Friendly: England 2-1 Switzerland

England dan Switzerland yang sudah mengesahkan tempat mereka ke Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di Qatar hujung tahun ini memanfaatkan rehat cuti antarabangsa untuk perlawanan persahabatan.

Perlawanan persahabatan ini medan terbaik untuk bereksperimentasi dan menguji kemampuan pemain lagi bagi mempersiapkan pasukan ke kejohanan bola sepak paling agung di dunia ini.

Ramai berduka dan mahu memboikot perlawanan England menentang Switzerland ini selepas Gareth Southgate memilih untuk merehatkan Harry Maguire dan meletakkan Conor Coady diposisi tersebut.

Bagi peminat bola sepak, tanpa Harry Maguire maka tiadalah hiburan bola sepak untuk mereka.

England menguasai perlawanan usai wisel permulaan dibunyikan dan terus melakukan serangan. Switzerland tenang menyerap asakan dan masih lagi mencari rentak perlawanan.

Kemudian permainan mula menjadi seimbang.

Breel Embolo yang tidak dikawal meletakkan Switzerland di hadapan pada minit ke-22 selepas mudah menanduk tajam masuk hantaran cantik Xherdan Shaqiri.

Selepas Video Assistant Referee (VAR) memeriksa jaringan Embolo itu tiada unsur kecurangan offside seperti yang disyaki.

Dua minit kemudian berpunca dari sepakan penjuru, Fabian Frei hampir menggandakan kedudukan dengan rembatan jarak dekat.

Penjaga gol England, Jordan Pickford berjaya menepis sedikit bola dan itu sudah cukup membuatkan bola naik ke atas menghentam palang.

Keyakinan membara dipamerkan Switzerland selepas gol pendahuluan itu. England masih melawan.

Kyle Walker-Peters pula kali ini menghentam tiang tetapi penjaga garisan sudah mengangkat bendera tanda offside.

Pada minit ke-37, Xherdan Shaqiri hampir menjaringkan gol terus dari sepakan penjuru selepas tendangan leret yang dilakukan meleleh menuju ke gawang tapi dikeluarkan oleh tiang.

Di penghujung babak pertama gol penyamaan England hadir selepas Kyle Walker-Peters berjaya memenangi bola ditengah padang dan terus menghantar kepada Conor Gallagher.

Conor Gallagher terus membuat umpanan kepada Luke Shaw yang berlari dari belakang dan satu gol roket berjaya dihasilkan Luke Shaw hasil rembatan kaki kiri yang padu.

Switzerland boleh mendahului England dengan jaringan 3 gol pada separuh masa pertama namun nasib tidak menyebelahi mereka malah Luke Shaw pula berjaya menyamakan kedudukan.

Umpanan cantik dan bijak Connor Gallagher sekali lagi terhasil mencari Harry Kane memaksa penjaga gol Switzerland, Jonas Omlin menadah muka menahan jolokan Harry Kane.

Jika Harry Kane menjaringkan satu gol dalam perlawanan ini, maka beliau akan naik ke tangga kedua senarai penjaring sepanjang zaman England duduk bersama Bobby Charlton.

Senarai penjaring sepanjang zaman England:

1. Wayne Rooney โ€“ 53 gol (120 caps)
2. Bobby Charlton โ€“ 49 gol (106)
3. Harry Kane โ€“ 48 gol (67), Gary Lineker โ€“ 48 gol (80)
4. Jimmy Greaves โ€“ 44 gol (57)
5. Michael Owen โ€“ 41 gol (89)

Selepas sejam perlawanan , Gareth Southgate melakukan 4 pertukaran serentak manakala Switzerland melakukan 3 pertukaran sahaja selepas seorang sudah ditukar pada separuh masa pertama.

Pada minit ke-78, England melakukan kebangkitan sensasi, bola telah terkena tangan Steven Zuber dan tiada pilihan lain buat pengadil, penalti untuk England.

Harry Kane tiada masalah untuk melaksanakannya walaupun membuat bacaan tepat namun tetap tewas. Kane sebaris dengan Bobby Charlton dengan 49 gol dengan cap yang ke 68.

England masih lagi mampu mencatatkan kemenangan dan kebangkitan walaupun bermain biasa-biasa saja dan Switzerland tidak bernasib baik walaupun bermain dengan bagus.

Kesebelasan Utama England: Jordan Pickford, Conor Coady, Ben White, Marc Guehi, Kyle Walker-Peters, Connor Gallagher, Jordan Henderson, Luke Shaw, Phil Foden, Harry Kane, Mason Mount.

Pemain Simpanan: Pope, Forster, Maguire, White , Mings, Grealish, Rice, Bellingham, Watkins, Sterling, Ward-Prowse, Mitchell.

Kesebelasan Utama Switzerland: Omlin, Rodriguez, Akanji, Frei, Widmer, Freuler, Xhaka, Steffen, Shaqiri, Vargas, Embolo.

Pemain Simpanan: von Ballmoos, Kobel, Mbabu, Elvedi, Okafor, Zuber, Sow, Lotomba, Comert, Gavranovic, Zeqiri, Aebischer.

Pengadil Perlawanan: Andreas Ekberg (Sweden).

BACA:ย  Ejekan Dan Kritikan Ibarat Pengorbanan Besar Maguire Untuk Pasukan