Bonnie Bunyau Raih Emas Pertama Negara Di Temasya Paralimpik Tokyo

Kontijen Paralimpik negara telah berjaya meraih satu pingat emas pada hari ini menerusi Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting kategori lelaki 72 kilogram (kg).

Jaguh powerlifting negara itu memastikan emas miliknya ketika beraksi di Tokyo International Forum pagi tadi dan ia merupakan berita yang sangat menggembirakan dunia sukan tanah air.

Bonnie Bunyau yang kini berusia 22 tahun merupakan atlet kelahiran Sarawak dengan beliau sememangnya antara pencabar utama yang dijangka akan memenangi pingat dalam acara ini.

Menurut Astro Arena, Bonnie sebelum ini berjaya memecah rekod dunia dengan angkatan seberat 230 kg ketika beraksi di temasya Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu.

Di temasya Paralimpik Tokyo ini, beliau cemerlang memecahkan rekod kejohanan dengan mengangkat 228 kg, seterusnya memecahkan rekod 227kg yang dicipta oleh Rasool Mohsin dari Iraq.

Di kedudukan kedua merupakan Mahmoud Attia dari Mesir yang berjaya melakukan angkatan seberat 191kg, dan atlet Great Britain, Micky Yule di kedudukan ketiga dengan catatan 182kg.

Ia merupakan satu kejayaan yang cukup membanggakan untuk kontijen negara dengan pencapaian Bonnie yang merangkul emas dan turut mencipta rekod baru kejohanan.

Ketika ditemu bual oleh Nadi Arena, Bonnie mendedahkan bahawa:

“Bagi saya pingat ini memang sangat-sangat penting, sebab ini pun kali pertama saya pergi ke kejohanan Paralimpik, dan saya juga telah membuat persembahan yang terbaik dan ini juga adalah kenangan yang sangat manis bagi saya.”

Beliau juga menghadiahkan kejayaannya sebagai hadiah kemerdekaan untuk negara dengan menyatakan:

“Saya hadiahkan untuk hari kebangsaan kita, selamat menyambut hari merdeka!”

Peminat di media sosial turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah pada Bonnie Bunyau atas kejayaan beliau merangkul emas pertama untuk kontijen negara.

Satu permulaan yang baik untuk kontijen negara, dengan ramai yang berharap agar koleksi pingat emas akan bertambah selepas ini.

Kontinjen negara kali ini dibarisi 22 atlet yang akan bersaing dalam sembilan jenis sukan di temasya Paralimpik Tokyo 2020 ini.

Kontijen negara diwakili oleh dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain pemain badminton para, Cheah Leik Hou atlet memanah, S Suresh dan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin diletakkan sebagai sandaran utama bagi merealisasikan sasaran tiga emas kontinjen negara.

Ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yakin yang kesemua atlet negara sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk menghadapi temasya kali ini.

Menurutnya, ini adalah masa untuk para atlet melepas geram kerana dapat beraksi dalam kejohanan besar selepas segelintir dari mereka terkurung lama sebelum ini dek kerana penularan wabak C0V-19.

“Persiapan sebenarnya sudah bermula selepas tamat Sukan Para ASEAN 2019 di Filipina. Cuma, selepas COVID-19 melanda, kami terpaksa membuat perubahan terhadap program latihan mengikut norma baharu yang mana atlet perlu berlatih dalam gelembung sukan.”

Tulis Berita Harian.

“Apa yang saya boleh katakan, mereka semua sudah biasa dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

“Secara dasarnya, atlet sudah bersedia. Saya juga beritahu kepada mereka yang mana temasya di Tokyo ini sajalah yang ada untuk setengah sukan. Jadi, nak patah-riuk ke apa semua di Tokyo, jangan buat separuh jalan,”

Jelasnya kepada BH Sukan.

Ketika di temasya Paralimpik Rio 2016, kontijen negara memenangi pingat emas menerusi Ziyad Zulkifli dalam acara lontar peluru, Abdul Latif dalam acara lompat jauh dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter pecut.

Manakala Siti Radiah Ismail pula berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara lompat jauh wanita di temasya Paralimpik Rio 2016.

Sumber: Nadi Arena

BACA:  Seluruh Negara Berdoa Agar Pingat Emas Ziyad Tidak Dirompak