“Bola Sepak Eropah Hilang Kualiti” – Ronaldo Turut Sindir Pilihan Messi Ke MLS

Cristiano Ronaldo mendakwa Saudi Pro League jauh lebih berkualiti daripada Major League Soccer (MLS) sehari selepas Lionel Messi diumumkan sebagai pemain baharu Inter Miami.

Messi diumumkan sebagai pemain baharu kelab Amerika Syarikat milik David Beckham itu dalam satu majlis semalam, dan kapten skuad kebangsaan Argentina itu dilaporkan menerima £45 juta setahun.

Ronaldo adalah pemain pertama berprofil tinggi beraksi di Arab Saudi apabila menyertai Al Nassr daripada Manchester United dan menerima £175 juta semusim.

Sejak daripada itu ramai pemain ternama dari Eropah mengikut jejak langkah bintang Portugal ke negara Timur Tengah itu seperti Karim Benzema, N’Golo Kante dan Ruben Neves.

Walaupun Ronaldo mengesahkan dirinya akan kekal di Arab Saudi pada musim hadapan, terdapat juga laporan yang mengaitkan pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu akan kembali ke Eropah untuk menyertai Real Madrid.

Namun demikian pemain itu menegaskan dia tidak akan berpindah kembali ke Eropah atau pun ke Amerika Syarikat, sambil memberikan kredit kepada pemain-pemain lain yang memilih untuk mengikuti jejak langkah dirinya mengembangkan karier ke Arab Saudi.

“Liga Arab Saudi lebih berkualiti daripada MLS,” kata Ronaldo.

“Saya 100% pasti tidak akan kembali ke Eropah. Saya telah membuka jalan untuk [pemain] ke sini dan kini deretan pemain datang ke sini.

“Saya sama sekali tidak akan kembali bermain di Eropah. Pintu itu sudah tertutup buat selamanya.

“Saya sudah berusia 38 tahun. Lagi pun bola sepak Eropah sudah hilang kualiti. Satu-satunya liga di sana yang masih memiliki kualiti dan yang terbaik berbanding yang lain adalah Premier League.

“Liga di Sepanyol tidak mempunyai kualiti sebegitu. Begitu juga liga bola sepak di Portugal, tetapi di sana memang tidak pernah dianggap sebagai liga utama.

“Liga di Jerman sudah merosot dengan ketara sekali. Saya amat pasti tidak akan bermain di Eropah lagi. Saya hanya mahu bermain di Arab Saudi.”

Pada musim lalu Al Nassr terlepas peluang memenangi Saudi Pro League kepada Al Ittihad dan pada jendela perpindahan musim panas ini kelab itu tidak dibenarkan oleh FIFA untuk mendaftarkan pemain baharu kerana tunggakan £390,000 kepada Leicester City yang perlu dibayar ketika mendapatkan Ahmed Musa beberapa musim lalu.

Walaupun demikian kelab itu masih dikaitkan dengan nama-nama seperti Hakim Ziyech dan menandatangani Marcelo Brozovic sebelum hukuman itu dikenakan mulai Julai ini.

“Dalam tempoh setahun semakin ramai pemain ternama datang ke Arab Saudi,” tambah Ronaldo.

“Dalam tempoh setahun lagi liga di sini akan memintas Liga Turki dan Liga Denmark.

“Pemain yang datang juga bukan jenis (pemain berusia) seperti yang didakwa oleh Presiden UEFA. Jota dan Neves adalah pemain muda.

Tidak ketinggalan dikaitkan ke Arab Saudi adalah bintang Tottenham dari Korea Selatan, Son Heung-min namun pemain itu menolak peluang tersebut.

Manchester City baru-baru ini turut menolak bidaan £18 juta daripada Al Ahli untuk Riyad Mahrez.

Ditanya sama ada dia akan beraksi di MSL satu hari nanti, Ronaldo menjawab: “Saya berpendapat Liga Arab Saudi adalah lebih hebat daripada di Amerika Syarikat. Pasukan saya adalah Al Nassr.

“100%, ia adalah fakta. Ia akan mengambil masa setahun [menaikkan Saudi Pro League], sebelum ini saya ingat 6 bulan sudah cukup. Saya silap kerana mengandaikan ia perlukan 6 bulan.

“Tetapi saya tahu ia akan berlaku seperti apa yang berlaku di Itali. Apabila saya ke sana [Serie A], bola sepak di sana juga sudah mati tetapi kemudian ia kembali menjadi menarik.

“Ke mana sahaja Cristiano pergi, ia akan menarik minat dan saya pasti ia akan berlaku begitu. Saya sangat pasti musim hadapan akan lebih ramai pemain ternama dunia datang bermain di Arab Saudi.”

BACA:  Ronaldo Dilabel 'Tak Guna' Dalam Aksi vs Omonia