Ejen FIFA Dedah Liverpool Sedia Tawarkan €300 Juta Untuk Mbappe Ke Anfield

Liverpool dijangka akan memberi saingan kepada Real Madrid untuk tandatangan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe pada jendela perpindahan musim panas ini.

Perkara itu didedahkan oleh ejen FIFA, Marco Kirdemir kepada media Sepanyol, Marca baru-baru ini.

Masa depan Mbappe bersama PSG kini tidak jelas selepas pemain itu menulis surat kepada pihak pengurusan mengenai perancangannya untuk tidak menandatangani kontrak baharu melangkaui musim panas 2024.

Walaupun gembira untuk beraksi semusim lagi sehingga kontrak asalnya tamat, ini juga bermakna PSG akan kehilangan Mbappe sebagai ejen bebas – perkara yang PSG mahu elak daripada berlaku – sekiranya situasi tersebut kekal.

Ini menyebabkan PSG tidak mempunyai pilihan melainkan meletakkan pemain itu di dalam senarai pemain untuk dijual dan seperti dilaporkan kebanyakkan media, Real Madrid adalah kelab pilihan utama untuk pemain itu meneruskan kariernya.

Walaupun demikian Kirdemer yakin gergasi Sepanyol itu akan mendapat siangan daripada Liverpool untuk penyerang antarabangsa Perancis itu.

“Liverpool kini turut bersaing bersama Real Madrid dan sanggup melabur besar untuk Mbappe,” kata Kirdemir kepada Marca.

Walaupun dengan kontrak berbaki setahun, PSG dikatakan menuntut jumlah yang besar untuk membenarkan Mbappe meninggalkan Parc des Princess.

Kirdemier mendedahkan jumlah bidaan sekitar €300 juta adalah memadai untuk PSG melepaskan Mbappe, dan beberapa laporan lain mendedahkan kelab Merseyside itu sedia untuk membayar €250 + €50 di dalam bentuk bayaran bonus tambahan untuk memastikan Mbappe ke Anfield.

Perpindahan tersebut akan menjadi nilai rekod dunia yang baharu untuk perpindahan pemain jika menjadi realiti.

Rekod terdahulu dipegang oleh Neymar ketika berpindah daripada Barcelona ke PSG pada nilai €2oo juta pada 2017.

Pada ketika ini dakwaan Kirdemir belum boleh disahkan. Sebelum ini bayaran perpindahan termahal untuk seseorang pemain yang pernah dibayar oleh Liverpool adalah £85 juta untuk Darwin Nunez pada musim panas tahun lalu.

Tatkala Nunez dilihat sebagai bakat yang masih perlu digilap ketika tiba di Anfield, Mbappe pula dijangka mampu memberikan impak segera di England selepas menjaringkan 212 gol daripada 260 penampilan untuk PSG.

Ini bukan kali pertama Mbappe dikaitkan dengan Liverpool. Pemain itu pernah berbincang dengan kelab Premier League itu pada 2022 sebelum mengambil keputusan untuk kekal bersama PSG.

Sebelum itu kedua-dua pihak turut pernah bertemu untuk potensi perpindahan pada 2017, dan Mbappe pernah mendedahkan ibunya adalah seorang penyokong Liverpool.

BACA:  La Liga 2019/20: Real Madrid Sah Bergelar Juara