Enam Pemain Yang Bakal Liverpool Lepaskan Musim Panas Ini

Tidak dinafikan jendela perpindahan musim panas ini agak sepi untuk kem Liverpool dengan mereka masih belum mengumumkan penandatanganan terbaru, selain dari Ibrahima Konate.

Berbanding pada musim lalu, Liverpool telah berjaya melengkapkan dua penandatanganan besar dengan membawa Diogo Jota dan Thiago Alcantara ke Anfield.

Selepas berdepan dengan krisis kecederaan pemain pertahanan pada musim lalu, kehadiran Ibrahima Konate dianggap sebagai langkah persiapan Liverpool untuk selesaikan masalah di posisi tersebut.

Walau bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada tanda-tanda yang menunjukkan Liverpool akan membawa masuk pemain baru memandangkan musim baharu sudah hampir bermula.

Walau bagaimanapun, terdapat laporan dari media UK yang menyatakan bahawa The Reds pada ketika ini sedang dalam usaha mereka untuk merombak skuad dengan melepaskan beberapa pemain sebelum menandatangani bintang baru.

The Daily Mirror turut melaporkan yang Liverpool ketika ini sudah menyenaraikan enam pemain yang bakal dilepaskan pada jendela perpindahan musim panas ini.

Tujuan mereka melepaskan pemain tersebut adalah untuk mengurangkan pemain berstatus bukan ‘homegrown’ terlebih dahulu sebelum membawa masuk pemain lain.

Ia kerana bagi mengikuti peraturan yang telah ditetapkan oleh Premier League yang setiap pasukan tak boleh memiliki lebih dari 17 pemain berstatus bukan ‘homegrown’.

Marko Grujic dan Georginio Wijnaldum sudah meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan musim panas ini, namun The Reds harus memilih beberapa pemain lagi untuk dilepaskan.

Wijnaldum kini sedang beraksi bersama PSG

Berikut merupakan enam pemain yang dilaporkan bakal dilepaskan oleh pihak kelab pada jendela perpindahan musim panas ini.

1) Divock Origi

Penjualan Origi ini bakal memberi hasil yang baik untuk kedua-dua belah pihak, dengan Liverpool tidak sepatutnya terus menyimpan pemain sepertinya dalam skuad mereka.

Semakin lama beliau diperam, semakin peminat lupa yang Origi pernah menjaringkan gol penting ketika bertemu Everton, Barcelona dan Tottenham Hotspur ketika aksi perlawanan akhir Champions League.

Untuk kebaikan kariernya sendiri juga, Origi perlu beraksi bersama pasukan yang boleh memberi jaminan minit permainan padanya.

Beliau tidak sepatutnya terus diperam, semua orang tahu bakat dan potensi yang beliau miliki, namun dek kerana kekurangan minit permainan, bintang Belgium itu dilihat semakin tumpul pada ketika ini.

2) Xherdan Shaqiri

Xherdan Shaqiri tidak dinafikan lagi sememangnya salah seorang pemain yang sangat berbakat dan mempunyai potensi.

Beliau pernah menjulang dua kejuaraan Champions League dalam kariernya, namun sepertinya tiada tempat untuk bintang Switzerland itu dalam skuad utama Liverpool ketika ini.

Dengan kontraknya masih aktif sehingga 2023, Liverpool sepertinya perlu menjual saja Shaqiri sekarang, memandangkan beliau masih ada harga dalam pasaran pemain.

3) Loris Karius

Ya, faham tentu ramai akan terkejut, namun harus difahami yang Loris Karius sebenarnya masih lagi pemain Liverpool dan berada di bawah tanggungjawab kelab.

Memandangkan kisah dan sejarah hitam beliau di Anfield, adil untuk katakan yang sukar untuk melihat Karius kembali beraksi bersama skuad utama.

Beliau pada musim lalu telah dipinjamkan untuk beraksi bersama Union Berlin, dan beliau sepertinya perlu segera untuk mengakhiri kariernya di Anfield.

4) Nathaniel Phillips

Pemain centre-back ini merupakan wira skuad The Reds pada penghujung musim lalu, dengan beliau cemerlang bergandingan bersama Ozan Kabak di posisi pertahanan Liverpool.

Selepas Liverpool kehilangan tiga pemain centre-back utama, Van Dijk, Gomez dan Matip pada musim lalu, Nathaniel Phillips berjaya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pilihan utama skuad.

Namun begitu, selepas kepulangan semula kesemua pemain pertahanan yang cedera, dan ditambah dengan Ibrahima Konate, sepertinya sukar untuk Nat mendapat tempat.

Beliau ketika ini sedang dikaitkan dengan bakal menyertai Brighton dan sepertinya Liverpool akan bersedia untuk menjualnya jika tawaran yang diterima berbaloi.

5) Sheyi Ojo

Kerap dipinjamkan ke pasukan lain sejak beliau melakukan debutnya bersama skuad utama pada 2015 lalu, sepertinya tiada masalah untuk Liverpool menjual saja pemain seperti Ojo.

Walau bagaimanapun, selepas membenarkan beliau beraksi bersama pasukan lain untuk mencari pengalaman sebelum ini, sepertinya bakal pembeli Ojo akan lebih beruntung apabila mendapatkan khidmatnya nanti.

6) Ben Davies

Tidak dinafikan lagi, penandatanganan Ben Davies jelas sekali merupakan satu hal yang sia-sia dan sangat aneh pernah dilakukan oleh Liverpool.

Davies awalnya mahu ditandatangani oleh Celtic dari Preston North, namun kerana pihak kelabnya menghormati Liverpool sebagai pasukan Juara, maka mereka memutuskan untuk menjual pemain pertahanan itu kepada The Reds.

Sayangnya pula, Davies langsung tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetetif untuk Liverpool sejak ditandatangani.

Ben Davies ketika ini hangat dikaitkan bakal ditandatangani oleh Sheffield United, dan sepertinya Liverpool juga tiada masalah untuk kehilangan khidmat beliau pada ketika ini.

Sumber: GMS

BACA:  Tottenham Hotspur Dedah Enam Pemain Yang Bakal Dilepaskan Musim Panas Ini