FIFA Jalankan Siasatan Ke Atas Salt Bae Yang Terlepas Masuk Ke Padang

FIFA akhirnya telah menjalankan siasatan ke atas selebirit chef terkemuka dunia, Salt Bae yang menimbulkan tanda tanya bagaimana penabur garam ke atas makanan itu boleh terlepas masuk ke padang.

Orang ramai nyata marah dan tidak berpuas hati dengan FIFA selepas melihat Salt Bae atau nama sebenanrnya, Nurset Gokce berada bersama pemain Argentina dan turut memegang trofi Piala Dunia.

Penabur garam ke atas makanan itu kerap dilihat bersama presiden FIFA, Gianni Infantino dan juga pemain bola sepak handalan dunia selepas restorannya menjadi tumpuan selebiriti, pemimpin dunia dan orang kenamaan termasuklah pemain bola sepak.

selepas mendapat desakan ramai, FIFA mengambil “tindakan dalaman yang sewajarnya” untuk menangani pelanggaran protokol Piala Dunia oleh chef selebriti yang memegang trofi emas di atas padang, kata badan induk bola sepak itu pada Khamis.

FIFA menyifatkan trofi itu sebagai “ikon yang tidak ternilai” yang hanya boleh disentuh dan dipegang oleh sekumpulan orang yang sangat terpilih, termasuk bekas pemenang Piala Dunia FIFA dan ketua negara.

“Susulan semakan, FIFA telah meragui cara individu mendapat akses tidak wajar ke padang selepas majlis penutupan di stadium Lusail pada 18 Dis,” kata badan bola sepak dunia itu.

“Tindakan dalaman yang sewajarnya akan diambil.”

Chef, yang mempunyai restoran di Doha, adalah tetamu tetap FIFA dengan akses VIP semasa Piala Dunia dan menyiarkan gambar dan klip video di media sosial.

Trofi asli Piala Dunia dibuat daripada emas 18 karat yang yang seberat 6.142kg dianggarkan bernilai sekitar USD$20 juta yang menjadi idaman setiap pemain bola sepak hanya dibenarkan disentuh oleh segelintir orang terpilih.

Reka bentuk terkini Piala Dunia ini dihasilkan pada tahun 1974. Trofi itu menggambarkan dua figura manusia yang memegang bumi menjulang ke atas.

Menurut laman web FIFA :

“Trofi Piala Dunia FIFA yang asal hanya boleh disentuh dan dipegang oleh sekumpulan orang yang sangat terpilih, termasuk bekas pemenang Piala Dunia FIFA dan ketua negara.”

Trofi asli Piala Dunia akan diberikan kepada pemenang Piala Dunia FIFA untuk dijulang namun piala ini kekal dalam simpanan FIFA buat selama-lamanya.

Pasukan juara akan dipinjamkan trofi ini buat sementara untuk diraikan dan kemudiannya dianugerahkan secara kekal trofi edisi kejohanan, Trofi Pemenang Piala Dunia FIFA (replika).

Trofi Pemenang Piala Dunia FIFA (replika) hanya bersalut emas, bukannya emas pepejal dan diukir dengan tahun, negara tuan rumah dan pemenang acara masing-masing).

Aksi Salt Bae yang galak bergambar dengan trofi Piala Dunia itu sangat menjengkelkan orang ramai apabila dilihat mencium, menepuk trofi dengan cincinnya serta melakukan aksi menabur garam ke atas piala keagungan bola sepak itu.

Sudah pasti benda paling meluat yang dibuat oleh Salt Bae adalah ketika melakukan gegenpressing ke atas Lionel Messi yang sedang menyantuni rakan taulan memberi ucapan tahniah.

Dia masuk dan berada di kawasan yang sama dengan kapten kerama Argentina, Lionel Messi tetapi kamera merakam pemain berusia 35 tahun memberi reaksi yang agak dingin.

Penyiram garam ke atas daging itu memakai sut dan cermin mata hitam yang menjadi cap dagangnya, mencuit Messi dan memegang bahu Messi untuk memalingkan pemain itu ke arahnya.

Kali pertama tidak dilayan, satu tarikan ke tangan Messi jelas kelihatan Messi hanya berpaling dan berjabat tangan tanpa melihat muka Salt Bae.

Messi terus tidak melayan Nurset Gokce selepas berjabat tangan dan pautan ke bahu kali kedua pula hadir untuk mendapatkan perhatian Messi yang mula kelihatan bengang dan tidak selesa.

Pada ketika itu Messi telah dihujani oleh permintaan begambar daripada ahli keluarga rakan sepasukannya dan individu lain yang datang memberi ucapan tahniah.

Salt Bae jelas kelihatan gigih untuk bergambar dengan Messi buat raso-raso dan berjaya mendapatkan gambarnya dengan Messi, berkongsi di laman Instagramnya kepada 49.8 juta pengikutnya.

Sudah pasti dengan siasatan yang dilancarkan oleh FIFA ini ramai orang menantikan jawapan bagaimana penabur garam itu boleh berkeliaran di atas padang bersama skuad Argentina.

BACA:  Manchester United Undang 'Budak Gua Thailand' Ke Old Trafford Musim Hadapan