Costa Dedah Beliau Sanggup Terjah Mak Sendiri Demi Bantu Atletico Menang

Diego Costa sambil bergurau telah menyatakan yang beliau sanggup menerjah ibu kandungnya sendiri jika ia boleh memberi kemenangan pada Atletico Mineiro.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu telah mengharungi karier panjang di benua Eropah sebelum ini dan beliau sangat terkenal ketika mencipta nama bersama Atletico Madrid dan Chelsea.

Beliau kini sedang dalam usahanya untuk mencipta nama di Brazil dengan beraksi bersama Atletico Mineiro dan bekas bintang Chelsea itu sudah berjaya menarik perhatian peminat sejak dari temu bual pertamanya lagi.

Beliau telah mengeluarkan kenyataan yang sangat menarik, kasar, lucu, dan boleh menimbulkan pelbagai lagi reaksi pada temu bual pertamanya bersama kelab.

Costa mendedahkan kepada TV Galo bahawa:

“Jika ibu saya ada di atas padang dan saya perlu tumbangkan dia untuk menang, saya akan lakukannya. Saya akan lakukan apa saja untuk menang.”

Beliau masih tetap menjadi Diego Costa yang dikenali oleh peminat dengan sentiasa mengeluarkan kata-kata yang agak kasar.

Tidak hairanlah andai beliau akan segera menjadi pemain kesayangan peminat Mineiro selepas melihat bagaimana beliau menunjukkan rasa sayangnya pada kelab.

Costa juga sememangnya terkenal sebagai pemain yang akan senantiasa melakukan kerja kotor dan namanya cukup sinonim sebagai seorang penyerang yang sangat panas baran.

Pemain berusia 32 tahun itu langsung tidak pernah bermain sejak Disember lalu, selepas meninggalkan Atletico Madrid buat kali yang kedua.

Peminat awalnya merasakan yang Costa mungkin akan lebih bertenang selepas ini memandangkan usianya yang sudah lanjut dan berada dipenghujung kariernya.

Walau bagaimanapun, ia sepertinya satu hal yang tak mungkin akan berlaku dengan Costa dilihat masih menjadi dirinya yang dahulu, bahkan beliau dilihat semakin nakal.

Ketika temu bual rasminya itu, beliau telah mendedahkan bahawa:

“Tidak akan pernah ada kekurangan dari segi dedikasi, larian dan sudah tentu jumlah jaringan.”

“Selepas sekian lama di Eropah, saya berimpian untuk bermain di kancah saingan bola sepak Brazil dan tidak ada yang lebih hebat dari ini, pasukan dengan tradisi.. saya harap tahun ini kami diberkati dan berjaya memenangi pelbagai kejuaraan.”

Ketika kariernya di England, Costa berjaya membantu Chelsea memenangi dua kali gelaran Premier League dan turut memenangi satu kejuaraan Carabao Cup.

Kekuatan dan fizikal beliau sememangnya sangat sesuai dengan corak permainan Chelsea yang sering menggunakan pemain penyerang sepertinya.

Costa sememangnya mempunyai kualiti penyudah yang sungguh luar biasa menakjubkan, beliau berjaya menjaringkan 20 gol ketika musim pertamanya dalam saingan premier league.

Beliau juga turut menjaringkan gol ketika membantu Chelsea menewaskan Tottenham Hotspur dalam saingan League Cup di Wembley.

Rekod beliau ketika beraksi bersama Atletico Madrid juga tidak kurang hebatnya dan beliau tentunya bakal memberikan impak yang positif bersama Mineiro selepas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Simeone Berang Dengan Keputusan Pengadil Yang Tidak Konsisten