“Woi Ukraine, Omak Kau Hijau” – Dato Hattan

Semua sedia maklum yang pingat emas Ziyad Zolkefli di temasya Paralimpik Tokyo 2020 secara rasminya telah ditarik balik, dengan rekod dunia yang beliau cipta juga tidak diiktiraf.

Ziyad Zolkefli berjaya memenangi pingat emas seterusnya memecahkan rekod dunia di temasya Paralimpik Tokyo tahun ini.

Namun kerana ada bantahan yang dilakukan oleh kem Ukraine, pihak penganjur memutuskan untuk menarik balik pingat emas tersebut, seterusnya membatalkan penyertaan beliau.

Hal ini telah membangkitkan kemarahan ramai rakyat Malaysia dengan netizen negara bekerja keras mempersoalkan keputusan penganjur di laman media sosial sejak semalam lagi.

Dari ramai-ramai yang meluahkan kemarahan mereka, muat naik video Dato Hattan yang paling mencuri tumpuan.

Legenda seni tanah air itu telah memuat naik satu video tentang kemarahan beliau terhadap keputusan penganjur, dengan beliau turut memaki atlet Ukraine dengan menggunakan ayat keramat netizen Malaysia, ‘Mak kau hijau’.

“Assalamualaikum, menyirap betul darah saya tengok, ada pulak Ziyad tu kena tarik emas dia macam tu, wei Ukraine kau tak gentle lah, kalau ya pun dia lambat masuk call room ke, tadi kenapa dia boleh bertanding pula?”

“Kalau ya pun lambat janganlah bagi bertanding, lepas tu orang dah menang emas baru nak kau tarik, woi Ukraine, tak ada cara lain ke? Ya Allah loyanya, janganlah buat macam tu, gentleman lah sikit, woi malu woi, Ziyad tetap champion, woi Ukraine mak kau hijau! Huh!”

Jelas Dato Hattan dalam video tersebut dengan menggunakan loghat Negeri Sembilan namun berjaya diterjemahkan oleh Admin yang pandai lagi bijaksana bijaksini bijaksitu.

Ziyad bersama dua lagi atlet dilaporkan lambat untuk melaporkan diri dan ia adalah bertentangan dengan Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic di Para 5 (Failure To Report To The Call Room).

Hal ini menyebabkan seseorang atlet itu boleh dihalang dari menyertai pertandingan atas kesalahan tersebut, atau boleh dibenarkan meneruskan aksi bergantung pada keputusan pengadil.

Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, YB Senator Dato Sri Ti Lian Ker, telah memuat naik status yang menerangkan tentang kronologi perjalanan insiden tersebut dengan menyatakan.

“Kronologi kejadian tersebut terjadi adalah kerana kelewatan yang didakwa berlaku apabila ketiga-tiga atlit masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke pusat panggilan tersebut pada masa panggilan yang tertera iaitu pada jam 5.55 petang waktu Tokyo.”

“Ekoran dari hujan yang turun selain dari keadaan di kawasan tersebut yang agak padat dengan atlit-atlit dari acara-acara yang lain, ketiga-tiga atlit tersebut telah terhalang untuk memasuki pusat panggilan dan pada ketika itulah mereka didakwa telah lewat melaporkan diri.”

“Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlit tersebut sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat panggilan.”

Tulisnya di laman Facebook.

“Selepas merayu supaya dibenarkan masuk ke pusat panggilan, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat ( under protest ) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan seperti tersebut di atas.”

“Semasa pertandingan berlangsung, pegawai pasukan Malaysia telah menerima pesanan ringkas bahawa terdapat bantahan rasmi terhadap penyertaan atlit negara dan atlit Ecuador dan Australia dan pengadil pertandingan mengklasifikasikan bahawa penyertaan ketiga-tiga atlit tersebut adalah bersyarat dan akan dianggap DNS.”

“Pegawai Malaysia termasuk Ecuador dan Australia diminta hadir sekiranya ingin membuat rayuan terhadap keputusan pengadil tersebut. “

“Pada ketika itu Ziyad telah pun mencatatkan keputusan pecah rekod seperti yang disaksikan oleh seluruh dunia.”

“Kontinjen Malaysia diketuai oleh Ketua Kontinjen Datuk Seri Megat D Shahriman bersama-sama delegasi dari Ecuador dan Australia telah mengemukakan penjelasan dan seterusnya mengemukakan rayuan rasmi kepada Jkuasa Pertandingan Para Olahraga dengan memberikan justifikasi-justifikasi yang diharapkan dapat dipertimbangkan supaya penyertaan dan catatan yang dibuat oleh ketiga-tiga atlit tersebut sepatutnya dibenarkan dan bantahan Ukraine tersebut sepatutnya bukanlah satu kesalahan yang disengajakan selain dari ketiga-tiganya telah pun dibenarkan bertanding tetapi”

“*keputusan Juri Rayuan Olahraga tetap memihak kepada keputusan awal pengadil pertandingan yang memutuskan bahawa kesalahan telah dilakukan oleh ketiga-tiga atlit tersebut.*”

“*Rayuan Malaysia, Ecuador dan Australia telah ditolak oleh Juri Rayuan Para Olahraga World Para Athletics ( WPA )*
( Sila rujuk Lampiran di bawah )”

Sumber: FB YB Ti Lian Ker
Sumber: FB YB Ti Lian Ker

“Ketua kontinjen Malaysia akan meneruskan rayuan Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Kontinjen pagi ini. Ketua kontinjen turut memaklumkan bahawa sekiranya Mesyuarat tersebut turut tidak memihak kepada Malaysia dan keputusan yang dibuat oleh Pengadil Pertandingan dan Juri Rayuan Para Olahraga Sukan Paralimpik Tokyo 2020 adalah kekal.”

“Majlis Paralimpik Malaysia ( MPM ) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa ( IPC ) dan World Para Athletic ( WPA ) supaya dipertimbangkan semula rayuan ketiga-tiga negara tersebut agar penyertaan dan catatan mereka bagi acara Shot Put F20 Para Olahraga di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu diiktiraf sebagai penyertaan dan catitan rasmi kejohanan tersebut.”

“Namun demikian, bantahan ini hanya boleh dilakukan selepas temasya Tokyo Paralimpik 2020 berakhir. Sementara itu, kita terpaksa menerima keputusan acara tersebut seperti yang diputuskan.”

Jika benar Ziyad terlewat melaporkan diri kerana masih berada di padang latihan, hal ini perlu diperjelaskan oleh pengiringnya tentang mengapa beliau tidak menjaga call time atlet.

Beliau seharusnya lebih teliti dengan peraturan yang ada dan wajib memastikan atlet mengikut segala peraturan yang sudah ditetapkan.

Kerana kesilapan kecil seperti ini, impak yang perlu ditanggung adalah sangat besar dengan usaha atlet memenangi emas serta memecah rekod dunia berakhir dengan sia-sia.

Semoga ada sinar untuk Malaysia terutama Ziyad Zolkefli yang sudah bermati-matian berusaha untuk mempertahankan pingat emas yang beliau menangi di temasya Paralimpik Rio sebelum ini.

Sumber: Ti Lian Ker

BACA:  Seluruh Negara Berdoa Agar Pingat Emas Ziyad Tidak Dirompak