Copa America (Final): Argentina 1 – 0 Brazil

Perlawanan akhir saingan Copa America kali ini telah menemukan dua pasukan gergasi benua Amerika Selatan antara Brazil bertemu Argentina.

Perlawanan yang dianggap Superclasico ini merupakan perlawanan akhir idaman semua peminat apa lagi selepas memperlihatkan persembahan semasa kedua-dua pasukan.

Argentina berjaya mencatatkan lima kemenangan dari enam perlawanan awal mereka dengan hanya mencatatkan satu keputusan seri.

Skuad kendalian Lionel Scaloni itu mencatatkan keputusan seri ketika aksi perlawanan pembukaan mereka bertemu Chile dan kemudiannya mereka bangkit untuk memenangi baki kesemua perlawanan.

Diperingkat separuh akhir Argentina berjaya menewaskan Colombia menerusi penentuan sepakan penalti dengan penjaga gol, Emi Martinez menjadi wira kemenangan.

Brazil turut mengharungi Copa America dengan rekod lima kemenangan dan mencatatkan satu seri sebelum mengesahkan tempat untuk mereka dalam perlawanan akhir ini.

Skuad kendalian Tite itu mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Ecuador dalam aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Brazil di peringkat separuh akhir, mereka berjaya menewaskan Peru dengan keputusan 1-0 untuk mengesahkan tempat beraksi dalam perlawanan akhir saingan Copa America tahun ini.

Brazil telah memenangi Copa America sebanyak lima kali dalam sejarah mereka iaitu pada 1919, 1922, 1949, 1989 dan 2019.

Mereka tentunya mahu memenangi sekali lagi gelaran Copa America pada tahun ini dengan mempunyai kelebihan bermain di halaman sendiri.

Argentina pula tentunya bersemangat untuk memenangi saingan Copa America edisi kali ini dalam usaha mereka untuk memastikan Messi akhirnya berjaya menjulang Piala di pentas bola sepak antarabangsa.

Lionel Messi sepanjang kariernya bersama skuad kebangsaan Argentina, beliau telah beraksi dalam empat aksi perlawanan akhir.

Messi pernah beraksi di pentas perlawanan akhir Copa America 2007, 2015 dan 2016 serta Piala Dunia 2014, namun kesemuanya berakhir dengan kedukaan.

Beliau tentunya mahu memastikan perlawanan akhir saingan Copa America 2021 berakhir dengan kejayaan untuknya seterusnya menjulang Piala pertama beliau bersama skuad kebangsaan Argentina.

Perlawanan akhir ini selain dari pertembungan antara dua gergasi benua Amerika Selatan, ia juga merupakan aksi perlawanan yang akan menemukan Messi dan Neymar.

Kedua-dua pemain itu sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka, dengan para peminat teruja untuk melihat sahabat baik itu beraksi sebagai musuh dalam perlawanan ini.

Perlawanan akhir yang dilangsungkan di Estadio Do Maracana ini akan diadili oleh Esteban Ostojich dari Uruguay.

Lima minit pertama permainan nampak agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tidak ada percubaan merbahaya yang berjaya dihasilkan.

Tiada insiden menarik yang berlaku melainkan satu layangan kad kuning yang dilayangkan oleh pengadil perlawanan kepada Fred.

Brazil kemudiannya dilihat sedikit mendominasi permainan dengan mereka lebih kerap melancarkan serangan berbanding Argentina.

Pada minit ke-13, ketika Brazil sedang melancarkan serangan, Neymar mendakwa yang beliau telah dikasari di dalam kotak penalti Argentina.

Pengadil perlawanan tidak melayan tuntutan beliau dengan Neymar kemudiannya menunjukkan seluarnya yang koyak sebagai bukti beliau dikasari.

Pengadil perlawanan tetap tidak melayan tuntutan dari Neymar dengan permainan diteruskan seperti biasa dan Brazil dilihat sangat dominan.

Selepas beraksi selama 15 minit, Argentina mula mendapatkan tempo permainan mereka dengan berjaya melancarkan beberapa siri serangan.

Pada minit ke-16, Messi telah dijatuhkan di dalam kotak penalti namun tiada apa-apa yang diputuskan oleh pengadil dan masa yang sama Neymar turut terbaring di tengah padang kerana mendakwa dirinya di kasari.

Kedua-dua pemain kembali bangun dan meneruskan permainan seperti biasa dengan perlawanan dilihat masih seimbang.

Pada minit ke-21 hantaran jarak jauh dari Rodrigo De Paul berjaya menemui Angel Di Maria selepas Renan Lodi gagal untuk menahan bola tersebut.

Bintang PSG itu terus membawa bola masuk ke kotak penalti seterusnya melemaskan Ederson untuk menjaringkan gol pertama Argentina dalam perlawanan ini.

Angel Di Maria merupakan pemain Argentina pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam aksi perlawanan akhir Copa America sejak kali terakhir dilakukan oleh Cesar Delgado pada tahun 2004.

