanya dan berharap semua urusan dipermudahkan.

“Ia sukar untuk membayangkan kejadian sebegini boleh berlaku. Kami hanya mampu memberikan sokongan kepadanya dan membuktikan sentiasa bersamanya.”

BACA:  Seorang Peminat Liverpool Buat Dakwaan Mengejutkan Mengenai 'Tuah' Manchester City