Florentino Perez Menjelaskan Kebaikan Dan Manfaat Super League

Presiden Super League, Florentino Perez akhirnya tampil untuk memberi penjelasan punca kewujudan, kebaikan, manfaat dan faedah European Super League kepada dunia bola sepak selepas ditentang hebat.

Florentino Perez juga merupakan Presiden kelab Real Madrid dan ahli jawatankuasa Super League kebanyakkanya terdiri daripada Presiden Founding Club. Semoga mereka tidak berbicara soal intergriti.

Selepas dua hari meletup dengan pelbagai persoalan timbul, Florentino Perez menjawab segala isu yang timbul mewakili pihak Super League dan tiada lagi andaian pihak ketiga.

Bercakap kepada El Chiringuito, Florentino Perez telah menjadikan sesi temuramah bukan dalam bahasa Inggeris itu satu letupan dunia bola sepak yang terpinga-pinga.

Pengharaman Pemain dan Kelab

UEFA dengan tegas dan tegang lagi rakus tidak bertolak ansur dengan idea kewujudan UEFA Super League ini dan mahu mengenakan hukuman pengharaman serta penggantungan kepada pemain dan kelab yang terbabit dengan liga haram itu.

Ancaman itu akan berkuatkuasa serta merta musim ini, Real Madrid, Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Manchester United tidak akan dapat beraksi di separuh akhir Champions League dan Europa League.

Florentino Perez dengan yakin menjelaskan tidak perlu bimbang kerana perkara itu tidak akan berlaku.

“Pemain diharamkan dari pertandingan antarabangsa dan pasukan kebangsaan oleh UEFA?”

“Jangan bimbang perkara ini tidak akan terjadi. Mereka tidak akan diharamkan atau digantung jika mereka menyertai Super League.”

Keyakinan Florentino Perez ini bukan biasa-biasa kerana memberi jaminan 100 peratus.

“Real Madrid, Manchester City dan Chelsea, serta club Super League yang lain tidak akan di haramkan di Champions League atau Liga domestik, 100 peratus.

“Aku pasti, mustahil.”

Ada jaminan daripada Presiden Super League bermakna pemain selamat dari pengharaman atau sekadar sembang sedap je?

Kewangan Kelab

Florentino Perez menjelaskan kenapa Super League boleh wujud?

Ini kerana semua kelab seluruh Eropah telah dipaksa untuk membentuk Super League lantaran wabak yang melanda sejak setahun yang lalu telah memberi impak besar kepada kewangan kelab.

Presiden Real Madrid kemudian berpendapat bahawa bola sepak berada dalam kedudukan di mana ia perlu berkembang.

“Banyak kelab yang penting di Sepanyol, Italy dan United Kingdom mahu mencari penyelesaian kepada situasi kewangan yang sangat teruk.”

“Satu-satunya jalan yang ada adalah dengan bermain lebih banyak perlawanan kompetitif. Berbanding beraksi di Champions League, Super League membantu kelab mendapatkan kembali pendapatan yang hilang.”

“Di Real Madrid kami telah kehilangan banyak wang, kami akan melalui satu situasi yang sangat teruk. Bila tiada keuntungan, satu-satunya cara adalah bermain lebih banyak perlawanan kompetitif di tengah minggu.”

Sungguh mulia usaha Florentino Perez yang mahu menyelamatkan semua kelab Eropah dengan membentuk Super League untuk 20 pasukan sahaja.

“Super League akan menyelamatkan kelab dari segi kewangan. Bola sepak mesti berkembang seperti segalanya dalam hidup. Bola sepak harus menyesuaikan diri dengan zaman kita sekarang.”

“Bola sepak semakin kehilangan seri, hak TV semakin berkurang. Kami ingin mewujudkan Super League, pandemik telah mendesak kami, sekarang kami semua hancur dalam bola sepak.”

Semuanya keran wang yang disebabkan oleh pandemik, bola sepak harus menyesuaikan diri atau kelab berbelanja mewah perlu menyesuaikan diri dalam situasi semasa?

Impak Super League Kepada Kelab Kecil

Menurut Perez Super League adalah kehendak semua kelab Eropah yang mahu meneruskan kelansungan hidup dalam situasi kini dan ada berpendapat Super League membuatkan kelab kaya bertambah kaya.

Super League juga digelar sebagai liga orang kaya yang mahu menjadi lebih kaya dan Perez menjelaskan Super League akan menjana pendapatan merentasi dunia bola sepak.

“Perkara paling menarik dalam bola sepak adalah perlawanan antara kelab-kelab besar, nilai kepada televisyen akan meningkat dan pendapatan lebih akan dijana.”

“Bukan orang kaya sahaja mahukan Super League, kami lakukan ini untuk menyelamatkan bola sepak yang berada diambang kritikal.”

Perez menjelaskan Super League akan menjadi seperti piramid tapi bukan skim piramid cari orang bukak kaki kanan kiri, bukak tiga akaun terus jadi leader tu.

“Ia akan menjadi seperti piramid kerana kami kelab besar akan mempunyai wang yang lebih dan mampu untuk melaburkannya dengan membeli pemain.”

“Jika kelab besar kehilangan duit seperti yang sedang berlaku. Seluruh sistem bola sepak akan runtuh termasuklah Champions League.”

Di sini perlunya semua pihak mengkayakan lagi kelab yang kaya kerana mereka akan membantu kelab kecil dan menjaga keutuhan piramid dari runtuh. Nampak tak?

Format Super League dan kelab Menolak idea ini

Format Super League telah dikritik teruk kerana founding club yang terdiri daripada 15 pasukan (kini baru 12 pasukan) akan kekal abadi dalam liga ini dan hanya 5 slot kosong menjadi rebutan.

Biasa kalau 20 slot, 5 slot je automatik dan 15 lagi jadi rebutan, ni dah terbalik mungkin kerana mengikut peredaran zaman. Dan kerana itu format ini digelar liga tertutup dan anti persaingan.

“Super League bukan liga tertutup, itu sememangnya tidak benar. Ini kerana pasukan yang layak mengisi lima lagi kekosongan akan dapat bermain bersama pasukan terbaik dunia.”

“Kami akan berbicara dengan UEFA sebagaimana kami utarakan dalam kenyataan. Kami perlu berbincang dengan UEFA untuk 5 slot yang masih kosong di Super League.”

Super League diumumkan dua hari sebelum UEFA mengumumkan format baharu Champions League yang akan bermula di musim 2024/25 dan Perez sempat lagi menganjing.

“UEFA kini sedang menyediakan format baru kejohanan Champions League tapi sejujurnya aku tak faham dengan format baru ini.”

“Tanpa Super League bola sepak akan mati sebelum 2024, Kelab besar dan kecil akan mati.”

“Kami mahu selamatkan bola sepak.”

Itulah tujuan asal pembentukan Super League adalah untuk menyelamatkan kantung sendiri, eh silap, untuk menyelamatkan bola sepak.

BACA:  12 Kelab Telah Mengikat Kontrak European Super League Selama 23 Tahun