Chelsea Rembat Werner Dari Liverpool

Chelsea dilaporkan sedang dalam rundingan fasa akhir bersama RB Leipzig untuk menandatangani Timo Werner pada musim panas nanti.

Chelsea bersedia serta sudah menyatakan mereka bakal mengaktifkan klausa perlepasan yang ada dalam kontrak pemain antarabangsa Jerman itu.

Hal ini turut disahkan oleh laporan dari beberapa media di Jerman serta di Eropah seperti Bild dan Matt Law dari Telegraph dan beberapa sumber lain yang boleh dipercayai.

Werner sebelum ini secara terang-terangan menyatakan bahawa beliau sangat berminat untuk sertai Liverpool, namun kelab tersebut tidak meneruskan langkah lebih positif untuk mendapatkan khidmatnya.

Menurut laporan sama, Werner sebelum ini hanya bercakap dengan Jurgen Klopp dan bukannya hierarki tertinggi di Anfield.

Minggu lalu Liverpool telah meminta sedikit masa lagi bagi membincangkan sama ada mereka mahu mengaktifkan atau tidak klausa perlepasan pada Timo Werner.

Mungkin kerana melihat Liverpool tidak bersungguh-sungguh dalam urusan ini, maka Chelsea telah masuk ke dalam persaingan untuk merembat Werner dari Liverpool.

Fabrizio Romano melaporkan bahawa Chelsea sudah menghantar bidaan rasmi menerusi wakil mereka untuk mendapatkan Timo Werner.

Rundingan telah berjalan dengan lancar dan kini cuma menanti keputusan dari Werner sendiri sahaja sama ada beliau bersetuju atau tidak untuk mengaktifkan klausa perlepasan itu.

Chelsea bersedia membayar sekitar €60 juta untuk mendapatkan Werner. Ini kerana mereka akan menerima sejumlah wang bernilai €54 juta daripada Atletico Madrid hasil daripada penjualan Alvaro Morata pada akhir musim ini.

Chelsea kini sama saja seperti semua pasukan lain, keadaan ekonomi kelab sangat terkesan ekoran dari penularan wabak Covid-19.

Namun tiada masalah bagi mereka untuk mendapatkan pemain lain kerana mendapatkan dana pulangan hasil daripada penjualan pemain mereka.

Chelsea hanya perlu menambah lebih kurang €7 juta sahaja lagi dari hasil penjualan Morata untuk mendapatkan Timo Werner.

Sekiranya urusan perpindahan ini terlaksana ianya akan menjadi satu perniagaan yang sangat baik untuk Chelsea.

Mereka berjaya untuk melepaskan Alvaro Morata ke Atletico Madrid dengan nilai perpindahan yang sangat tinggi dan mendapatkan prospek masa depan seperti Werner dengan harga berpatutan.

Malah angka keseluruhan hasil penjualan Morata ditambah dengan angka bayaran ketika beliau dipinjamkan melebihi angka klausa perlepasan Werner.

Apa yang lebih menarik lagi, dana yang mereka ada telah dilaburkan untuk mendapatkan seorang pemain yang sedang berada dalam kondisi terbaik.

Werner dilaporkan bakal menerima imbuhan €220,000 seminggu di Stamford Bridge. Nilai yang agak lumayan ditawarkan kepadanya untuk beraksi di England.

Werner sendiri mengakui bahawa beliau sangat berminat untuk menimba pengalaman beraksi di pentas sebesar Premier League untuk menguji kemampuannya.

Werner merupakan pemain yang mampu untuk bermain di kesemua posisi di barisan serangan.

Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak akan melanjutkan kontraknya bersama Leipzig dan tentunya beliau akan menanti tawaran menarik dari mana-mana pasukan.

Werner telah berjaya menjaringkan 25 gol dan mencatatkan 7 assist dalam saingan Bundesliga musim ini dan beliau sedang bersaing untuk merebut kasut emas.

BACA:  Akhirnya Romelu Lukaku Kembali Ke Chelsea Untuk Selesaikan Masalah Timo Werner