England Ranapkan Harapan Benua Afrika

Perancis menanti pemenang perlawanan antara England dan Senegal di suku akhir dan secara mudahnya untuk meramalkan England adalah lawan Perancis.

Bukan mahu memperkecilkan atau merendah-rendahkan Senegal namun itulah hakikatnya dan jika England tewas maka itu adalah satu kejutan yang menarik untuk dilihat.

Dan jika itu terjadi bermakna Perancis akan mendapat satu lagi laluan mudah untuk ke separuh akhir.

Segalanya tentang England menjadi bualan dan pertikaian apabila Gareth Southgate memilih untuk memulakan Bukayo Saka berbanding Marcus Rashford.

Selepas Ben White yang pulang kerana alasan peribadi, Raheem Sterling juga tiada dalam senarai pasukan atas urusan keluarga.

Disebalik penguasaan bola England, Senegal dilihat lebih mengancam disepanjang separuh masa pertama sehinggalah 5 minit terakhir.

Senegal turun dengan harapan menggunung dari seluruh benua Afrika mengharapkan satu-satunya wakil mereka di pusingan kalah mati Piala Dunia mampu pergi sejauh mungkin.

Ismaila Sarr gagal menyambar hantaran dengan baik di mana John Stones datang menghalang, Ismaila Sarr mendakwa bola terkena tangan dan VAR mengesahkan tiada penalti.

Bola memang terkena tangan John Stones tetapi terkena kaki terlebih dahulu sebelum terbias ke siku, maka tidak menepati syarat sah penalti.

Minit ke-38 menyaksikan Jordan Henderson menjaringkan gol pertama England selepas menyempurnakan hantaran bakal rakan sepasukannya di Liverpool, Jude Bellingham.

Selepas yang pertama pasti hadir yang kedua dan Harry Kane menggandakan kedudukan buat England betul-betul sebelum tamat separuh masa.

Hantaran Phil Foden yang secukup rasa dan umami itu terus diledakkan Harry Kane dengan satu tembakan padu membuatkan Edouard Mendy sekali lagi tertewas.

Hanya dua gol lagi diperlukan Harry Kane untuk memecahkan rekod Wayne Rooney sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman England.

Gol yang dijaringkan untuk England dalam sejarah pasukan kebangsaan senior Lelaki dan Wanita:

โ—Ž 53 โ€“ Wayne Rooney
โ—‰ 52 โ€“ Harry Kane
โ—Ž 52 โ€“ Ellen White
โ—Ž 49 โ€“ Bobby Charlton

Dua gol dihujung babak telah mencerahkan kembali biji mata dengan England hanya melakukan 4 percubaan berbanding Senegal hanya dua percubaan.

Senegal jelas mempamerkan kesungguhan untuk mengurangkan defisit jaringan dengan usaha berterusan namun kualiti pemain membawa perbezaan yang jelas.

Mereka mencuba tetapi gagal untuk menghadirkan bahaya apatah lagi gol.

Berpunca dari hantaran Luke Shaw, Harry Kane memulakan gerakan mencari Phil Foden yang terus melakukan larian dari kini sebelum menyuap Bukayo Saka untuk satu tolakan mudah.

Gol ketiga Saka di saingan Piala Dunia 2022 setakat ini menyamai jaringan Rashford.

Gareth Southgate telah membuktikan kenapa keputusannya untuk memasukkan Bukayo Saka berbanding Marcus Rashford adalah satu keputusan yang betul.

Pada minit ke-65, Jack Grealish dan Marcus Rashford masuk menggantikan Bukayo Saka dan Phil Foden.

Selepas gol ketiga itu England bermain dengan tenang dan bersahaja membuatkan Senegal mati kutu walaupun melakukan 7 percubaan di babak kedua tiada percubaan tepat berjaya dihasilkan Senegal.

Suku akhir menjadi milik England untuk bertemu Perancis dan ini merupakan ujian sebenar bagi kedua-dua pasukan untuk ke separuh akhir.

Kesebelasan utama England: Pickford, Walker, Stones, Maguire, Shaw, Henderson, Rice, Bellingham, Saka, Kane, Foden.

Pemain Simpanan: Grealish, Rashford, Trippier, Pope, Phillips, Dier, Coady, Alexander-Arnold, Mount, Ramsdale, Wilson, Maddison, Gallagher.

Senegal: Edouard Mendy, Sabaly, Koulibaly, Diallo, Jakobs, Ciss, Nampalys Mendy, Ndiaye, Diatta, Ismaila Sarr, Dia.

Pemain Simpanan: Seny Dieng, Formose Mendy, Cisse, Jackson, Moussa Nโ€™Diaye, Ballo-Toure, Pape Sarr, Diedhiou, Ahmadou Dieng, Gomis, Name, Loum Nโ€™Diaye, Pape Gueye.

Pengadil Perlawanan: Ivan Barton (El Salvador).

BACA:ย  Fakta Yang Dicipta Sepanjang Piala Dunia 2022