Peminat Terharu Dengan Kemuliaan Hati Atlet Greece Athanasios Prodromou

Atlet lompat jauh Greece, Athanasios Prodromou telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi selepas beliau dilihat begitu mengambil berat tentang Abdul Latif Romli.

Ketika Abdul Latif Romli mengalami kecederaan, beliau merupakan individu pertama yang datang ke arah wira lompat jauh negara itu untuk memberikan bantuan.

Kerana melihat Latif Romli berada dalam kesakitan, beliau dengan segera meminta bantuan dari petugas kesihatan untuk memeriksa keadaan atlet negara itu.

Beliau yang juga merupakan pemenang pingat perak dalam acara lompat jauh kategori T20 itu dilihat sangat bimbang dengan keadaan pemenang pingat emas, dengan beliau sentiasa berada dekat dengan Latif Romli di tepi trek.

Athanasios Prodromou sentiasa berlegar di sekitar tempat Latif Romli menerima rawatan dengan beliau sesekali menghampir atlet Malaysia itu untuk bertanya keadaannya.

Lebih mengharukan lagi, beliau juga dilihat menyapu-nyapu pasir yang ada di badan dan kepala Latif Romli untuk memastikan atlet kebanggaan kita itu dalam keadaan yang lebih selesa.

Peminat di media sosial tidak henti-henti memberikan pujian yang menggunung pada Athanasios Prodromou atas kemuliaan hatinya dan semangat kesukanan yang beliau tunjukkan.

“Kenapa air mata saya menitis bila tengok macam mana atlet Greece tu ambil berat pasal Latif Romli?”

“Semangat kesukanan yang sangat tinggi ditunjukkan oleh atlet Greece, nampak keikhlasan dia tolong Latif Romli tu.”

“Terima kasih Athanasios Prodromou atas kebaikan dan sikap prihatin yang kamu tunjukkan pada atlet kebanggaan Malaysia”

“Jom kita banjiri komen dekat akaun media sosial dia untuk ucap terima kasih. Salute!”

Begitulah komen-komen dari netizen negara yang kagum dan teruja dengan kemuliaan hati yang ditunjukkan oleh atlet dari Greece itu.

Abdul Latif Romli yang turun sebagai Juara bertahan dalam acara lompat jauh kategori T20 berjaya memastikan pingat emas kekal menjadi miliknya.

Beliau juga secara tidak langsung berjaya memastikan tiga emas yang disasarkan oleh kontijen negara berjaya dicapai.

Latif bermula dengan sangat baik selepas mencatatkan lompatan sejauh 7.26 meter pada lompatan pertamanya dengan beliau mendahului semua atlet lain sejak dari itu lagi.

Latif Romli berjaya memperbaiki rekodnya pada lompatan kedua dengan beliau berjaya melakukan lompatan sejauh 7.45 meter.

Latif dilihat mahu berusaha untuk memecahkan rekod dunia miliknya sejauh 7.64 namun sayangnya lompatan keempat beliau telah dibatalkan.

Perjalanan Latif berakhir pada lompatan kelima sahaja selepas beliau terpaksa diketepikan dari melakukan lompatan keenam kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Latif sekadar memerhati pencabarnya dari Greece, Athanasios Prodromou dan atlet Australia, Nicholas Hum melakukan lompatan terakhir untuk mencabar kedudukannya.

Mujur saja kedua-dua atlet tersebut gagal melakukan hal tersebut, seterusnya mengesahkan emas menjadi milik atlet negara, Abdul Latif Romli.

Sumber: Nadi Arena

BACA:  Cheah Liek Hou Dan Latif Romli Lengkapkan Sasaran Tiga Emas Kontijen Para Negara