Bruno Fernandes Nafi Khabar Angin Akan Ke Arab Saudi Dan Tegaskan Gembira Di Man Utd

Bruno Fernandes menafikan khabar angin perpindahan ke Arab Saudi dan menjelaskan betapa gembiranya dirinya bersama Manchester United walaupun melalui permulaan sukar di Premier League pada musim ini.

Pemain tengah Portugal itu diberikan peranan sebagai kapten pasukan Manchester United pada musim panas lalu selepas Erik ten Hag bertindak melucutkan lilitan kapten daripada Harry Maguire kerana prestasi hambar pemain pertahanan itu sebelum ini.

Namun tempoh Fernandes bergelar kapten setakat ini menyaksikan United bergelut di pertandingan domestik dan Eropah. Pasukan itu kini turut sudah tersingkir daripada pertandingan Piala Carabao yang dimenangi mereka pada musim lalu.

United mengembalikan sedikit keyakinan apabila menang tipis 1-0 ke atas Luton di perlawanan terakhir Premier League sebelum kalendar perlawanan antarabangsa bermula.

Dan ia tidak menghalang beberapa tunjang utama pasukan dikaitkan dengan perpindahan keluar di ambang kemasukkan pelaburan baharu daripada Sir Jim Ratcliffe dalam beberapa minggu mendatang.

Fernandes menyertai United tiga tahun lalu dan menjadi pemain terbauk yang dibawa masuk sejak era Sir Alex Ferguson di Old Trafford.

Kontrak Fernandes di Old Trafford hanya akan tamat pada 2026, namun ia tidak menghalang perkhabaran mengaitkan pemain itu dengan perpindahan ke Arab Saudi.

Pemain berusia 29 tahun itu bagaimanapun menegaskan dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk meninggalkan United, walaupun pada masa ini kecewa dengan dengan prestasi pasukan pada musim ini.

β€œSaya hanya memberikan fokus kepada pasukan kebangsaan dan United. Saya gembira berada di sini,” kata Fernandes ketika ditanya wartawan mengenai masa depannya di Sport TV Portugal.

β€œDi dalam pasukan kebangsaan kami melalui tempoh terbaik. Di Manchester United kami tidak memulakan musim sebagaimana kami harapkan. Saya tidak layan khabar angin. Saya langsung tidak memberi perhatian kepada gosip.

β€œHari ini mudah sekali untuk menyebarkan khabar angin melalui media. Saya memilih untuk memberikan fokus terhadap apa yang saya mahu capai.”

Fernandes tidak terkecuali daripada kritikan bersama United pada musim ini apabila prestasi dan kepimpinannya turut dipersoalkan ketika United bergelut.

Bekas pemain seperti Roy Keane turut lantang memepertikaikan keputusan Ten Hag memberikan lilitan kapten kepada Fernandes, dan mahukan lilitan kapten itu dilucutkan daripada pemain itu.

United turut bergelut untuk mencari gandingan yang sesuai untuk Fernandes, dan Ten Hag terus gagal menemui titik keseimbangan di kalangan pemaindi jentera tengah.

Adakalanya pemain dari Portugal itu dipaksa beraksi di posisi sayap kanan untuk memberikan ruang kepada Mason Mount dan Christian Eriksen, dan Fernandes berharap tempoh rehat antarabangsa ini membenarkan Ten Hag menemui jalan penyelesaian terhadap krisis di jentera tengah United.

BACA:Β  Terlupa Hari Cuti, Pemain Man Utd Menganjing Ralf Rangnick Tanpa Belas