Delph: England Pasang Impian Untuk Julang Piala Dunia

Pemain tengah England, Fabian Delph berkata skuad England mula memasang impian untuk menjulang Piala Dunia dan beliau juga yakin skuad England kali ini mempunyai kemampuan untuk melakukan perkara tersebut.

England mara ke pusingan separuh akhir selepas mengenepikan cabaran Sweden dalam pusingan suku akhir dengan jaringan 2-0, hasil gol daripada Harry Maguire dan Dele Alli.

Delph percaya England mempunyai kemampuan untuk menjulang Piala Dunia dan akan berusaha keras untuk merealisasikan harapan tersebut

Hanya tinggal Croatia sahaja yang memisahkan England dengan pentas final Piala Dunia selepas 52 tahun, dimana England pernah menjulang trofi tersebut pada tahun 1966 ketika mereka menjadi tuan rumah.

Pemain tengah Manchester City ini turut berkata beliau tidak terkejut dengan persembahan yang ditampilkan skuad England di Russia setakat ini kerana mereka sedar apa yang mereka mampu lakukan.

“Kami tahu apa yang kami mampu lakukan. Saya rasa selepas perlawanan menentang Costa Rica, saya berasa sangat kagum dengan persembahan England dan apa yang kami mampu capai di Piala Dunia.”

“Kami masih lagi berupaya untuk memenangi Piala Dunia, jadi impian tersebut masih lagi bernyawa. Saya berharap kami akan terus berusaha ke arah mencapai sasaran tersebut.”

England juara Piala Dunia 2018 ? Adakah generasi England hari ini mampu mengulangi pencapaian Bobby Moore dan rakan-rakan pada tahun 1966 ? Abaikan Rooney, Joe Hart, dan Hodgson

Delph terlepas drama penentuan sepakan penalti ketika menentang Colombia kerana beliau bergegas pulang ke England untuk menyaksikan kelahiran anak ketiga beliau. Beliau kembali pulang ke pangkuan skuad England selepas itu dan masuk sebagai pemain gantian ketika England bertemu Sweden Sabtu lalu.

Sukar untuk membayangkan emosi yang telah dilalui Delph sepanjang 3 minggu aksi Piala Dunia termasuk kelahiran anak ketiganya, tetapi Delph mengakui walaupun pengalaman ini memberi tekanan kepada beliau, ia juga merupakan minggu paling menakjubkan sepanjang hidupnya.

“Ia merupakan pengalaman yang memberi tekanan, tetapi minggu lepas adalah minggu terbaik sepanjang hidup saya.”

“Tiada siapa mahu terlepas peluang untuk menyaksikan kelahiran anak mereka, jadi untuk melihat kelahiran anak dan kembali ke dalam skuad bagi membantu England layak ke pusingan separuh akhir merupakan pengalaman yang sukar untuk dipercayai.”

Kieran Trippier antara pemain England yang cemerlang sepanjang kempen Piala Dunia berlangsung

“Sekarang, selepas baby tersebut selamat dilahirkan, satu beban telah hilang di bahu saya. Sekarang baru saya rasa pengalaman ini. Ia satu pengalaman yang agak ‘gila’. 5, 6 minggu lalu saya ingat saya akan baik-baik sahaja, tetapi sekarang baru saya terasa pengalaman ini.”

England akan turun menentang Croatia dalam pusingan separuh akhir pada pagi Khamis ini, waktu Malaysia 2.00 pagi. Stadium Luzhniki bakal menjadi medan bagi kedua-dua negara merebut satu slot ke pentas final Piala Dunia 2018.

BACA:  Southgate Sah Kekal Bersama England Sehingga EURO 2024