Laporta Akui Tidak Bercakap Dengan Messi Sejak Pemain Itu Pilih Inter Miami

Presiden Barcelona Joan Laporta mengakui dirinya belum pernah bercakap dengan Lionel Messi sejak pemain Argentina itu memilih untuk menyertai Inter Miami pada musim panas ini

Barcelona sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan untuk meyakinkan La Liga mereka mampu dari segi kewangan untuk mendatangkan kembali Messi ke Nou Camp setelah berhijrah ke PSG dua tahun lalu.

Namun demikian tidak ada tawaran secara rasmi diberikan Barcelona kepada Messi sehinggalah pemain itu memilih untuk ke Major League Soccer.

Bercakap dalam satu temubual dengan Mundo Deportivo mengenai kegagalan membawa Messi kembali ke Barcelona, Laporta berkata pihaknya sedang berada di peringkat akhir untuk merealisasikan perkara tersebut, sebelum Messi melakukan pengumuman mengenai masa depannya.

“Memang ada kemungkinan. Messi mahu [ke Barcelona], begitu juga ayahnya. Tetapi ia soal masa.

“Kami tidak mahu perkara sebelum ini [tidak cukup bajet menyambung kontrak Messi pada 2021] berlaku lagi dan berjanji akan memaklumkan kepada mereka [kem Messi] sebaik sahaja lulus peraturan kewangan.

“Dan tidak berapa lama selepas itu semua dokumen kontrak sudah tersedia sebelum Jorge [ayah Messi] datang kepada saya memaklumkan Messi telah memutuskan untuk menyertai Inter Miami.

“Saya dimaklumkan Messi memilih untuk ke Miami kerana tertekan berada di Paris, dan di Miami dia akan lebih tenang dan lebih mudah memikirkan skuad kebangsaan Argentina.

“Dan walaupun dia mahu kembali ke Barcelona, Messi juga tidak sanggup lagi melalui pengalaman lamanya dahulu.

“Tetapi sayangnya, kerana kami sudah mendapat kelulusan daripada La Liga untuk kontrak Messi. Perkara itu juga dibincangkan dengan Jorge, tetapi ia sudah ketentuan.”

Walaupun gagal mengembalikan Messi ke Nou Camp, Laporta menegaskan hubungan Barcelona dengan pemain itu tetap baik walaupun dirinya sendiri tidak berhubung dengan Messi sejak pemain itu membuat keputusan mengenai masa depannya.

“[Hubungan] masih baik. Tetapi kami belum bercakap sejak daripada itu,” kata Laporta.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Messi di Miami, dan Barca tetap adalah rumahnya. Ia adalah hubungan yang tidak akan berakhir walaupun ketika dia ke Paris.

Walaupun gagal membawa Messi kembali kali ini Laporta menegaskan pintu kelab itu tidak akan tertutup buat pemain itu.

Namun demikian Laporta mengakui ia akan menjadi semakin rumit selepas ini untuk Messi kembali tetapi yakin pemain itu masih mampu beraksi di peringkat tertinggi kerana itulah perkara yang sentiasa dilakukan Messi.

BACA:  Website Dewasa Tawarkan $10 Juta Kepada Barca Sebagai Dana Tambahan Untuk Kekalkan Messi