Summers-Newton Pecah Rekod Dunia Dan Tewaskan Idola Sendiri Untuk Menang Emas

Maisie Summers-Newton berjaya menambah koleksi pingat emas milik Great Britain di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, selepas memenangi acara 200m individu gaya campuran kategori SM6.

Atlet para dalam acara renang itu turut berjaya memecahkan rekod dunia dengan mencatatkan 2 minit 56.68 saat dalam perlumbaan peringkat akhir.

Perenang dari Ukraine, Yelyzaveta Mereshko mengakhiri perlumbaan di kedudukan kedua, sementara atlet Jerman, Verena Schott memenangi pingat gangsa.

Summers-Newton turun beraksi dalam acara ini sebagai pemegang rekod dunia, namun rekodnya telah dipecahkan oleh Mereshko ketika perlumbaan peringkat kelayakan.

Atlet Britain itu kemudiannya mendedahkan bagaimana nasihat dari rakan sepasukannya, Ellie Simmonds memberi beliau inspirasi untuk kembali ke kolam dan memecahkan rekodnya yang sudah dipecahkan.

“Ketika saya lihat rekod saya dipecahkan, Ellie terus katakan pada saya yang dia yakin saya boleh buat lebih baik, dan itu sebenarnya sangat membantu.”

Summers-Newton membesar dengan mengidolakan Simmonds, yang mengakhiri perlumbaan di kedudukan keenam dalam acara akhir renang 200m gaya campuran kategori SM6.

Beliau meminati atlet tersebut yang mengalami achondroplasi dan juga pernah memenangi dua pingat emas di temasya Paralimpik London 2012 sebelum ini.

Melihat kepada kejayaan Simmonds, Summers-Newton mula memasang impian untuk beraksi di pentas Paralimpik.

“Ia sangat menakjubkan untuk menewaskan idola kamu sendiri.”

Jelas Summers-Newton.

“Dia seorang perenang yang hebat dan dia sudah mencapai pelbagai kejayaan dalam dunia sukan para ini. Untuk ada di sebelah dia adalah sangat membantu dan dia banyak memberi sokongan dengan cara dia, dia sentiasa melakukan hal tersebut.”

“Saya lihat dia di London dan ia sangat luar biasa. Saya rasa saya betul-betul jumpa dia pada tahun 2013, saya pergi menonton dia di nationals dan saya rasa terinspirasi. Dia kemudian menjadi sahabat saya.”

Simmonds juga merupakan pembawa bender Britain ketika aksi pembukaan temasya Paralimpik Tokyo baru-baru ini dan beliau mendedahkan yang dirinya berbangga kerana melihat generasi baru dalam sukan renang dalam keadaan baik.

“Dia (Summers-Newton) akan beri inspirasi kepada generasi sekarang.”

Jelas Simmonds.

“Dia mengikuti jejak langkah saya sejak empat tahun sebelum ini, sekarang dia yang terbaik.”

“Dia seorang gadis paling baik di dunia. Jadi saya gembira untuk dia. Dia ada, saya rasa dia terinspirasi dengan saya, dan saya yakin akan ramai yang menonton dia hari ini, dan akan terinspirasi dengan dia. Dia buat dengan baik dan dia sungguh hebat.”

“Kita lihat Mareshko lakukannya pagi ini, saya terus kata pada Summers, ‘kamu boleh lakukannya’. Dan dia betul-betul berjaya.”

Kedua-dua Simmonds dan Summers-Newton akan berlumba sekali lagi dalam acara 100m kuak dada kategori SM6 esok.

“Saya sangat teruja tentang perlumbaan 100m kuak dada esok.”

Jelas Summers-Newton.

“Saya sudah bekerja keras ketika latihan dan semuanya berbaloi. Saya sudah serahkan segala saya mampu dan saya memenangi pingat ini, saya tiada kata-kata untuk ini dan harapnya saya boleh capai kejayaan lain selepas ini.”

Sumber: GMS

BACA:  Peminat Terharu Dengan Kemuliaan Hati Atlet Greece Athanasios Prodromou