Loparta Umum European Super League Akan Bermula 2025 Tanpa Pasukan Inggeris

Presiden Barcelona, Joan Laporta telah mengumumkan bahawa European Super League (ELS) akan bermula pada tahun 2025 dan tidak akan ada pasukan Inggeris dari Premier League.

Pada April 2021 keributan tercetus apabila 6 pasukan big six England bersama beberapa gergasi Eropah yang lain telah setuju menarik diri dari UEFA dan memulakan kejohanan sendiri.

Idea gagasan European Super League telah ditentang hebat oleh peminat dan mengadakan bantahan apatah lagi UEFA yang pastinya melantun melihat perkara ini terjadi.

Puncanya satu hanya mahukan wang melimpah ruah dan segera namun majoriti kelab telah menarik diri selepas menyedari mereka akan berdepan masalah besar jika idea ini diteruskan.

Kini hanya tinggal tiga pasukan yang masih lagi utuh mahu ESL dilaksanakan iaitu Barcelona, Real Madrid dan Juventus pantang menyerah dan tidak mahu menarik diri.

Kumpulan itu kini terlibat dalam perbalahan undang-undang dengan UEFA, dengan keputusan baru-baru ini memihak kepada badan induk Eropah itu yang membenarkan UEFA melarang mana-mana pasukan atau pemain yang cuba memisahkan diri.

Walaupun begitu, Joan Laporta bertegas bahawa semuanya akan diteruskan pada 2025 dan berpendapat bahawa pasukan dari England masih boleh menyertai dan pintu sentiasa terbuka.

“Saya rasa akan ada Liga Super.” katanya kepada Cadena SER.

“Saya tidak akan menyertai projek ini jika ia bukan pertandingan terbuka dan ia diterima oleh Real Madrid, Juventus dan kelab lain yang masih belum menunjukkan wajah mereka tetapi sangat berminat dengan pertandingan ini.”

Bercakap mengenai rayuan semasa terhadap keputusan mahkamah baru-baru ini, Laport menambah:

“[Liga Super] akan menjadi kenyataan pada 2025, jika resolusi itu berpihak kepada kami.”

“Jika keputusan itu yang saya percaya tidak akan berlaku kerana apa yang dipersoalkan ialah mempertahankan persaingan bebas dalam rangka kerja EU dan saya percaya ini akan dimenangi.”

Mengenai kemungkinan pasukan Inggeris mengambil bahagian dalam ELS, dia menyambung:

“Dalam langkah pertama, apa yang kita akan ada ialah pertandingan Eropah yang akan bersaing dengan Premier League. Saya tidak fikir pasukan Inggeris akan memasuki dalam langkah pertama.”

“Kami mahu mereka masuk dan terdapat banyak komunikasi dengan kelab Inggeris Liverpool, Manchester United, Chelsea dan Tottenham. Semua kelab ini, yang kebanyakannya untuk dijual dan ada yang sudah dijual, berminat.

“Liga negeri akan dikekalkan dan ini akan berakhir dengan penggabungan antara Liga Super Eropah dan Premier League.”

Presiden Real Madrid, Florentino Perez sebelum ini juga mendakwa bahawa pasukan terbabit telah ‘menang,’ mengatakan bahawa pasukan yang berundur itu masih terikat dengan ELS melalui kontrak mereka.

Florentino Perez berkata bahawa pasukan Premier League telah ‘dipaksa’ untuk berundur dan ‘tiada sesiapa’ boleh berbuat apa-apa tentang European Super League.

Lelaki berusia 75 tahun itu berada di barisan hadapan keseluruhan projek itu apabila ia mula-mula diumumkan, mengatakan bahawa mereka akan ‘menyelamatkan bola sepak.’

European Super League boleh dikatakan liga baru yang akan ditubuhkan bagi menyaingi UEFA Champions League yang kini mendominasi bola sepak Eropah dan terkenal di seluruh dunia.

