Marie-Louise Eta adalah jurulatih wanita pertama melatih skuad utama kelab Bundesliga apabila dia dinaikkan pangkat sebagai pembantu jurulatih kepada Marco Grote yang mengendalikan pasukan itu secara interim.
Kelab dari Jerman itu mengumumkan perubahan tersebut pada Rabu lalu selepas memecat pengurus pasukan, Urs Fischer yang sebelum ini berjaya membawa Union Berlin memenangi promosi ke Bundesliga pada 2019, sebelum melayakkan diri ke Champions League.
Grote sebelum ini adalah pengendali skuad B-19 kelab itu dan akan mengendalikan skuad utama secara interim. Grote juga bertanggungjawab untuk membawa Eta sebagai pembantunya yang sebelum ini turut melatih skuad B-19 bersamanya.
Eta berusia 32 tahun dan kini menjadi jurulatih wanita pertama yang akan melatik skuad utama lelaki di Bundesliga.
Union Berlin melalui musim yang suram setakat ini apabila menduduki tangga tercorot Bundesliga dengan enam mata selepas merekodkan hanya dua kemenangan dan sembilan kekalahan daripada 11 perlawanan pada musim ini.
Marie-Louise Eta is set to become the first female assistant coach in the Bundesliga 👏
She joins Union Berlin under interim head coach Marco Grote following the sacking of Urs Fischer. pic.twitter.com/DScZ6T7j7j
— B/R Football (@brfootball) November 15, 2023
Situasi tersebut jauh berbeza berbanding musim lalu apabila pasukan itu menamatkan saingan Bundesliga di kedudukan keempat dengan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dan lapan kekalahan sahaja sepanjang musim.
Pada masa ini Union Berlin turut menduduki tangga tercorot Kumpulan C UCL musim ini dengan 1 mata selepas seri 1-1 dengan Napoli dalam kumpulan yang turut terdiri daripada Real Madrid dan Braga.
Eta bukan watak asing di dalam bola sepak Jerman. Ketika masih aktif sebagai pemain, Eta yang beraksi sebagai pemain tengah menjulang Champions League Wanita dan tiga kejuaraan Bundesliga bersama Turbine Potsdam.
Beliau juga pernah menyarung jersi Hamburg, Cloppenburg dan Werder Bremem sebelum bersara pada 2018 pada usia 26 tahun.
Karier kejurulatihannya pula bermula bersama skuad B-15 lelaki Werder Bremen dan bekerja di bawah Bettina Wiegman sebagai pembantu jurulatih untuk skuad B-15 negaranya, sebelum turut melatih skuad B-17 Jerman.