Reaksi Tenang Khabib Hadap Penceroboh Pentas Curi Perhatian Peminat

Bekas Juara lightweight dunia UFC, Khabib Nurmagomedov telah diserang oleh seorang peminat ketika sesi temu bual beliau baru-baru ini, namun ketika insiden tersebut berlaku, beliau tetap tenang.

Reaksi Khabib yang seolah langsung tak berkelip mata walau ada peminat yang menceroboh naik ke pentas, mencuri perhatian peminat.

Beliau jelas tenang dan langsung tidak rasa terancam walau ada yang tiba-tiba naik ke pentas meluru ke arahnya, dan ia membuktikan Khabib sememangnya petarung sejati.

Petarung dari Rusia itu mengumumkan persaraannya dari dunia UFC selepas menewaskan Justin Gaethje di acara UFC 254 pada Oktober 2020 yang lalu.

Beliau baru-baru ini diundang ke persidangan ‘Spread Kindness Together’ yang mana telah berlaku satu insiden di hujung acara tersebut, ketika seorang peminat menceroboh naik ke pentas.

Dalam video yang dimuat naik oleh @AlexBehunin di laman twitter miliknya itu, Khabib berdiri untuk mengucap terima kasih kepada semua yang hadir melihat temu bual beliau.

Dengan tiba-tiba, seorang peminat terlepas naik ke atas pentas dan berdiri betul-betul di hadapan Khabib Nurmagomedov di atas pentas tersebut.

Sambil memegang kamera di tangan kirinya, peminat tersebut sepertinya mengajak Khabib untuk berpeluk dan bergambar, sebelum beliau ditarik oleh pengawal keselamatan.

Khabib yang dianggap sebagai petarung terhebat sepanjang zaman UFC, yang juga memegang rekod 29-0, tidak goyang sama sekali ketika peminat tersebut menceroboh naik ke pentas, namun beliau jelas tidak gembira dengan situasi tersebut.

“Tidak, tidak, tidak. Kawan, jangan buat macam ni.”

Beliau kemudiannya dengan tenang memberikan ucapan kepada para penonton dengan menyatakan:

“Saya datang dari dari benua yang lain hanya untuk berjumpa kamu semua, dan kamu tahu, saya rasa saya berhak dapat penghormatan yang lebih.”

“Terima kasih kerana datang, saya rasa seolah seluruh dunia, sokongan yang besar dari orang yang ada sudut pandangan yang sama seperti saya, dan saya benar-benar percaya, semua orang di sini ada pandangan yang sama dengan saya.”

“Dan tolong jaga anak-anak anda, mereka adalah masa depan kita.”

Petarung dari Rusia itu selepas bersara dari gelanggang Octagon, beliau telah kembali aktif menjadi jurulatih MMA, dengan anak-anak buahnya seperti Islam Makachev turut memegang rekod tanpa kalah.

Beliau sememangnya salah seorang peminat sukan bola sepak dengan Khabib sebelum ini sering mengisi masa lapang untuk bermain bola sepak.

Beliau turut sudah menandatangani perjanjian bersama sebuah kelab amatur di Rusia untuk bermain bola sepak secara profesional.

Petarung dari Rusia itu baru-baru ini turut berkunjung ke Old Trafford untuk menyaksikan aksi pertemuan antara Manchester United bertemu Everton dalam saingan Premier League.

Beliau turut sempat bergambar bersama Sir Alex Ferguson, Usain Bolt dan Patrice Evra yang turut sama hadir menyaksikan aksi perlawanan tersebut di Old Trafford.

Beliau turut dilihat hadir ke Anfield untuk menyaksikan pertembungan Liverpool bertemu Manchester City yang berkesudahan seri 2-2 hujung minggu lalu.

Sumber: GMS

BACA:  McGregor Dihentam Teruk Kerana Menghina Arwah Ayah Khabib