FIFA Pertimbangkan Empat Perubahan Peraturan Bola Sepak Kontroversi Ini

Badan bola sepak dunia, FIFA, kini dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mengubah peraturan bola sepak secara drastik dan juga kontroversi dan menurut laporan media berbahasa Sepanyol, Mundo Deportivo, kejohanan belia, ‘Future of Football Cup’ digunakan sebagai medan ujikaji peraturan ini.

Sebelum ini, presiden Real Madrid yang penuh kontroversi, Florentio Perez, memberi amaran kepada orang ramai bahawa perubahan perlu dilakukan untuk menyelamatkan bola sepak. Kenyataan ini dibuat selepas gagasan Liga Super Eropah yang diketuainya gagal direalisasikan dan mendapat tentangan daripada orang awam dan para pemain.

Perez dilaporkan berkata bahawa “orang muda anggap perlawanan bola sepak ni lama sangat dan tak menarik”. Selain itu, dia turut berkata “kita kena mengubah perlawanan bola sepak ni biar pendek sikit [waktunya].”

Sekarang ini difahamkan perkara yang dicadangkan oleh Perez itu menjadi salah satu peraturan yang sedang diuji cuba oleh badan bola sepak dunia itu dan dikaji kesannya ke atas sukan yang paling diminati di dunia ini.

Laporan menyatakan, perubahan tersebut fokus kepada empat aspek.

Membahagikan Perlawanan Kepada Dua Separuh Masa 30 Minit

Berbanding 45 minit bagi setiap separuh masa (dan masa minimum selama 90 minit setiap perlawanan), waktu perlawanan yang lebih pendek sedang diuji.

Walaubagaimanapun, jam akan dihentikan setiap kali perlawanan berhenti – seperti mana yang diamalkan dalam sukan seperti bola keranjang, bola sepak Amerika dan juga futsal. Cadangan ini diharapkan mampu memastikan 30 minit efektif daripada setiap pasukan di setiap separuh masa.

Tiada Had Pertukaran Pemain

Asalnya pertukaran pemain hanya dibenarkan sebanyak tiga kali [empat kali dalam masa tambahan], namun sejak pandemik melanda, peraturan ini dilonggarkan kepada lima pertukaran [enam pertukaran jika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan].

Namun peraturan baru yang sedang diuji ini akan memperlihatkan pengurus pasukan tidak tertakluk kepada jumlah pertukaran tertentu dan boleh membuat pertukaran pemain tanpa had. Ini membolehkan pengurus melakukan perubahan taktikal pada bila-bila masa dengan menggunakan pemain yang khusus untuk sesuatu taktikal.

Sepakan ke Dalam Menggantikan Lontaran ke Dalam

Kita juga mungkin akan mengucapkan selamat tinggal kepada lontaran ke dalam jika peraturan ini diterima nanti. Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, yang kini bekerja sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Sedunia FIFA, sebelum ini menerangkan bagaimana sepakan ke dalam boleh meningkatkan bola sepak.

“Bila kau ada lontaran ke dalam, sepatutnya jadi kelebihan kepada pasukan yang menguasai bola tapi secara realitinya, kau tak ada pun kelebihan tu kalau kau ada sembilan pemain di atas padang berbanding pasukan lawan yang ada 10,” ujar Wenger.

“Sebab tu aku percaya yang kita kena selalu fikir macam mana perubahan boleh menggalakkan permainan supaya lebih cepat dan lebih spektekular. Kenapa tidak sepak sahaja bola dari kawasan kamu, kan?”

Dikeluarkan Selama 5 Minit Untuk Kad Kuning

Sesetengah orang sudah lama mencadangkan supaya bola sepak mengadaptasikan konsep tong dosa atau dalam bahasa penjajahnya ‘sin-bin’ apabila pemain dilayangkan kad kuning.

Kejohanan ‘Future of Football Cup’ dikatakan menguji peraturan ini untuk mana-mana pemain yang dilayangkan kad kuning.

PSV Eindhoven, AZ Alkmaar, RB Leipzig dan Club Brugge adalah pasukan yang terlibat dalam kejohanan bawah-19 tahun tersebut, menurut Mundo Deportivo.

FIFA akan menilai kesan daripada empat peraturan ini dan akan mempertimbangkan sebarang permohonan rasmi kepada Badan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) – badan yang menentukan peraturan sukan ini untuk digunapakai di seluruh dunia.

Aadkah permainan semakin menarik dengan perubahan ini?

Sumber : GMS

BACA:  Presiden FIFA Mengesahkan VAR Akan Digunakan Di Piala Dunia Russia 2018