Gabriel Jesus Terpaksa Berehat Lama Akibat Kecederaan, De Bruyne Masih Samar

Penyerang Manchester City, Gabriel Jesus terpaksa diketepikan dari sebarang perlawanan selama dua bulan selepas mengutip kecederaan ketika perlawanan Manchester City menentang Crystal Palace semalam.

Penyerang antarabangsa Brazil ini dikeluarkan dari permainan pada separuh masa pertama kerana mengadu kesakitan di bahagian kakinya dan pengurus City, Pep Guardiola telah mengesahkan pemain ini mungkin terpaksa diketepikan buat beberapa minggu.

Mungkin terpaksa berehat lebih dari sebulan

Terdapat kerisauan juga mengenai tahap kecederaan yang dialami seorang lagi bintang City, Kevin De Bruyne selepas pemain ini dikeluarkan pada minit-minit terakhir perlawanan. De Bruyne menjadi mangsa terjahan keras pemain Palace, Jason Puncheon dan Guardiola berkata pemain ini mungkin tidak akan diturunkan untuk perlawanan Watford dua hari lagi.

“Gabriel Jesus mungkin akan berehat lebih dari sebulan. Mengenai Kevin De Bruyne pula, kami akan kembali menganalisa keadaan semasa beliau esok sama ada kecederaan itu hanyalah lebam biasa atau sesuatu yang lebih teruk. Mungkin ia hanya lebam biasa tetapi saya tidak rasa beliau akan sempat beraksi menentang Watford dua hari lagi.”

“Kami agak bernasib baik dengan beberapa terjahan keras dalam perlawanan kami sebelum ini. Saya kagum dengan tahap fizikal dalam Liga Perdana Inggeris tetapi pengadil harus menjaga pemain dengan lebih baik. Itu sahaja yang saya pinta. Saya harap itu bukan permintaan yang sukar.”

Aguero dibawa masuk menggantikan tempat Jesusu

Jesus dilihat mengalami kecederaan ringan pada minit ke-11 permainan, ketika berlari untuk mengejar bola tetapi beliau kembali menyambung permainan selepas itu. Tidak lama kemudian, Jesus merembat bola dari penjuru kotak penalti dan terjatuh. Riak wajahnya jelas menunjukkan beliau dalam kesakitan yang teramat.

Sergio Aguero dibawa masuk untuk menggantikan tempat Jesus pada minit ke-23. Jesus keluar dari padang dengan bercucuran air mata dengan Guardiola sempat menenangkannya dalam terowong stadium.

De Bruyne pula menerima terjahahan keras dari pemain gantian, Jason Puncheon pada waktu kecederaan ketika City cuba melakukan serangan balas selepas penalti yang diambil Luka Milivojevic berjaya diselamatkan penjaga gol City, Ederson.

Status kecederaan De Bruyne masih belum dapat dipastikan

De Bryune terbaring di atas padang selama beberapa minit dan akhirnya terpaksa diusung keluar oleh pasukan perubatan. Kaki kanannya kelihatan dalam keadaan berbalut ketika diusung keluar.

Pemain antarabangsa Belgium ini masih belum dapat dipastikan sama ada sempat sembuh untuk perlawanan Watford pada 2 Januari ini, manakala Jesus terpaksa berehat sekurang-kurangnya sehingga Mac depan.

BACA:  Van Dijk Dan Kevin de Bruyne Dilihat Berpesta Bersama Di Ibiza