Pingat Emas Dan Rekod Dunia Ziyad Zolkefli Rasmi Dirompak

Pingat emas dan rekod dunia milik atlet Paralimpik negara, Ziyad Zolkefli secara rasminya telah dirompak dengan rayuan dari kem Malaysia ditolak oleh pihak penganjur.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Nadi Arena, hasil rundingan antara Chef-de-mission (CDM) dengan pihak penganjur mendapati yang bantahan penarikkan pingat emas Ziyad ditolak.

Oleh yang demikian, penyertaan Ziyad Zolkefli dikira batal, dan emas yang beliau menangi berserta rekod dunia baru yang beliau cipta tidak diiktiraf.

Ziyad Zolkefli sebelum ini berjaya memenangi pingat emas seterusnya memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru lelaki kategori F20 di temasya Paralimpik Tokyo.

Beliau berjaya memecahkan rekod dunia ketika melakukan lontaran ketiganya dengan catatan 17.94m, sebelum ia dirompak oleh pihak penganjur.

Ziyad telah melakukan yang terbaik dan tidak dinafikan beliau telah mempamerkan persembahan terbaiknya di temasya Paralimpik kali ini.

Kerja keras, usaha, pengorbanan dan segala keringat beliau untuk memenangi pingat emas kedua dalam kariernya telah diragut begitu sahaja oleh penganjur.

Kem Ukraine melakukan bantahan sebaik acara tersebut tamat dengan mereka mendakwa atlet Malaysia yang berusia 31 tahun itu sebenarnya terlambat melaporkan diri ke โ€˜call roomโ€™.

Atlet dari Ukraine itu awalnya mencipta rekod dunia dengan lontaran 17.34m, sebelum rekod tersebut dipecahkan semula oleh Ziyad Zolkefli.

Rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi pula berjaya memenangi gangsa, dan kini sah dikalungkan dengan kalungan pingat perak selepas melakukan lontaran sejauh 17.30m.

Atlet Greece yang sebelum ini dikedudukan keempat telah dikalungkan dengan kalungan pingat gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 15.93m.

Ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak penganjur yang menarik balik pingat emas Ziyad Zolkefli dan menganggap insiden ini sangat tidak masuk akal.

โ€œIni merupakan keputusan yang sangat memalukan. Sungguh mengaibkan dan bertentangan dengan semangat Paralimpik. Jika ia adalah pelanggaran undang-undang berkait call room, kamu sepatutnya tidak membenarkan mereka bertanding. Pingat emas dan rekod dunia yang dirompak.โ€

Tulis bekas Menteri Belia Dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin di laman twitter miliknya.

Kontijen negara juga telah mengemukakan rayuan dan melakukan bantahan semula kepada penganjur kerana merasakan alasan mereka menarik semula pingat emas Ziyad adalah sangat tidak wajar.

Namun kini rayuan tersebut telah sah ditolak dan penyertaan Ziyad Zolkefli juga dibatalkan.

Jelas sekali emas dan rekod dunia yang dimiliki oleh Ziyad dirompak tanpa belas dari pihak penganjur dan tentunya seluruh negara tidak boleh menerima keputusan ini.

Walau bagaimanapun, kem Malaysia juga perlu jadikan hal ini sebagai satu pengajaran yang mana mereka seharusnya perlu lebih beri tumpuan pada jadual atlet dan menguruskan perjalanan atlet dengan lebih teliti.

Atlet tentunya memberi tumpuan penuh untuk beraksi dan mereka jelas berharap pada pengurusan untuk mengatur perjalanan mereka di sana.

Walau alasan pihak penganjur tidak boleh diterima dek akal, namun harus diakui kem pengurusan negara juga melakukan kesalahan kerana tidak mengurus masa atlet dengan baik.

Mungkin kem negara boleh terus merayu dan membantah hal ini, kerana ia sangat kejam untuk diterima, andai Ziyad lewat, mengapa beliau dibenarkan untuk beraksi?

Bayangkan beliau sudah beraksi, sudah melakukan yang terbaik, namun ia dirompak begitu sahaja, bayangkan apa perasaan beliau.

Bukan mudah untuk memenangi pingat emas di temasya yang besar seperti ini, dan selepas beliau berjaya, ia dirompak pula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Semoga Ziyad terus kuat dan tabah, dan semoga ada keadilan untuknya.

Kontijen negara kali ini menyasarkan tiga pingat emas dengan kita kini sudah berjaya memenangi satu emas dari atlet powerlifting, Bonnie Bunyau.

Andai emas Ziyad Zolkefli tidak dirompak, negara secara rasminya sudah memiliki dua dari tiga pingat emas yang disasarkan dan tidak mustahil untuk kita melihat lebih banyak emas yang bakal dikutip oleh para atlet.

Walau apa pun yang berlaku, Ziyad Zolkefli sudah memenangi emas di mata dan hati seluruh negara dan persembahan memecah rekod dunia beliau akan terus dikenang sebagai yang terbaik untuk Malaysia.

Sumber: Nadi Arena

BACA:ย  Cheah Liek Hou Dan Latif Romli Lengkapkan Sasaran Tiga Emas Kontijen Para Negara