Gattuso Menganggap Dewa Bola Sepak Merestui Napoli Menjuarai Copa Italia

Pengurus pasukan Napoli, Gennaro Gattuso mendakwa bahawa pasukan beliau selayaknya menjulang Piala Copa Italia selepas menewaskan Juventus dalam perlawanan penuh debaran awal pagi tadi.

Beliau juga merasakan kerja keras dirinya bersama seluruh pasukan telah dihargai oleh ‘Dewa bola sepak’ dan membuatkan mereka berjaya untuk menewaskan pendahulu saingan Serie A itu.

Napoli berjaya menjulang Piala Copa Italia selepas menewaskan Juventus pada aksi perlawanan akhir dengan penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Paulo Dybala dan Danilo masing-masing gagal untuk menyempurnakan tugas mereka dan memberikan kemenangan kepada Napoli dengan keputusan 4-2.

Tiada siapa menyangkan bekas pengurus AC Milan itu mampu untuk menyumbangkan Piala kepada Napoli selepas beliau dilantik menjadi pengganti kepada Ancelotti.

Bahkan pada awal perlantikan beliau sebagai pengurus pasukan, ramai peminat Napoli tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Penjaga gol veteran Itali, Gianluigi Buffon turut mempamerkan persembahan luar biasa dalam perlawanan itu dan ternyata beliau masih hebat seperti ketika dirinya masih muda.

Kejuaraan Copa Italia ini merupakan Piala major utama bagi Gattuso sebagai jurulatih dan beliau membuat kenyataan kepada Rai Sport dengan menyatakan:

“Siapa pun yang berjaya menjalankan tugas ini dengan baik, mereka harus dihormati.”

“Kami cuma bernasib baik, inilah alasannya mengapa saya rasa marah, mereka harus ada semangat, rasa hormat dan kesungguhan. Kemudian barulah ada Dewa bola sepak akan memberi ganjaran kepada anda ketika anda melakukannya dengan baik.”

Ketika Napoli meraikan kejayaan mereka, Gattuso mengambil kesempatan untuk memberikan penghargaan kepada mendiang adiknya, Francesca yang telah meninggal dunia awal bulan lalu kerana penyakit barah.

“Dunia bola sepak telah memberi saya lebih daripada apa yang sepatutnya saya layak untuk terima.”

Jelas Gattuso.

“Tetapi sebenarnya kita harus selalu memikirkan keluarga kita dahulu. Dalam hidup, ketika apa saja yang telah terjadi pada kita, adakalanya kita tidak boleh menghadam semuanya.”

Gattuso sangat berharap pasukan kendaliannya akan berjaya untuk menamatkan saingan liga musim ini dalam kelompok empat teratas.

Napoli kini berada di tangga kelima dalam saingan Serie A di pisahkan 9 mata sahaja di belakang Atalanta yang berada di kedudukan keempat.

“Walau bagaimanapun, kami tetap harus menghabiskan 12 lagi baki perlawanan terakhir dalam saingan liga musim ini dengan penuh bersemangat.”

“Apa yang penting saya mahu anak-anak buah saya jangan pernah berfikir untuk menyerah.”

Maurizio Sarri pula kini sudah tewas dalam dua perlawanan akhirnya selepas mengambil alih tugas menjadi jurulatih Juventus.

Beliau merasakan anak-anak buahnya sudah mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan itu selepas berehat hampir tiga bulan sebelum ini.

“Saya berasa kecewa dan sedih untuk kelab dan peminat, namun buat masa ini kami tidak dapat menyatakan lebih banyak lagi.”

Jelasnya kepada Rai Sport.

“Kami telah berusaha menekan pihak lawan di garisan lebih tinggi, keadaan kami sedikit tidak optimal, namun kami tetap berjaya melakukan yang terbaik dalam perlawanan ini.”

“Saya cuma berdiam diri dan tidak bercakap apa-apa kepada para pemain, kami semua sangat marah dan kecewa jadi saya fikir lebih baik saya berdiam diri diwaktu ini. Kami akan bedah siasat di mana kekurangan dan apa yang perlu kami perbaiki lagi kemudian hari.”

BACA:  Bonucci Naik Hantu Dan Hampir 'Rembat' Setiausaha Kelab Selepas Lihat Sanchez Jaringkan Gol Kemenangan Inter