Benzema Anggap Siapa Saja Kritik Messi Dia Sebenarnya Buta Bola Sepak

Penyerang utama Real Madrid, Karim Benzema tampil menghentam para pengkritik Lionel Messi dengan mendakwa mereka semua sebenarnya langsung tak tahu pasal bola sepak.

Persembahan Messi bersama Paris Saint Germain pada ketika ini sering dipertikaikan oleh para peminat dengan ramai yang menganggap beliau berada di titik terlemah sepanjang kariernya.

Pemain berusia 34 tahun itu hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dari 11 penampilan dalam saingan Ligue 1 pada musim ini.

Namun begitu, persembahan beliau dalam saingan Champions League masih lagi mantap dengan Messi sudah berjaya menjaringkan lima gol dari lima penampilan.

Bekas pemain penyerang Barcelona itu kini telah menerima sokongan moral dari bekas seterunya dalam saingan La Liga, Karim Benzema yang mempertahankan kehebatan Messi.

Benzema menganggap Messi sebenarnya hanya sukar untuk beradaptasi dengan pentas bola sepak Perancis dan persembahan beliau sebenarnya tidak merosot.

Benzema menjelaskan kepada media Perancis, TF1 bahawa:

“Bagaimana mungkin dia tak akan berjaya?”

“Ia hanya jangka masa untuk menyesuaikan diri kerana dia tidak menjaringkan gol yang banyak. Tapi lihatlah apa yang telah dia lakukan di atas padang.”

“Dalam apa jua situasi, kamu tak boleh mengkritik pemain seperti itu. Sesiapa sahaja yang mengkritik Messi, mereka sebenarnya langsung tak tahu pasal bola sepak.”

Benzema bakal turun beraksi bertemu Messi sendiri bulan hadapan, kerana Real Madrid telah diundi untuk bertemu dengan Paris Saint Germain dalam saingan Champions League.

Madrid akan berkunjung ke Parc des Princes pada 15 Februari nanti, dengan aksi timbal balik pusingan 16 terbaik itu akan dilangsungkan di Bernabeu pada 9 Mac nanti.

“Pertemuan bertemu PSG tidak mungkin akan menjadi perlawanan yang mudah.”

Tambah Benzema lagi.

“Sejujurnya saya lebih sanggup untuk berdepan dengan pasukan lain.”

Bercakap tentang orang-orang yang mengkritik Lionel Messi, pada awal minggu lalu, penyampai Sky Sports, Jamie Carragher telah mendedahkan yang bintang Argentina itu memanggil beliau kaldai kerana bengang dikritik.

Carragher mendedahkan Messi memanggil beliau dengan gelaran kaldai menerusi mesej langsung dari laman instagram.

Carragher mendedahkan hal tersebut ketika beliau bersama rakan penyampai Sky Sports, Gary Neville sedang memilih kesebelasan terbaik FIFA 22 pilihan mereka.

Sambil bergurau, Jamie Carragher mendedahkan kepada Dave Jones di acara Friday Night Football bahawa beliau menerima pesanan dari Messi.

Carragher:

“Saya ada mengata Ronaldo pada awal musim lalu. Saya tak fikir yang beliau merupakan penandatanganan terbaik untuk United. Dan saya jadikan Messi sebagai contoh. Saya tak rasa Messi merupakan penandatanganan terbaik untuk Paris Saint Germain.”

Jones:

“Itu ketika di acara Monday Night Football bukan?”

Carragher:

“Ya, ia berlaku di acara Monday Night Football dan lepas dari itu saya dapat mesej peribadi di Instagram…”

Jones:

“Dari pemain itu sendiri?”

Carragher:

“Ya dari pemain itu sendiri. Saya tak boleh tunjukkan mesej peribadi itu, tapi kesimpulannya dia memanggil saya kaldai.”

Jones:

“Jadi dia ada tonton aksi permainan dia sendiri?”

Carragher:

“Dia tonton Monday Night Football, jadi harapnya dia akan tonton Friday Night Football juga, kerana Lionel, saya sangat mengagumi kamu.”

“Pemain terhebat sepanjang zaman dan berbanding kamu, saya adalah kaldai, saya terima itu. Tapi kamu tak akan tersenarai dalam senarai ini (kesebelasan terbaik FIFA 22).”

“Kamu tak bermain dengan cukup baik, walaupun kamu ada memenangi Copa America pada musim panas lalu. Ia masih tak cukup untuk ketepikan Mo Salah.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Argentina Daftar Messi Jadi Pembantu Jurulatih