Setelah sebelum ini berjaya mencuti tumpuan beberapa media antarabangsa, jaringan Safawi Rasid ketika perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon pada Jun lalu kini mendapat perhatian FIFA.
Berkongsi jaringan tersebut di akaun media sosial mereka, badan induk bola sepak dunia itu menyifatkan gerakan dan jaringan penyerang sayap JDT itu sebagai luar biasa.
“Skil luar biasa ditampilkan oleh Safawi Rasid dari Malaysia,” tulis FIFA disertakan video tersebut.
Unbelievable skills from Malaysia’s Safawi Rasid 🇲🇾pic.twitter.com/7qHqo2y83l
— FIFA (@FIFAcom) June 30, 2023
Jaringan tersebut turut disenaraikan oleh FIFA bersama empat jaringan pemain lain dari seluruh dunia dan dianggap sebagai antara jaringan yang layak bertanding untuk anugerah Puskas daripada pencalonan bulan Jun.
Gol Safawi dalam perlawanan menentang Kepulauan Solomon itu hadir pada minit ke-76 perlawanan dan dianggap unik kerana skil individu pemain itu yang berjaya mengawal bola dengan tahap kesukaran tinggi tidak membenarkan bola menjejak tanah diikuti oleh voli kaki kiri yang berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Philip Mango yang cemerlang sepanjang perlawanan.
🧵 We’ve seen plenty of contenders for the FIFA Puskás award in June…. pic.twitter.com/UWQaSUmqnb
— FIFA (@FIFAcom) June 30, 2023
Menerima hantaran lintang daripada Lee Tuck dari sebelah sayap kanan serangan, Safawi melakukan first touch mengkagumkan, sebelum melakukan pusingan menewaskan kawalan pertahanan lawan dengan sentuhan kedua, diikuti dengan satu rembatan voli kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Kepulauan Solomon, Philip Mango yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, Safawi hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan oleh pengendali pasukan, Kim Pan-gon.
Strategi jurulatih dari Korea Selatan itu berjaya memberikan pulangan apabila Safawi yang sudah setahun tidak menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan kemudiannya menampilkan magisnya.