Pemain antarabangsa Republik Ireland, James McClean menempelak keputusan Declan Rice yang memilih untuk bermain dengan England walaupun pernah mewakili skuad bawah 21-Tahun Ireland sebelum ini.
Rice yang bermain untuk West Ham di peringkat kelab, mempunyai dua kewarnegaraan iaitu England dan Republik Ireland, akhirnya pasukan 3 Singa menjadi pilihan hati Rice.
Beliau pernah mewakili Republik Ireland di peringkat senior tetapi masih berpeluang untuk menukarnya kerana hanya terlibat dalam 3 perlawanan persahabatan.
Rice akhirnya memilih untuk mewakili skuad Three Lions dan membuat debut kompetitif beliau pada hari Isnin lepas ketika England membelasah Montenegro 5-1 di tempat lawan.
Keputusan Rice untuk menyarung jersi England nyata mengecewakan McClean yang pernah bermain bersama Rice dalam skuad Ireland tidak lama dahulu.
McClean turut menggesa pemain lain di luar sana yang masih belum komited dengan karier antarabangsa supaya ‘berambus’ dan melupakan sahaja niat untuk bermain dengan Republik Ireland.
McClean sebenarnya berada dalam situasi sama seperti Rice pada permulaan awal kariernya.
Beliau pernah mewakili Ireland Utara untuk skuad bawah umur tetapi memilih untuk menyarung jersi Republik Ireland bagi karier seniornya.
McClean bermain selama 90 minit ketika Ireland menewaskan Georgia 1-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan D kelayakan EURO 2020 yang berlangsung semalam.
“Rice cakap beliau adalah rakyat Ireland yang bangga. Selepas itu beliau berkata beliau adalah rakyat England yang bangga. Jika betul beliau bangga menjadi dua-dua, selamat berjaya kepada Rice.. Tetapi saya tidak percayakannya.”
“Saya rasa anda hanya boleh memilih satu sahaja. Saya bermain untuk Derry City [kelab di Ireland Utara] ketika saya menerima panggilan untuk bermain dengan Ireland Utara. Saya menolak pelawaan tersebut kerana ia bukan negara. Saya seorang rakyat Republik Ireland.”
“Bukan hanya Declan Rice. Kenyataan ini saya tujukan kepada semua. Jika anda tidak berasa bangga berada di sini dan menganggap Republik Ireland hanya sebagai batu loncatan, anda boleh berambus dan bermain untuk pasukan lain.”
“Saya seorang Irishman. Saya membesar di pulau Ireland, semudah itu sahaja. Kami hanya mahu pemain yang mahu bermain untuk Republik Ireland, yang berasa dirinya adalah Irish dan bangga menjadi Irish.”
Kemenangan Ireland ke atas Georgia meletakkan pasukan tersebut di tangga teratas kumpulan D selepas Switzerland sekadar seri 3-3 menentang Denmark walaupun pada suatu ketika mendahului perlawanan dengan kelebihan 3 jaringan.
Rice pula akan kembali ke kelabnya, West Ham untuk mempersiapkan diri menghadapi perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Everton pada hari Sabtu ini.
McClean pula kini mewakili Stoke City yang bersaing di Liga Championship dan bakal menjadi tuan rumah kepada Sheffield Wednesday hujung minggu ini.