David Beckham Mahu Membawa James Rodriguez Ke Inter Miami

David Beckham mahu menjadikan James Rodriguez sebagai pemain bintang pertama yang beliau mahu tandatangani di Inter Miami.

Kelab milik Beckham yang beraksi di MLS itu telah mengadakan perlawanan pertama mereka pada bulan Mac lalu dengan barisan pemain terbaik yang mereka miliki.

Tetapi bekas ketua pasukan England itu secara terang-terangan menyenaraikan beberapa pemain bintang yang ingin beliau bawa masuk ke kelab miliknya.

Menurut laporan dari media Sepanyol, eldesmarque, Beckham kini sangat berminat untuk mendapatkan pemain kebangsaan Colombia, James Rodriguez bagi memperkuat barisan pemain sedia adanya.

Beckham turut dilaporkan sudah berhubung dengan presiden kelab Real Madrid, Florentino Perez untuk menyampaikan hasratnya mahu mendapatkan James Rodriguez.

Los Blancos menandatangani Rodriguez dari Monaco pada tahun 2014 dengan nilai perpindahan £63 juta.

Beliau berjaya menarik minat Real Madrid untuk menandatanganinya selepas mempamerkan aksi luar biasa hebat semasa kempen Piala Dunia ketika itu.

Beliau mengharungi musim pertama yang cemerlang bersama Real Madrid. Namun aksinya seperti kurang menjadi dari masa ke semasa hingga Los Blancos terpaksa meminjamkannya kepada Bayern Munich.

Beraksi bersama Bayern Munich, James Rodriguez menjadi antara pemain yang banyak juga menyumbang untuk pasukan, namun beliau masih gagal untuk menambat hati pimpinan Bayern untuk menandatanganinya.

Beliau akhirnya kembali semula menyertai Real Madrid pada musim panas yang lalu.

James Rodriguez sukar untuk mendapat tempat dalam skuad utama Zinedine Zidane dan sepertinya beliau mungkin akan meninggalkan terus pasukan itu musim hadapan.

Hal ini kerana baki kontrak beliau bersama Real Madrid juga hanya tinggal satu musim lagi dan akan berakhir pada tahun 2021.

Zinedine Zidane turut mendedahkan bahawa beliau sentiasa bersedia untuk melepaskan James sekiranya ada mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Pemain berusia 28 tahun itu sudah pastinya akan menjadi pemain berstatus bintang terbaik untuk beraksi bersama Inter Miami.

James Rodriguez antara pilihan terbaik yang Beckham ada memandangkan beliau sendiri mahu seorang pemain berprofil tinggi yang fasih berbahasa Sepanyol untuk memenuhi permintaan dari komuniti Hispanic yang besar di bandar itu.

Sporting director pasukan Inter Miami, Paul McDonough muncul dalam rancangan minggu kelab ‘OnSide’ dan telah mendedahkan bahawa mereka mahu mendapatkan dua pemain bintang musim hadapan untuk memberi kejayaan kepada pasukan.

Selain mencari kejayaan didalam padang, dengan kehadiran pemain berstatus bintang, sudah pasti mereka akan lebih mendapat perhatian dan akan lebih dikenali.

Legenda England, David Beckham secara tiba-tiba meletakkan tawaran empat tahun dan pendapatan yang lumayan kepada bintang Barcelona Luis Suarez.

Apa yang lebih hebatnya lagi, Inter Miami turut dikaitkan dengan dua pemain terbaik dunia kini, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

“Setiap orang sudah pasti ada pilihan mereka sendiri. Semua orang ada!”

Jelas Beckham kepada beberapa orang wartawan pada bulan Mac lalu.

“Tetapi jika anda melihat cara Leo dan Cristiano masih bermain, walaupun pada tahap yang mungkin anda fikirkan adalah tahap akhir karier mereka, saya tidak melihatnya begitu.”.

“Mereka beraksi diperingkat terbaik dan sukar untuk melihat mereka meninggalkan pasukan yang sedang mereka wakili itu. Tapi kita akan saksikan nanti. Kamu tidak akan tahu apa akan berlaku dalam dunia bola sepak ini.”

BACA:  Koyak Teruk James Rodriguez Dengan Keputusan Tidak Masuk Akal Pengadil