Barcelona Mengaku Masih Berhutang Gaji Messi, Hanya Mampu Bayar Secara Ansuran

Presiden Barcelona, Joan Laporta mengakui kelab Catalan itu masih gagal melangsaikan penuh gaji Lionel Messi ketika pemain itu masih bersama mereka.

Bercakap kepada media baru-baru ini Laporta berkata jumlah tunggakan itu adalah berdasarkan gaji Messi yang terkandung di dalam kontrak pemain itu ketika Barcelona berada di bawah pengurusan terdahulu.

“Barcelona masih berhutang gaji dengan Lionel Messi. Itu menurut perjanjian di antara pemain itu dan pengurusan terdahulu.

“Jumlah yang tertunggak itu akan dilangsaikan Barcelona secara ansuran sehingga 2025,” jelas Laporta.

Messi meninggalkan Barcelona pada musim panas 2021 untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG), selepas kelab itu gagal menyambung kontrak bintang Argentina itu – berikutan masalah kewangan.

Barcelona berpeluang membawa Messi kembali ke Nou Camp selepas kontrak beliau bersama PSG tamat pada penghujung bulan lalu.

Namun masalah kewangan sama masih menghantui kelab itu walaupun selepas dua tahun berlalu.

Dalam temubual sebelum ini, Messi meluahkan rasa kekecewaannya dan penat dengan situasi di bekas kelabnya itu sebelum mengumumkan akan menyertai Inter Miami di Major League Soccer pada Julai ini.

“Saya juga boleh mengesahkan semua [masalah kewangan] masih melanda [Barcelona] untuk menjelaskan situasi dan menghormati tunggakan bayaran gaji kepada Messi,” tambah Laporta.

Menurut laporan oleh Mundo Deportivo, Barcelona hanya dibenarkan mendaftarkan 13 pemain setakat ini oleh La Liga untuk saingan musim 2023/24.

Malah kelab itu kini berhadapan masalah untuk mendaftarkan pemain baharu seperti Ilkay Gundogan yang dibawa masuk pada jendela perpindahan musim panas ini.

Situasi sama turut akan berlaku kepada Messi sekiranya pemain itu kembali menyertai Barcelona.

13 pemain yang sudah didaftarkan adalah daripada kalangan skuad musim lalu seperti Marc-Andre ter Stegen, Jules Kounde, Eric Garcia, Christensen, Pedri, Gavi, Kessie, Frenkie de Jong, Ferran Torres, Ansu Fati, Robert Lewandowski, Ousmane Dembele dan Raphinha.

Sekiranya kedudukan kewangan Barcelona berterusan, Gundogan tidak akan dibenarkan beraksi di Sepanyol pada musim hadapan.

Nasib sama bakal menimpa Inigo Martinez yang bakal dibawa masuk daripada Atletico Madrid.

Media AS melalui laporannya pula berkata: “Kedudukan kewangan yang memaksa Barcelona memotong jumlah perbelanjaan mereka bermakna situasi kini amat samar.

“Pada masa ini, tidak ada seorang pemain pun yang boleh merasa selamat bersama Barcelona.”

BACA:  Lionel Messi Teruk Dihentam Selepas PSG Tersingkir Dari Saingan Champions League