EPL: Mudryk Akhirnya Jaring Gol Pertama Untuk Chelsea Selepas 24 Perlawanan

Mykhailo Mudryk akhirnya berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk Chelsea selepas beraksi dalam 24 penampilan bersama kelab London itu.

Penyerang antarabangsa Ukraine itu bergelut dengan sentuhan penyudah sejak tiba dari Shakhtar Donetsk dengan nilai £88.5 juta.

Pemain tersebut masih menampilkan sekilas potensi dan kualiti yang dimilikinya, namun selama ini sentiasa mengecewakan apabila gagal menghasilkan jaringan walaupun memiliki deretan peluang.

Semuanya itu berubah dalam perlawanan derbi menentang Fulham pada awal pagi tadi apabila Mudryk menjaringkan gol yang memberikan pendahuluan kepada skuad kendalian Mauricio Pochettino.

Gerakan bermula dengan hantaran lambung bijak Levil Colwill untuk menewaskan Issa Diop, sebelum hantaran tersebut disambut oleh Mudryk yang kemudiannya menewaskan Bernd Leno dengan kaki kirinya.

Chelsea kemudian menggandakan kedudukan 20 saat kemudian selepas kesilapan Tim Ream dihukum Armando Broja yang turut menjaringkan gol pertamanya pada musim ini.

Masalah keyakinan sentiasa menghantui Mudryk sejak berhijrah ke Stamford bridge tatkala negaranya turut bergolak.

Pemain itu bagaimanapun menerima penghargaan daripada penyokong Chelsea apabila dikeluarkan untuk memberi laluan kepada Raheem Sterling pada minit ke-68 perlawanan.

Selepas menampilkan persembahan cemerlang sepanjang perlawanan, Mudryk turut menerima pujian legenda Chelsea, Pat Nevin yang menekankan kepentingan pemain itu di dalam skuad Chelsea pada musim ini.

“Ada sebab mengapa Arsenal turut mahukan Mudryk. Dia adalah seorang pemain yang fenomenal. Kepantasannya luar biasa, begitu juga dengan skil individu dimilikinya.

“Dia mempunyai masalah yang berbeza berbanding orang lain kerana dia adalah seorang Ukraine dan tiba di sebuah negara baharu.

“Tanda harganya juga besar, walaupun tekanan mungkin sedikit hilang sekarang selepas Chelsea turut melabur tinggi untuk beberapa pemain lain.

“Saya berpendapat dia memiliki potensi untuk menjadi seorang penyerang hebat, dan juga pencipta jaringan.

“Dia tiba ke dalam pasukan yang mengalami masalah prestasi, dan situasi tersebut tidak mudah untuknya. Statistik beliau pada musim lalu juga kurang memberangsangkan.”

BACA:  Petr Cech Kini Bintang Hoki Ais, Raih MOTM Selepas Selamatkan 62 Percubaan Dalam Satu Perlawanan