Bonucci Mahu Bertemu Lagi Dengan Steward Yang Tersilap Menyangkanya Penceroboh Padang

Leonardo Bonucci sudah bersedia untuk sekali lagi bertemu dengan steward yang menganggap beliau penceroboh padang ketika aksi bertemu Sepanyol awal minggu lalu.

Beliau bersedia untuk bertemu steward tersebut dan berharap agar dapat memeluknya sekali lagi pada kali ini.

Pada Selasa lalu, Bonucci merupakan salah seorang pemain yang beraksi cemerlang dalam membantu Itali menewaskan Sepanyol untuk mara ke perlawanan akhir saingan Euro 2020.

Beliau turut mengambil bahagian dalam aksi penentuan sepakan penalti yang mana pemain centre-back itu berjaya menyempurnakan tugasnya dengan sangat cemerlang.

Beliau merupakan salah seorang dari empat pemain Itali yang mengambil sepakan penalti ketika itu dan menjaringkan gol, dengan Manuel Locatelli seorang sahaja yang gagal untuk menyumbat gol.

Para pemain Itali ketika meraikan kemenangan mereka menewaskan Sepanyol

Itali mempunyai kelebihan dengan mereka pada ketika itu mengambil sepakan penalti dihadapan penyokong sendiri.

Sebaik Jorginho berjaya menjaringkan sepakan penalti terakhir, para pemain terus meraikan gol mereka dengan penuh emosi di hadapan penyokong mereka.

Bonucci yang ketika itu terlebih teruja dan gembira dengan pantas meluru ke arah tempat duduk penonton untuk meraikan kemenangan mereka itu.

Ketika beliau mahu kembali semula untuk masuk ke padang, steward yang bertugas telah menghalang Bonucci kerana menyangka bintang Itali itu merupakan penceroboh padang.

Bonucci ketika dihalang sempat membuat reaksi kebingungan dan pelik mengapa beliau dihalang untuk kembali ke padang sambil memandang wajah steward tersebut.

Selepas steward itu sedar akan kesilapannya, beliau dengan segera melepaskan Bonucci untuk kembali masuk ke padang, dengan kedua-dua mereka ketawa sambil bintang Itali itu memeluk wanita yang telah menjalankan tugasnya dengan sangat baik itu.

Bonucci ketika ini mendedahkan yang beliau sudah tidak sabar untuk sekali lagi bertemu dengan steward yang bertugas di Wembley itu.

“Saya peluk dia dan dia sedikit malu, jika saya jumpa dia lagi saya akan sekali lagi memeluk dia.”

Jelas pemain centre-back itu kepada Gianluca di Marzio.

Terdapat banyak pertikaian yang mempertikaikan mengapa England terlalu banyak bermain di halaman mereka sendiri di kejohanan kali ini.

Namun begitu, Itali juga turut bermain tiga perlawanan peringkat kumpulan di halaman mereka sendiri sebelum ini, dan Bonucci sama sekali tidak bimbang akan hal tersebut.

Bercakap tentang aksi perlawanan akhir, pembantu ketua pasukan itu telah menyatakan bahawa:

“Kami akan bermain di England, tapi itu tidak akan menggerunkan kami. Kami hanya memikirkan untuk bermain bola sepak dan bergembira, yang lain itu hanya sembang sahaja.”

“Di atas padang, akan ada persembahan bola sepak yang menakjubkan dari Itali, England dan pengadil perlawanan.”

“Kemenangan pada hari minggu nanti tentunya akan memberikan tenaga tambahan yang sempurna untuk Itali dan untuk kesemua pencinta bola sepak terutama untuk kami dan negara kami.”

Jelas pemain pertahanan itu.

“Jangan cetuskan konspirasi, mari kita beri tumpuan tentang bola sepak sahaja, bukan hal-hal yang lain.”

Selain bercakap tentang England mara ke perlawanan akhir kerana mereka sering bermain di halaman sendiri, media Sepanyol telah mencetuskan satu lagi konspirasi baru.

Salah satu media di Sepanyol mendakwa yang England memenangi penalti ketika bertemu Denmark kerana hadiah untuk Boris Johnson yang lantang menentang European Super League.

Terlalu banyak pertikaian yang dibuat tentang pelbagai hal dan kebanyakkannya melibatkan skuad kebangsaan England.

Namun begitu mari lupakan semua teori konspirasi dan segala pertikaian itu untuk seketika kerana ia tidak akan mengubah apa-apa.

Semua peminat harus mengalihkan perhatian mereka pada aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020 yang akan dilangsungkan pada hujung minggu ini nanti.

England tentunya mahu berjuang berhabis-habisan untuk memastikan mereka mampu menjulang Piala pertama mereka sejak 1966.

Apa lagi dengan beraksi di hadapan penyokong sendiri yang tidak pernah kenal erti jemu menyanyikan lagu It’s Coming Home, tentunya akan beri tenaga tambahan kepada anak-anak buah Gareth Southgate.

Itali pula tak mungkin akan melepaskan peluang untuk memenangi Euro 2020 ini dengan mereka sedang berada di tahap persembahan yang terbaik skuad.

Roberto Mancini berjaya membawa The Azzuri untuk memecahkan rekod mereka dengan berjaya mengharungi 33 perlawanan tanpa kalah.

Mereka tentunya tak mahu melihat rekod tersebut dileburkan oleh England seterusnya melepaskan Piala idaman itu ke tangan The Three Lions.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ketawa Akhir Milik Ronaldo, Bonucci Hanya Mampu Jadi Penonton Piala Dunia