Berapakah Wang Tunai Diraih Pasukan Bertanding di Piala AFF?

Berapakah hadiah wang tunai secara terkumpul dan juga berapa hadiah wang tunai yang bakal diraih oleh pasukan rantau Asia Tenggara dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2020?

Piala AFF Suzuki ialah pertandingan bola sepak dwitahunan yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), yang diiktiraf oleh FIFA dan dipertandingkan oleh pasukan kebangsaan Asia Tenggara.

Sebanyak 10 pasukan akan bersaing untuk merebut trofi Piala Suzuki AFF. Pemenang play-off antara Brunei Darussalam dan Timor Leste akan menyertai sembilan negara ASEAN lain – Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura , Myanmar, Vietnam, Kemboja dan Laos – untuk membentuk bilangan terakhir 10 negara.

Pusingan Kelayakan akan diputuskan melalui dua perlawanan, antara Brunei Darussalam dan Timor Leste, untuk baki tempat terakhir dalam kejohanan.

Pada Piala AFF Suzuki 2018, format baharu telah digunakan. 10 pasukan yang layak dibahagikan kepada dua kumpulan yang terdiri daripada lima dan bermain sistem round robin dengan setiap pasukan bermain dua perlawanan di tempat sendiri dan dua perlawanan di tempat lawan.

Ini akan diteruskan pada kejohanan edisi 2020 namun kerana wabak melanda dunia ketika ini, Singapura dipilih menjadi tuan rumah tunggal.

Format pusingan kalah mati kekal tidak berubah, dengan separuh akhir dan akhir dimainkan dalam format dua perlawanan timbal balik.

Encik Patit Suphaphong yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Thailand Telah mengumumkan jumlah hadiah wang tunai dalam Kejohanan rantau Asia Tenggara bahawa Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) hanya menyediakan hadiah wang tunai untuk pasukan yang mara ke separuh akhir.

Sejumlah 4 pasukan yang ke separuh akhir akan berjaya merasai hadiah wang tunai, namun tiada sebarang Bonus pada pusingan pertama/peringkat kumpulan untuk pasukan yang mencatatkna kemenangan atau seri.

Manakala hadiah wang tunai secara terkumpul yang disediakan AFF untuk Piala AFF Suzuki 2020 ini adalah sebanyak $500,000 sahaja yang akan dinikmati 4 pasukan terbaik.

Pasukan juara akan menerima hadiah sebanyak $300,000 (kira-kira RM1.2 juta) dan pasukan naib juara pula menerima $100,000 (kira-kira RM400,000).

Manakala pasukan yang tersingkir dalam separuh akhir, masing-masing akan menerima wang tunai $50,000 (kira-kira RM200,000).

Pecahan pembahagian hadiah kejohanan:

Juara: $300,000 (RM1.2 juta)

Naib Juara: $100,000 (RM400,000)

Semi-finalis: $50,000 (RM200,000)

Hadiah Keseluruhan: $500,000 (RM2 juta)

Selepas syarikat automotif Suzuki dari negara matahari terbit, Jepun menjadi penaja utama pada 2008, hadiah wang tunai kemenangan telah mengalami perubahan beberapa kali.

Pada edisi 2008 dan 2010, pasukan juara Piala AFF akan membawa pulang wang tunai sebanyak $100,000 (RM400,000), pada tahun 2012 hadiah kemenangan meningkat kepada $200,000 (RM800,000) untuk sang juara dan kekal untuk edisi 2014 dan 2016.

Pada edisi 2018 yang menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali kedua dalam sejarah kejohanan telah meraih wang tunai sebanyak $300,000 (RM1.2 juta) dan kekal untuk edisi 2020.

Senarai Juara Piala AFF Suzuki

Pertandingan ini pertama kali dilangsungkan di Singapura pada tahun 1996 dengan Thailand pada ketika itu muncul sebagai Juara selepas menewaskan Malaysia dalam aksi perlawanan akhir.

Piala Tiger dianjurkan sebanyak empat kali, dengan tiga darinya dimenangi oleh Thailand, sementara Singapura turut berjaya sekali menjulang Piala tersebut sebelum ditukar menjadi Piala AFF Suzuki.

Sebaik menukar nama kepada Piala AFF, Singapura berjaya menjadi pasukan pertama yang memenangi pertandingan tersebut, selepas mereka menewaskan Indonesia dalam aksi perlawanan akhir.

Thailand merupakan Juara lima kali Piala AFF, diikuti Singapura empat kali, Vietnam dua kali dan Malaysia turut pernah sekali memenangi kejohanan tersebut.

Senarai juara:

1996- Thailand

1998- Singapura

2000- Thailand

2002- Thailand

2004- Singapura

2007- Singapura

2008- Vietnam

2010- Malaysia

2012- Singapura

2014- Thailand

2016- Thailand

Pasukan dengan Kejuaraan terbanyak:

Thailand: 5 (1996, 2000, 2002, 2014, 2016)

Singapore: 4 (1998, 2004, 2007, 2012)

Vietnam: 2 (2008, 2018)

Malaysia: 1 (2010)

BACA:  Vietnam Kempunan Tidak Dapat Makan Babi Disepanjang Kejohanan Piala AFF