Conor McGregor Bakal Kembali Ke Gelanggang UFC Selepas 2 Tahun Menyepi

Conor McGregor bakal kembali bertarung dalam gelanggang UFC menentang juara ‘Lightweight’ UFC, Khabib Nurmagomedov pada 6 Oktober ini di T-Mobile Arena, Las Vegas.

Pertarungan ini merupakan sebahagian daripada UFC 229 dan bakal menjadi ‘Main Event’ pada malam tersebut.

Conor McGregor bercuti lama dari UFC kerana menumpukan perhatian terhadap karier tinju beliau.

UFC mengumumkan berita gembira tersebut menerusi video promosi sebelum berakhirnya sidang media semalam. Satu sidang media berlangsung pada malam tadi  yang dianjurkan oleh UFC bagi memberi maklumat mengenai pertarungan yang bakal berlangsung sehingga hujung tahun ini.

“Pertarungan di antara Conor McGregor dan Khabib Nurmagomedov sudah dimuktamadkan.” Ujar Presiden UFC, Dana White.

Pertarungan di antara Conor dan Khabib sememangnya ditunggu-tunggu peminat UFC kerana kedua-dua petarung mempunyai kualiti yang tersendiri dan dianggap sama kuat. Conor mempunyai rekod 21-3 sepanjang karier UFC beliau manakala Khabib masih lagi belum mencatat sebarang kekalahan dalam 26 pertarungannya sebelum ini.

Ini merupakan kali pertama sejak November 2016 Conor bakal melangkah ke gelanggang UFC dimana pada ketika itu beliau menewaskan Eddie Alvarez untuk merangkul tali pinggang juara ‘Lightweight’, seterusnya muncul pemegang tali pinggang bagi dua divisyen.

Selepas itu, Conor mengambil rehat buat seketika dari UFC untuk membesarkan anaknya selain menumpukan perhatian beliau terhadap pertarungan tinju ‘blockbuster’ menentang Floyd Mayweather. Tali pinggang ‘Featherweight’ dan ‘Lightweight’ yang dipegangnya juga telah dilucutkan UFC kerana status beliau yang tidak aktif.

Khabib. Belum pernah tewas. Jarang bertarung kerana sering cedera beberapa hari sebelum hari pertarungan

Ketika bercakap kepada TMZ berhubung pengumuman UFc mengenai pertarungan beliau dengan Khabib, Conor berkata segalanya semakin hampir untuk dimuktamadkan.

“Betul, semakin hampir. Ia masih lagi belum rasmi tetapi kami sangat dekat untuk mencapai persetujuan. Saya percaya saya akan bertarung pada tahun ini [2018], dan saya berharap mampu melakukannya.”

“Saya suka untuk bertarung di Madison Square Garden sekali lagi, tetapi saya rasa kali ini saya akan bertarung di Las Vegas.”

Petarung berusia 30 tahun itu baru sahaja diarahkan mahkamah untuk melakukan 5 hari khidmat komuniti selepas mengaku bersalah mencetuskan huru-hara pada hari media UFC April lalu.

Mahkmah  mengambil keputusan untuk mengenepikan semua pertuduhan jenayah terhadap Conor dan beliau bernasib baik dapat mengelak dari dipenjarakan dan mempunyai rekod jenayah.

“Saya suka bandar New York, untuk berada di sini sebagai seorang yang bebas.. berjalan-jalan di sekitar bandar ini… memang bandar yang menakjubkan.”

Insiden serangan Conor terhadap bas yang membawa Khabib beberapa bulan yang lalu. Hampir dipenjarakan

Presiden UFC, Dana White berkata pada minggu lepas pertarungan Conor dan Khabib merupakan pertarungan yang paling dinanti-nantikan seluruh peminat UFC.

Khabib menjuarai divisyen ‘Lightweight’ apabila menewaskan Al Iaquinta di Brooklyn pada April lalu, 2 hari selepas serangan Conor terhadap bas yang membawa Khabib. Conor dirakam membaling kerusi ke arah bas mengakibatkan tingkap bas berkenaan pecah.

Kaca yang pecah terkena pada Michael Chiesa dan Ray Borg, menyebabkan mereka mengalami kecederaan ringan dan terpaksa menarik diri daripada bertarung pada keesokan harinya.

BACA:  Teruja Melihat Kehebatan McGregor, Ramos Pernah Mengajaknya Sertai Sesi Latihan Bersama