Arab Saudi Sanggup Jual Arak Demi Anjur Piala Dunia 2034

Arab Saudi dikatakan telah membuat keputusan mengenai penjualan atau pengharaman minuman beralkohol untuk Piala Dunia 2034.

Arab Saudi mengemukakan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 dan sebelum ini bersaing dengan Australia untuk penganjuran kejohanan edisi tersebut.

Penganjuran Piala Dunia 2034 sememangnya dikhaskan oleh FIFA untuk dianjurkan oleh negara dari Asia atau benua Ocenia.

Namun demikian beberapa jam sebelum tutup tempoh bidaan, Australia telah menarik diri untuk memberikan fokus kepada penganjuran Piala Asia Wanita 2026 dan penganjuran Piala Dunia Kelab FIFA pada 2029.

Ini membenarkan Arab Saudi menang tanpa bertanding untuk diumumkan sebagai tuan rumah kejohanan Piala Dunia 2034 oleh FIFA.

Dan menurut sumber kepada The Sun, Arab Saudi yang negaranya terdiri daripada majoriti penduduk Islam sanggup untuk bertolak ansur dalam penjualan minuman beralkohol sepanjang kejohanan tersebut.

Walaupun tidak akan dijual secara terbuka, penyokong dari negara lain yang mahu mendapatkan minuman beralkohol dibenarkan berbuat demikian di hotel penginapan dan zon tertentu yang akan disediakan tuan rumah.

Perkara itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh Arab Saudi. Namun ia dikatakan antara janji oleh Arab Saudi sekiranya memenangi bidaan untuk penganjuran Piala Dunia 2034.

Perkhabaran terbaru ini sudah pasti akan menggembirakan penyokong England yang sememangnya dilabel sebagai penggemar minuman beralkohol.

Walaubagaimanapun, Arab Saudi turut wajar mempertimbangkan semula memberi kebenaran penjualan beralkohol dan belajar daripada Qatar.

Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar dianggap sebagai antara yang terbaik kerana berlangsung tanpa insiden yang tidak diingini selepas tidak membenarkan penjualan alkohol.

Kebiasaannya warga asing yang ditangkap mengambil minuman beralkohol di Arab Saudi akan didenda, dipenjara atau akan dihantar pulang ke negara asal.

Namun perkembangan terbaru ini juga bermakna Arab Saudi seperti sanggup bertolak ansur hanya kerana Piala Dunia 2034.

BACA:  Piala Dunia 2022: Argentina Berkicap Di Tangan Arab Saudi