Liga orang kaya ini akan disertai oleh kelab-kelab yang kaya-raya di Eropah bagi menambahkan lagi kekayaan kelab lebih tepat kekayaan pemilik sebenarnya.

Sebanyak 12 kelab dilaporkan telah bersetuju untuk menyertai gagasan baru yang melibatkan 6 kelab Inggeris 3 kelab Sepanyol dan 3 kelab Itali

Premier League (England) – Manchester United, Liverpool, Manchester City, Arsenal, Chelsea, Tottenham.

La Liga (Sepanyol) – Barcelona, Real Madrid, Atletico Madrid.

Serie A (Itali) – Inter Milan, AC Milan and Juventus.

Semua pasukan ini telah menarik diri kecuali Real Madrid, Barcelona dan Juventus yang menyaksikan ESL digantung dan UEFA telah mengambil tindakan mahkamah kerana ESL dianggap mengarut dan tidak menerapkan semangat kesukanan dalam bola sepak.

Bagaimana European Super League akan dijalankan?

Menurut laporan The Times, gadisku dalam koma seriuskah keadaannya? telah mendedahkan kertas kerja bagaimana European Super League akan dijalankan mengikut format pertandingan dan pembahagian wang untuk pasukan bertanding.

Modal Awal

Sebanyak 15 pemilik kelab yang digelar Founding club akan akan berkongsi modal awal sebanyak €3.5 bilion (£3.1 bilion) sebagai ‘geran infrastruktur’ yang dibelanjakan untuk stadium, fasiliti latihan atau tempat perlawanan yang bebas dari wabak.

Untuk modal awal ini setiap kelab akan mengeluarkan wang dari £89 juta sehingga £310 juta dan ini mungkin bergantung kepada kekayaan kelab.

Format European Super League

Format European Super League akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan dihuni oleh 10 pasukan yang akan bermain di home dan juga away. Maknanya akan ada 20 pasukan di European Super League.

Empat pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan layak ke suku akhir dan dimainkan secara timbal balik dan perlawanan akhir seperti biasa dengan satu perlawanan tunggal sahaja.

Perlawanan akan diadakan pada pertengahan minggu dan kelab masih lagi boleh beraksi di liga domestik.

Kelab yang menyertai European Super League ini akan diberikan hak penyiaran sebanyak empat perlawanan semusim dan boleh menyiarkan perlawanan di platform digital mereka sendiri ke seluruh dunia.

Pembahagian Wang

Pendapatan daripada TV dan penajaan sudah tentu akan dinikmati oleh kelab yang mengeluarkan modal awal atau Founding club di mana 32.5 peratus akan dibahagikan sama rata antara 15 kelab ini.

Manakala 32.5 peratus lagi akan dinikmati oleh semua kelab yang bertanding di liga orang kaya ini termasuklah lima kelab yang melepasi pusingan kelayakan.

Founding club ini saja dah makan 65 peratus dah. Masyuk. Nampak tak?

Sebanyak 20 peratus akan dibahagikan secara merit sebagaimana yang dilakukan oleh Premier Leageu. Setiap pasukan akan mendapat bahagian mereka berdasarkan kedudukan mereka di European Super League. Juara dapat paling banyak.

Baki 15 peratus lagi dipanggil ‘commercial share’ akan dibahagikan mengikut populariti kelab. Semakin popular kelab semakin tinggi nilai komersial dan paling banyak dapat makan.

Untuk mengawal kelab tidak berbelanja sewenang-wenangnya, had dikenakan, hanya 55 peratus daripada pendapatan yang dibenarkan dibelanjakan untuk gaji dan pindahan.

Dengan itu ‘Financial Sustainability Group’ atau ‘Kumpulan Kelestarian Kewangan’ diwujudkan bagi memantau perbelanjaan kelab dan ternyata idea ini sukar untuk dilaksanakan tanpa kelab Inggeris.

BACA:  Real Madrid, Barcelona dan Juventus Pertahankan Liga Haram dan Kecam UEFA