Mbappe Bukan Rakan Sepasukan Kegemaran Messi

Lionel Messi tidak menamakan Kylian Mbappe sebagai antara pemain yang paling digemarinya untuk diberikan bola atau menerima hantaran yang diberikannya ketika beraksi.

“Luis Suarez, Xavi, Neymar, Samuel Eto’o adalah pemain paling saya selesa beraksi bersama ketika melakukan hantaran,” kata pemain itu dalam satu temubual di China.

Jawapan Messi itu mengejutkan ramai peminat kerana El Pulga tidak menamakan Mbappe di mana mereka beraksi bersama selama dua musim bersama PSG.

Messi baru-baru ini memutuskan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat untuk beraksi bersama Inter Miami selepas bergelar rakan sepasukan Mbappe selama dua musim – menjuarai Ligue 1 sebanyak dua kali dan Piala Super Perancis.

Di dalam temubual yang sama Messi turut berkongsi perancangannya selepas bersara dan kemungkinan untuk bergelar jurulatih pada masa hadapan.

“Buat masa sekarang, saya tidak mempunyai niat untuk menjadi jurulatih. Tetapi saya mungkin akan berubah fikiran pada masa hadapan,” kata kapten skuad kebangsaan Argentina itu.

Messi kemudiannya turut memuji bekas jurulatih Pep Guardiola yang menjuarai treble bersama Man City baru-baru ini.

“Saya masih berhubung dengan Pep secara kerap. Memenangi Champions League membuktikan dia adalah jurulatih terbaik dunia. Pep selayaknya memenangi kejuaraan itu.”

Messi kini berada di China untuk beraksi bersama Argentina dalam perlawanan persahabatan menentang Australia pada hari ini.

Kehadiran Messi yang memiliki 7 gelaran Ballon d’Or mencipta fenomena tersendiri di Beijing dengan ribuan peminat cuba untuk mendekati kelibat pemain itu.

CNN baru-baru ini turut melaporkan Messi dan rakan sepasukannya terperangkap di hotel penginapan dan tidak boleh menaiki bas untuk ke destinasi lain selepas ribuan penyokong berkumpul di perkarangan hotel penginapan pasukan.

Ramai peminat Messi di China sanggup menyewa bilik hotel dengan bayaran USD1,400 semalam di sekitar Beijing semata-mata untuk mendapatkan peluang melihat idola mereka itu di hadapan mata sendiri.

Argentina akan berhadapan Australia di Beijing pada malam ini sebelum terbang ke Jakarta untuk berhadapan Indonesia pada 19 Jun nanti.

BACA:  Antoine Griezmann Rancang Tamatkan Karier Bola Sepak Di Major League Soccer