Bintang England Minta Namanya Digugurkan Kerana Menerima Tawaran Untuk Wakili Negara Lain

Bintang Brighton, Tariq Lamptey telah meminta agar namanya digugurkan dari skuad bawah 21 tahun England, selepas beliau mendapat tawaran untuk menukar kerakyatannya.

Lamptey telah ditawarkan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Ghana di pentas Piala Dunia Qatar nanti dan kerana itulah beliau memilih untuk menolak beraksi bersama skuad bawah 21 tahun England.

Memandangkan aksi saingan domestik kebanyakannya sudah berakhir, maka skuad remaja England akan turun beraksi dalam empat perlawanan penting pada Jun ini.

Skuad muda England akan turut beraksi di pentas kelayakan UEFA European Championship bawah 21 tahun bertemu Czech Republic, Albania, Kosovo dan Slovenia.

Walau bagaimanapun, Tariq Lamptey sepertinya tidak akan turun beraksi bersama skuad kendalian Lee Carsley itu selepas beliau sendiri meminta agar namanya digugurkan.

Pemain right-back yang datang dari skuad akademi Chelsea itu telah membuat 20 penampilan untuk skuad England di pelbagai peringkat usia sebelum ini.

Walau bagaimanapun, beliau sebenarnya turut boleh mewakili Ghana andai beliau mahu berdasarkan dari salah silah keluarganya.

Beliau dilaporkan sudah dihubungi oleh wakil pasukan dari Afrika itu pada Julai 2020 yang lalu dan ditawarkan untuk beraksi bersama skuad utama.

Selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan bersama Brighton, Ghana merasakan Lamptey sudah layak untuk beraksi bersama skuad utama mereka.

The Black Stars sangat terdesak mahu mendapatkan khidmatnya, bagi menghadapi aksi di pentas Piala Dunia Qatar nanti.

Lee Carsley sendiri turut mengakui yang Lamptey sudah mendedahkan hasratnya untuk bermain bersama skuad kebangsaan Ghana.

โ€œAda masalah sedikit tentang isu kenegaraan berganda dia.โ€

Jelas Carsley kepada media menurut BBC.

โ€œDia sudah terima tawaran. Dan itu adalah hal yang sedang dia pertimbangkan pada ketika ini.โ€

โ€œDia meminta untuk disingkirkan dari skuad untuk tenangkan fikiran. Dia belum tukar, ia masih belum ditetapkan atau apa-apa seperti itu. Tapi dia ada terima tawaran (dari Ghana), dan kami hormati itu.โ€

โ€œKami menjelaskan kepada dia tentang betapa pentingnya dia di mata kami. Saya tahu skuad senior juga begitu. Ia bukan sesuatu yang kami tak pandang.โ€

โ€œTariq sendiri sangat sedar tentang bagaimana pentingnya dia di mata kami. Saya hubungi dia setiap hari.โ€

โ€œSaya sepatutnya tak perlu lakukan itu, saya mungkin nampak menekan dia. Kamu cuma boleh jelaskan berulang-ulang kali. Dia tahu di mana kami berdiri untuk dia. Kami hormati atas apa saja keputusan yang akan dia ambil.โ€

Masalah utama untuk Lamptey andai beliau kekal bersama skuad England adalah berkait kesempatan untuk beliau diserap masuk ke skuad utama.

The Three Liones jelas sekali memiliki barisan pemain yang sungguh luar biasa dalam skuad mereka, dan Southgate juga turut mempunyai barisan pemain right-back yang sangat dasyat.

Kyle Walker, Reece James, Trent Alexander-Arnold dan Kieran Trippier kesemuanya merupakan pemain right-back yang sering dipanggil oleh Gareth Southgate untuk sertai skuad England.

The Three Liones turut mempunyai pemain seperti Kyle Walker Peters dan James Justin yang turut boleh bermain di posisi sama dan turut pernah dipanggil oleh Southgate.

Harus diakui untuk skuad bawah 21 tahun England juga, mereka sebenarnya mempunyai pilihan yang luar biasa untuk posisi itu seperti Ben Johnson, Djed Spence dan Max Aarons.

Bersama Ghana, beliau sepertinya tidak mempunyai begitu banyak saingan dan tempat untuknya bersama skuad utama di pentas Piala Dunia juga sudah terjamin.

Selain Lamptey, Ghana pada ketika ini turut berusaha mahu mendapatkan khidmat dua lagi pemain dari saingan Premier League untuk sertai skuad mereka.

Eddie Nketiah dan Callum Hudson-Odoi turut berada dalam senarai pemain yang mahu Ghana panggil untuk sertai skuad kebangsaan mereka di pentas Piala Dunia Qatar nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:ย  Guardiola Percaya Phil Foden Sudah Bersedia Untuk Dipanggil England