Cheah Liek Hou Dan Latif Romli Lengkapkan Sasaran Tiga Emas Kontijen Para Negara

Hari ini dalam sejarah apabila atlet Paralimpik negara berjaya mengutip dua pingat emas dalam satu hari dari sukan badminton dan Olahraga.

Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romli masing-masing menepati sasaran untuk memenangi pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Kontijen Malaysia menyasarkan tiga emas di temasya Paralimpik Tokyo 2020 dengan kita sudah memenangi satu hasil sumbangan dari Bonnie Bunyau Gustin.

Ziyad Zolkefli juga berjaya menghadiahkan pingat emas untuk kontijen negara, namun sayangnya atas masalah teknikal, pingat emas beliau telah ditarik balik.

Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romli meneruskan perjuangan kem negara untuk memburu dua lagi pingat emas, seterusnya menepati sasaran awal negara.

Cheah Liek Hou menang emas dalam acara badminton

Liek Hou berjaya menewaskan wakil Indonesia, Dheva Anrimushti dalam perlawanan akhir badminton kategori SU5 di temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Wakil negara itu bertemu dengan pilihan utama kejohanan yang juga merupakan pemain nombor satu dunia, Dheva Anrimushti.

Liek Hou yang pernah menjadi Juara dunia sebanyak enam kali itu terpaksa berdepan laluan getir untuk mara ke perlawanan akhir.

Beliau sebelum ini berjaya menewaskan pemain nombor dua dunia, Fang Jen Yu, dengan keputusan 15-21, 21-10, 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung selama 51 minit.

Walau beraksi selama tiga set ketika di peringkat separuh akhir, Liek Hou tetap mampu beraksi dengan sangat baik dan tenang menewaskan wakil Indonesia itu dengan keputusan 21-17 pada set pertama.

Masuk set kedua, perlawanan antara kedua-dua atlet tersebut begitu rancak dengan kedua-dua pemain mempamerkan kualiti serangan dan bertahan dengan sangat cemerlang.

Kedudukan sengit sehingga kutipan mata 14-14, dengan Hou kemudiannya konsisten mengutip mata demi mata untuk menewaskan lawannya itu 21-15.

Beliau rebah dan dilihat sangat beremosi ketika meraikan kejayaannya memenangi emas kedua negara dan emas pertama dari sukan badminton.

Jurulatih beliau, Datuk Rashid Sidek yang juga merupakan pemenang pingat gangsa di Olimpik Atlanta berasa sangat terharu melihat kejayaan anak buahnya itu.

Abdul Latif Romli berjaya kekalkan emas dalam acara lompat jauh

Abdul Latif Romli yang turun sebagai Juara bertahan dalam acara lompat jauh kategori T20 berjaya memastikan pingat emas kekal menjadi miliknya.

Beliau juga secara tidak langsung berjaya memastikan tiga emas yang disasarkan oleh kontijen negara berjaya dicapai.

Latif bermula dengan sangat baik selepas mencatatkan lompatan sejauh 7.26 meter pada lompatan pertamanya dengan beliau mendahului semua atlet lain sejak dari itu lagi.

Latif Romli berjaya memperbaiki rekodnya pada lompatan kedua dengan beliau berjaya melakukan lompatan sejauh 7.45 meter.

Latif dilihat mahu berusaha untuk memecahkan rekod dunia miliknya sejauh 7.64 namun sayangnya lompatan keempat beliau telah dibatalkan.

Perjalanan Latif berakhir pada lompatan kelima sahaja selepas beliau terpaksa diketepikan dari melakukan lompatan keenam kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Latif sekadar memerhati pencabarnya dari Greece, Athanasios Prodromou dan atlet Australia, Nicholas Hum melakukan lompatan terakhir untuk mencabar kedudukannya.

Mujur saja kedua-dua atlet tersebut gagal melakukan hal tersebut, seterusnya mengesahkan emas menjadi milik atlet negara, Abdul Latif Romli.

Latif Romli masih dirawat ketika ini dan berkemungkinan beliau dibelenggu masalah kecederaan peha. Diharapkan beliau berada dalam keadaan baik-baik sahaja dan mampu untuk naik ke podium untuk dikalungkan dengan kalungan pingat emas.

Sumber: Nadi Arena

BACA:  "Woi Ukraine, Omak Kau Hijau" - Dato Hattan