Kisah dan Kontroversi Yang Melibatkan Emak Adrien Rabiot

Sudah menjadi pengatahuan ramai bahawa telah berlakunya kekecohan di ruang keluarga tempat duduk penyokong di stadium selepas pasukan Perancis ditendang keluar daripada saingan Euro 2020 oleh Switzerland.

Veronique Rabiot, emak kepada pemain Perancis, Adrien, memulakan kekecohan tersebut apabila dia menghamburkan kata-kata yang tidak berpuas hati terhadap Paul Pogba yang melakukan kesilapan di tengah padang yang memberikan laluan buat Switzerland menyamakan kedudukan, lalu dijawab oleh keluarga pemain Manchester United tersebut.

Selepas bertekak dengan keluarga Pogba, Veronique tidak berhenti di situ sahaja dan dia terus meluru ke arah keluarga Mbappe.

“Aku harap kau cakap sikit dengan anak jantan kau tu,” Veronique berkata kepada Wilfried Mbappe, ayah kepada Kylian, atau Kailan Ikan Masin – merujuk kepada penyokong bola sepak di Malaysia.

Selepas puas bergaduh dengan keluarga Mbappe, Veronique sambung bertekak dengan keluarga Pogba dan juga jurnalis TF1.

“Kau akan cakap benda betul sekarang, kan?” Veronique berkata kepada jurnalis tersebut.

“Macam kau buat kat anak aku tahun 2018 dulu.”

Komen tersebut merujuk kepada insiden sebelum Piala Dunia 2018, di mana Adrien dikecam hebat di media kerana enggan disenaraikan dalam senarai simpanan pasukan Didier Deschamps untuk skuad kejohanan, lantas menyebabkan pemain tersebut diketepikan daripada skuad kebangsaan sehingga dipanggil semula tahun lepas.

Kalau ikutkan, kejadian di stadium tersebut bukanlah kekecohan pertama yang dicetuskan oleh Veronique, yang juga merupakan ejen kepada Adrien.

Pernah terjadi pada suatu hari di mana Paris Saint-Germain terpaksa memanggil petugas keselamatan kerana Veronique enggan berganjak di tempat parkir kereta, menunggu ketua jurulatih Laurent Blanc yang telah menurunkan status anaknya daripada pasukan utama kepada pasukan simpanan.

Veronique telah mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kelab PSG di atas tindakan Blanc tersebut.

Sebelum Adrien berpindah ke Juventus, Veronique telah berjaya mendapatkan bonus berkontrak yang tidak dibayar oleh kelab terhadap anaknya. Malah ketika kelab ibu kota Perancis tersebut melarang ahli keluarga menghadiri latihan pasukan tersebut di Doha, Qatar, Veronique dengan selamba melanggar arahan tersebut, lantas mencetuskan pergaduhan dengan pembesar kelab.

Tahun 2019 menyaksikan Veronique sekali lagi bergaduh dengan pembesar PSG di mana dia enggan memperbaharui kontrak baru Adrien kerana kelab enggan menuruti permintaannya yang mahukan gaji bernilai 10 juta euro semusim, setaraf dengan gaji yang dibayar kepada pemain bintang yang lain seperti Kylian Mbappe, Neymar dan juga Edinson Cavani.

“Anak aku dah macam tebusan di kelab tu. Tak lama lagi dia akan hidup di penjara dan makan roti dengan air je,” Veronique meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelab.

Pada suatu ketika, Adrien mendapat perhatian gergasi La Liga, Barcelona, dan kelab Catalan tersebut sangat berminat untuk membawa pemain ini ke Nou Camp. Selepas perbincangan demi perbincangan, akhirnya persetujuan gagal dicapai kerana Veronique meminta gaji yang terlalu tinggi daripada kelab tersebut, selain meletakkan klausa istimewa berkenaan kedudukan Adrien dalam kesebelasan utama kerana di mata Veronique, anaknya sudah mempunyai reputasi yang besar – berusia 24 tahun, bermain lebih 200 perlawanan professional dan memenangi 19 trofi bersama PSG.

Selepas gagal mencapai kata sepakat dengan Barcelona, akhirnya Adrien menyertai kelab gergasi Itali, Juventus.

Awal kemunculan Adrien ke kelab Turin tersebut sudahpun menimbulkan cerita sensasi di kalangan pemain media.

Ketika pemain tersebut dan ibunya baru tiba di Turin, Veronique sudah mula buat kecoh di mana ketika dia masih berada dalam kapal terbang persendirian tersebut tidak berpuas hati dengan suasana di luar.

Rasa tidak puas hatinya timbul selepas melihat begitu ramai jurugambar dan jurnalis, lantas menutup dan menghalang anaknya daripada diambil gambar oleh mereka. Kedua-dua ibu dan anak ini hanya turun selepas mendapat kepastian daripada pihak kelab bahawa mereka yang ramai-ramai di bawah kapal terbang tersebut merupakan wakil dan petugas bagi media sosial Juventus.

Bukan itu sahaja.

Ketika anaknya sedang melakukan pemeriksaan kesihatan di J Medical, dia mengikuti Adrien di setipa langkah, dan memerika setiap perbuatan dan apa yang berlaku. Sewaktu anaknya dipersembahkan kepada media buat pertama kali, Veronique bertanya pengarah sukan kelab, Fabio Paratici,” Fabio, gambar-gambar ni untuk siapa?”

Bila setiap langkah diperhati dan diikuti ibunya, tak terbayang macam mana kehidupan Adrien. Entah-entah nak ajak makwe pergi dating pun susah kot.

Sumber : nssmag, Marca

BACA:  EURO 2020: Portugal 2-2 Perancis