Dana White Akhirnya Menyerah Tak Mampu Pujuk Khabib Kembali Ke Gelanggang

Peminat UFC semuanya tentu tahu bagaimana kegigihan Dana White, terutama dalam usahanya untuk terus menjaga petarung terbaik yang beliau miliki.

Sayangnya, beliau sudah putus harapan untuk berharap Khabib Nurmagomedov akan kembali ke gelanggang Octagon, selepas bersara dengan rekod 29-0 sebelum ini.

Petarung dari Rusia itu mengejutkan ramai pihak selepas mengumumkan persaraannya di usia 32 tahun, ketika beliau baru sahaja menewaskan Justin Gaethje di Fight Island.

Apa yang lebih mengejutkan tentang persaraan beliau adalah beliau memilih untuk bersara ketika dirinya sedang berada di kemuncak prestasinya.

Khabib ketika itu memegang rekod 29 kemenangan secara berturut-turut, dengan beliau baru saja menewaskan 3 petarung terbaik kategori lightweight UFC, menerusi kemenangan KO.

Beliau ketika itu menewaskan Conor McGregor, Dustin Poirier dan terakhir Justin Gaethje, untuk mengekalkan rekod 29 kemenangan tanpa kalah Khabib sepanjang kariernya bersama UFC.

Beliau mengumumkan persaraannya dalam satu pengumuman yang sangat beremosi, dengan beliau menyebut tentang ayahnya, Abdulmanap Nurmagomedov yang baru meninggal dunia pada ketika itu.

Sebaik ayahnya meninggal dunia, Khabib telah berjanji dengan ibunya yang pertarungan bertemu Justin Gaethje bakal menjadi perlawanan terakhirnya sebelum beliau bersara terus dari dunia sukan MMA.

Sejak dari itu, Khabib Nurmagomedov mula mengikuti jejak langkah arwah ayahnya dengan mula menjadi jurulatih dan melatih petarung-petarung muda dari kampungnya di Dagestan.

Dua petarungnya yang dianggap paling berjaya pada ketika ini adalah Islam Makhachev dan Zubaira Tukhugov.

Dana White juga masih tidak menyerah untuk terus memujuk Khabib supaya kembali ke gelanggang Octagon, dengan beliau memberi pelbagai tawaran menarik untuk ditawarkan kepada petarung dari Dagestan itu.

Walau bagaimanapun, Presiden UFC itu akhirnya putus harapan dan tidak mahu berharap lagi untuk melihat Khabib kembali ke gelanggang.

“Saya dah putus harapan, jadi kamu juga sepatutnya rasa begitu.”

Jelas White kepada TMZ Sports.

Dana White berhenti berharap

“Dia sudah selesai. Percaya saya, saya dah cuba macam-macam untuk pujuk dia. Saya cuba untuk pastikan dia kembali, tapi saya rasa dia sudah selesai.”

“Dia dah mula ceburi bidang kejurulatihan, dia tidak terkalahkan ketika kariernya, dan dia bersara tanpa kalah, dan kini dia juga merupakan pengurus yang masih belum kalah.”

“Dia memang tak ada apa melainkan kejayaan, dia terus menerus capai kejayaan, dan dia sudah masuk ke babak terbaru dalam kariernya, saya yakin Khabib sudah selesai.”

Khabib baru-baru ini turut mendedahkan tentang mengapa beliau menolak tawaran £100 juta untuk bertarung dengan legenda tinju yang mempunyai rekod 50-0, Floyd Mayweather.

Bercakap dalam temu bual di Hotboxin podcast bersama Mike Tyson, Khabib menyatakan bahawa:

“Saya tidak bertarung kerana duit,”

Beliau juga menegaskan yang dirinya tidak akan pernah kembali andai ditawarkan dengan tawaran lumayan.

Tidak kira apa alasan Khabib meninggalkan dunia sukan MMA atau UFC secara umumnya, beliau tetap akan dianggap sebagai salah seorang petarung paling berbakat dan akan terus dikenang sebagai yang terhebat sepanjang zaman.

Sumber: GMS

BACA:  Dana White: Bola Sepak Menjengkelkan, Sukan Paling Kurang Berbakat Di Bumi