Dari Calon Pemenang Ballon D’or, Jorginho Kini Titik Terlemah Pujaan Chelsea

Nama Jorginho hangat disebut-sebut oleh para peminat sejak beberapa minggu terakhir ini, dengan beliau merupakan pemenang tempat ketiga anugerah Ballon D’or 2021.

Beliau awalnya dikatakan antara calon paling layak memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun 2021, berdasarkan pencapaiannya di peringkat kelab dan negara.

Jorginho berjaya membantu Chelsea menjuarai saingan Champions League pada musim lalu, dan beliau juga merupakan nadi yang membantu Itali menjuarai saingan Euro 2020.

Walau bagaimanapun, ketika ramai yang menyebut-nyebut tentang kehandalan dan kehebatan beliau, Jorginho telah melakukan dua kesilapan yang menyebabkan Chelsea rugi lima mata.

Kehilangan lima mata penting itu menyebabkan Chelsea kini jatuh ke kedudukan ketiga dalam carta liga, dua mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Beliau sebelum ini melakukan kesilapan dan menjadi punca Jadon Sancho menjaringkan gol untuk mengikat Chelsea 1-1 di Stamford Bridge.

Tidak dinafikan yang beliau juga merupakan penjaring gol dalam perlawanan itu, selepas menyempurnakan sepakan penalti yang Chelsea menangi, namun itu tidak boleh menutup kesilapan awal yang beliau lakukan.

Beliau kemudiannya direhatkan ketika aksi kemenangan 2-1 Chelsea menewaskan Watford, dan kembali berada dalam kesebelasan utama pada aksi minggu ini.

Ketika aksi bertemu West Ham, Jorginho jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dan beliau merupakan titik terlemah Chelsea yang menjadi sasaran jentera serangan The Hammers.

Beliau telah melakukan kesilapan yang menyebabkan West Ham United memenangi sepakan penalti dalam perlawanan ini, selepas membuat hantaran ke belakang yang super dungu.

Jorgin yang pada ketika itu sedang menghadap Mendy sebelum membuat hantaran sudah melihat kelibat Jarrod Bowen berada dalam kotak penalti mereka.

Tanpa memikirkan yang Bowen akan mencabar bola itu, beliau segera menolak bola kepada Mendy dan menyebabkan penjaga gol Senegal itu dicabar oleh Bowen.

Mendy terpaksa menjatuhkan Bowen dan menyebabkan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada West Ham dalam perlawanan ini.

Ia jelas satu kesalahan yang sukar untuk diterima dengan Jorginho tak sepatutnya melorongkan semula bola ke belakang, ketika pemain lawan ada berhampiran dengan penjaga gol.

Beliau juga tidak mencatatkan statistik yang begitu baik dalam perlawanan ini, dan dari dua perlawanan terakhirnya, beliau sudah melakukan dua kesilapan yang membahayakan Chelsea sendiri.

Chelsea sebelum ini memulakan kempen saingan Premier League dengan sangat baik, dengan mereka berjaya bertahan di puncak saingan liga untuk tempoh beberapa minggu.

Dua aksi buruk dari tiga perlawanan terakhir, menyebabkan mereka dipintas oleh Liverpool dan Manchester City yang sudah cucuk angin sejak The Blues mencatatkan keputusan seri bertemu United sebelum ini.

Chelsea terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-28 permainan menerusi Thiago Silva, sebelum Manuel Lanzini menyamakan kedudukan lima minit sebelum tamat aksi babak pertama.

Mason Mount kemudiannya meledak gol pendahuluan untuk Chelsea selepas tenang menjaringkan gol satu minit sebelum tamat aksi separuh masa pertama.

The Blues mendahului perlawanan dengan keputusan 2-1 pada aksi babak pertama, dengan mereka sudah mula yakin untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

Masuk aksi babak kedua permainan, Jarrod Bowen berjaya menyamakan kedudukan, seterusnya melenyapkan harapan Chelsea untuk kutip tiga mata penuh.

Arthur Masuaku cemerlang memanfaatkan kesilapan Mendy berada di kedudukan off position untuk meledak gol ketiga West Ham dalam perlawanan ini.

Perlawanan tamat dengan anak-anak buah David Moyes cemerlang menumbangkan pendahulu saingan Premier League dengan keputusan 3-2.

Kekalahan ini memperlihatkan Chelsea tersungkur dari pendahulu saingan liga, pergi ke kedudukan ketiga pada ketika ini, dengan mereka sedang ketinggalan dua mata di belakang Manchester City.

West Ham pula merupakan pasukan yang paling digeruni oleh big six dalam saingan Premier League musim ini, dengan dua calon juara sudah berjaya ditewaskan oleh mereka.

Liverpool sebelum ini menjadi mangsa ditewaskan oleh West Ham dan ia merupakan satu-satunya kekalahan mereka sepanjang musim ini.

The Hammers kini enam mata di belakang Chelsea, dengan mereka pada ketika ini berada di kedudukan keempat dalam carta saingan liga.

Sangat menarik untuk melihat bagaimana West Ham bersaing dalam saingan Premier League pada ketika ini, dengan mereka dianggap pasukan kegemaran yang akan turut layak ke saingan Champions League pada musim hadapan.

BACA:  Here We Go! Jorginho Ke Arsenal