Pada minit ke-29, Di Maria sekali lagi hampir untuk menggandakan kedudukan namun bola rembatan beliau terbias terkena kaki Renan Lodi dan dikeluarkan dari kawasan bahaya.

Argentina berjaya mendominasi permainan pada 10 minit terakhir aksi babak pertama permainan dengan Brazil sesekali turut melancarkan serangan.

Pada minit ke-32 permainan, Leandro Paredes telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan kerana beliau mengasari Neymar di hadapan kotak penalti Argentina.

Neymar mengambil sepakan percuma itu namun rembatan beliau sekadar terkena benteng pertahanan Argentina.

Pada minit ke-37, Angel Di Maria dengan tiba-tiba mengalami kecederaan mungkin kekejangan dan beliau dengan segera diberikan rawatan di belakang gawang gol Brazil.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan Argentina mendahului Brazil 1-0 selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi persembahan yang agak menarik sepanjang 45 minit pertama permainan.

Masuk babak kedua permainan, Brazil dilihat lebih bernafsu untuk melancarkan serangan ke kubu Argentina dengan mereka berjaya melancarkan beberapa siri serangan.

Pada minit ke-50 permainan Lo Celso telah dilayangkan kad kuning kerana beliau melakukan terjahan yang agak merbahaya ke atas Neymar.

Seminit selepas itu, Richarlison berjaya meledak gol penyamaan untuk Brazil mengikat Argentina 1-1, namun gol jaringan beliau dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana mendakwa beliau berada di kedudukan offside.

Pada minit ke-53, Richarlison sekali lagi berkesempatan untuk merobek gawang gol Argentina namun rembatan padunya berjaya ditepis keluar oleh Emi Martinez.

Brazil dilihat benar-benar dominan pada aksi babak kedua permainan dengan mereka berjaya melancarkan beberapa siri serangan.

Jentera serangan Argentina sepertinya gagal untuk melancarkan serangan dan mereka dilihat lebih kerap membantu barisan pertahanan untuk menghalang Brazil mencari gol penyamaan.

Minit ke-66 permainan, Rodrigo De Paul telah dilayangkan dengan layangan kad kuning selepas beliau mengasari Neymar.

Dua pemain Argentina dilayangkan kad kuning kerana mengasari Neymar dalam perlawanan ini dan ia jelas menunjukkan bintang PSG itu benar-benar berfungsi dengan baik dalam perlawanan ini.

Pada minit ke-69, giliran Renan Lodi pula dilayangkan dengan layangan kad kuning selepas beliau mengasari Angel Di Maria.

Brazil tidak henti-henti melancarkan serangan ke kubu Argentina namun usaha mereka untuk mencari gol penyamaan masih gagal.

Pada minit ke-80, giliran Otamendi pula dilayangkan dengan layangan kad kuning selepas beliau mengasari Neymar.

Kekecohan berlaku di tengah padang dengan para pemain Brazil merasa tidak berpuas hati dengan tindakan pemain Argentina yang tidak habis-habis mengasari Neymar.

Marquinhos turut dilayangkan kad kuning kerana beliau telah menolak Otamendi dari belakang kerana bengang melihat rakan sepasukannya dikasari.

Emi Martinez sekali lagi menjadi wira Argentina apabila beliau berjaya menyelamatkan bola rembatan padu dari Gabi pada minit ke-87 permainan.

Messi dijulang oleh rakan sepasukannya

Minit ke-88, Lionel Messi hampir menggandakan kedudukan selepas berdepan dengan situasi satu lawan satu dengan Ederson, namun beliau gagal memanfaatkan kesempatan emas itu.

Lima minit masa kecederaan disajikan dengan aksi serang menyerang dari kedua-dua pasukan dengan mempamerkan persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan menandakan bahawa Argentina muncul Juara saingan Copa America edisi kali ini.

Lionel Messi akhirnya berjaya menjulang Piala Kejuaraan pertamanya bersama skuad kebangsaan Argentina dan mengukuhkan lagi kedudukan beliau sebagai pemain terhebat sepanjang zaman.

Argentina: Emi Martinez, Otamendi, Acuna, Montiel, Romero, De Paul, Paredes, Lo Celso, Messi, Di Maria, Lautaro Martinez.

Pemain simpanan: Marchesin, Armani, Tagliafico, Pezzella, Molina, Lisandro Martinez, Gomez, Angel Correa, Rodriguez, Palacios, Aguero, Gonzalez.

Brazil: Ederson, Thiago Silva, Danilo, Marquinhos, Renan Lodi,

Casemiro, Fred, Everton, Lucas Paqueta, Richarlison, Neymar

Pemain simpanan: Weverton, Alisson, Alex Sandro, Emerson, Leo Ortiz,
Eder Militao, Everton Ribeiro, Fabinho, Douglas Luiz, Firmino,
Gabriel Barbosa, Vinicius Junior.

Sumber: Daily Mail (line-up)

BACA:Β  Pra Piala Dunia: UAE 0-5 Argentina