Debut Yang Menakjubkan Untuk Coutinho Selepas Menjaringkan Gol Bertemu United Bantu Villa Kutip 1 Mata

Philippe Coutinho cemerlang menjaringkan gol ketika debutnya bertemu Manchester United awal pagi tadi, seterusnya bantu Villa kutip satu mata berharga.

Bintang Brazil itu berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Aston Villa ikat Manchester United 2-2 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Villa Park itu.

Coutinho tidak disenaraikan dalam senarai kesebelasan utama Aston Villa, dengan pemain yang baru sahaja dipinjamkan dari Barcelona itu telah dibawa masuk pada aksi babak kedua.

Beliau masuk menggantikan Morgan Sanson pada minit ke-68 permainan dan Coutinho hanya memerlukan 14 minit sahaja untuk membuka akaun jaringan beliau dalam karier keduanya di England.

Pemain kebangsaan Brazil itu berjaya menewaskan David De Gea yang sedang dalam persembahan terbaiknya pada ketika ini itu, untuk bantu Villa comeback selepas ketinggalan 2-0.

Bruno Fernandes terlebih dahulu berada di hadapan seawal minit ke-6 permainan, selepas berjaya melepaskan rembatan padu terus ke arah gawang gol Emiliano Martinez.

Emi Martinez boleh dipersalahkan untuk gol pertama jaringan Bruno Fernandes ini kerana beliau sebenarnya boleh menyelamatkan bola itu andai guna teknik yang betul.

Setan merah nampak benar-benar selesa sepanjang 30 minit awal dalam perlawanan ini, namun De Gea terpaksa bekerja lebih keras lagi pada aksi babak kedua.

Villa jelas lebih mendominasi perlawanan pada aksi babak kedua, namun Fernandes terlebih dahulu berjaya meledak gol kedua peribadinya untuk bantu Man Utd mendahului 2-0.

Gol kedua Fernandes sebenarnya merupakan gol yang cukup berkualiti baik dari segi penyudah, mahupun hantaran awal yang dilakukan oleh Fred.

Mendahului 2-0 dengan perlawanan sudah masuk minit ke-70, tentu saja para pemain setan merah yakin yang mereka akan pulang bawa tiga mata penuh.

Pada minit ke-77 permainan, Jacob Ramsey berjaya menjaringkan gol pembukaan untuk Aston Villa seterusnya menghidupkan peluang untuk mereka mengelak dari merekodkan kekalahan keempat berturut-turut.

Pada minit ke-81, Philippe Coutinho cemerlang meledak gol penyamaan untuk bantu Aston Villa ikat Manchester United 2-2.

Setan merah turun tanpa Cristiano Ronaldo dan Marcus Rashford yang terpaksa diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Aaron Wan-Bissaka juga terpaksa diketepikan kerana beliau dilaporkan sedang sakit.

Ketua pasukan, Harry Maguire sekali lagi diletakkan di bangku simpanan sahaja dengan pengurus interim kelab itu menegaskan keputusannya tidak menurunkan Maguire adalah lebih kerana kehendak taktikal.

β€œHarry sudah sembuh sejak dua minggu, dia tak ada masalah apa-apa lagi, tapi saya memutuskan yang saya mahu gunakan dua pemain centre-back yang saya guna ketika dalam aksi Piala FA.”

Jelas Ralf Rangnick.

Setan merah kekal di kedudukan ketujuh dalam carta saingan Premier League pada ketika ini, dengan mereka lima mata dibelakang West Ham yang sedang berada di kedudukan keempat.

Walau semakin menghampiri West Ham, namun keputusan pada hari ini bukanlah keputusan yang diinginkan oleh kem Manchester United.

Mereka perlu mengelak dari terus keciciran mata kerana perebutan merebut kedudukan empat teratas dalam saingan Premier League musim ini sangat sengit.

Keciciran mata sebenarnya bakal menyebabkan peluang untuk mereka layak ke saingan Champions League musim hadapan semakin sukar.

Keputusan seri Man Utd ini juga jelas sekali merupakan satu hal yang sangat menggembirakan kem Tottenham Hotspur dan Arsenal yang mana mereka juga pencabar kepada kedudukan empat teratas.

Manchester United selepas ini akan turun beraksi bertemu Brentford, sebelum mereka melayan kunjungan West Ham pada 22 Februari nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Newcastle Tawarkan Bonus Lumayan Kepada Coutinho Untuk Memujuknya Ke St James Park