Berlatih Dengan Memakai Cermin Mata Hitam Adalah Kunci Kehebatan Penjaga Gol Switzerland, Yann Sommer

Satu dunia sudah tahu bahawa Switzerland telah menendang keluar juara dunia, Perancis daripada kempen Kejohanan Eropah pada tahun ini dengan penjaga gol, Yann Sommer muncul sebagai wira. Pasukan jiran Jerman tersebut bangkit pada minit akhir untuk menyamakan kedudukan kepada 3-3 selepas ketinggalan 1-3 dengan perlawana berbaki 10 minit.

Dalam perlawanan tersebut, Switzerland terlebih dahulu menggegar gawang lawan apabila Haris Seferovic yang menanduk bola hantaran Steven Zuber dan gagal dicapai Hugo Lloris.

Pada minit ke-52, Switzerland dianugerahkan sepakan penalti selepas Benjamin Pavard menjatuhkan pemain lawan namun sepakan Ricardo Rodriguez tersebut dengan mudah dapat diselamatkan oleh Lloris.

Pada minit ke-57, Karim Benzema menyamakan kedudukan selepas menerima bola leret daripada Mbappe di dalam kotak penalti dan menge-chip penjaga gol Switzerland.

Karim Benzema sekali lagi mencatatkan namanya sebagai penjaring seminit kemudian selepas dia menanduk bola lambung daripada Antoine Griezmann yang telah menggelecek beberapa pemain Switzerland sebelum tu.

Pada minit ke-74, Paul Pogba menjaringkan satu gol yang cukup indah di mata dan melekat di hati apabila cubaan lencongnya dari luar kotak penalti telah menuju tepat ke penjuru gol lawan.

Kalau pasukan lain pasti sudah mengalah dan meminta pengadil meniup wisel penamat, tapi bukan Switzerland, apabila Seferovic sekali lagi menanduk bola ke dalam gol Perancis pada minit ke-80.

Pada minit ke-84, pemain Perancis terpana seketika apabila Vargas berjaya menewaskan Lloris, namun gol tersebut dibatalkan kerana posisinya yang telah ofsaid.

Walaubagaimanapun, pemain Perancis terpana agak lama pada minit ke-90 selepas Pogba kehilangan bola dan memberikan ruang kepada Switzerland melakukan serangan balas. Serangan balas ini berjaya disudahi dengan gol daripada Mario Gavranovic, lantas membuatkan air mata mula gugur dari mata penyokong Perancis, termasuk mereka yang berada di Kampung Lahar Tunjung di Pendang, Kedah.

Kedudukan seri tersebut kekal tidak berubah usai tamat masa tambahan lantas membawa kepada penentuan sepakan penalti.

Pemain Switzerland dengan tenang menyudahkan sepakan penalti masing-masing manakala bagi pihak Perancis, bintang mereka gagal menyudahkan sepakan penalti apabila bola rembatannya dapat diselamatkan oleh penjaga gol Swiss, Yann Sommer.

Kemenangan Switzerland tersebut telah menimbulkan kekecohan di kalangan ahli keluarga pemain Perancis di mana ibu kepada Adiren Rabiot telah memulakan kekecohan perang mulut dengan keluarga Pogba dan Mbappe.

Kalau kita tonton perlawanan tersebut, Sommer bukan sekadar cemerlang menyelamatkan penalti, malah sepanjang 120 minit perlawanan dia dengan begitu tangkas menyelamatkan gawangnya daripada lapan cubaan tepat daripada rangkaian penyerang Perancis yang dibarisi pemain seperti Mbappe, Karim Benzema, Antoine Griezmann dan juga Olivier Giroud.

Sebenarnya ketangkasan Yann Sommer ini lahir daripada latihan yang luar biasa di mana dia telah mengenakan cermin mata hitam sepanjang latihan!

Sommer kelihatan bergaya dengan spek hitam.

Tujuan pemakaian cermin mata hitam ini bukanlah demi gaya nak bagi nampak kacak untuk gambar selfie, malah cara latihan ini mempunyai tujuannya tersendiri.

Dibuat oleh syarikat dari Jepun VisionUp, cermin mata ini mempuyai kelajuan bidai (shutter speed) yang membolehkan pengguna menukarkan tahap pengelihatan untuk meningkatkan kebolehan kemahiran visual.

“Cermin Mata Latihan VisionUp akan merangsang otak anda dan meningkatkan tahap pengelihatan melalui bidai yang sekejap-sekejap (intermittent shutter).

“Anda akan meningkatkan kemampuan otak dalam memproses kelajuan dan kemampuan pengelihatan seperti ketepatan visual kinetk, ketepatan visual dinamik, pengelihatan periferal, anggaran kedalaman, koordinasi mata-tangan dan sebagainya.

“Jadi anda akan mendapatkan kemampuan beraksi dengan lebih baik,” tulisan berkenaan produk ini berbunyi di laman webnya.

Syarikat Jepun tersebut membekalkan cermin mata tersebut kepada pasukan Switzerland untuk dipakai selama 10 sehingga 15 minit setiap hari selama dua bulan, dengan memberi jaminan kesan positif buat si pemakai.

Selepas kemenangan Switzerland yang penuh bersejarah tersebut, tersebar luas gambar Sommer berlatih memakai cermin mata ajaib ini dan ramai memuji kaedah latihan moden yang diamalkan oleh para jurulatih pasukan Switzerland.

Itu sebab Switzerland menang lah. Cuba kalau kalah, mesti gambar tu jadi bahan troll, kan?

Sumber :

archysport
insider

BACA:  Hadiah Air Mata Buat Perancis Dari Mbappe Tutup 'Filem Box Office EURO 2020'