Osimhen Keluar Kenyataan Selepas Pegawai Media Napoli Letak Jawatan

Penyerang Napoli Victor Osimhen akhirnya membuka suara mengenai video kontroversi oleh media sosial rasmi kelab yang mempersendakan dirinya pada awal minggu lalu.

Osimhem sebelum ini menjadi bahan gurauan melampau dua klip video oleh Napoli di media sosial. Video pertama memaparkan dirinya gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Klip kedua pula melabel Osimhen sebagai sebiji buah kelapa dan ramai yang bertanggapan video tersebut berunsurkan warna kulit.

Selepas video tersebut menjadi tular, ejen pemain itu kemudiannya mengugut untuk menyaman Napoli dan pihak kelab kemudiannya melalui satu kenyataan berkata mereka tidak berniat untuk merendah-rendahkan penyerang utama mereka itu.

Dan beberapa hari selepas video tersebut dipadam, Pegawai Eksekutif Media Napoli melepaskan jawatannya bersama kelab itu.

Osimhen bagaimanapun tampil menyeru semua pihak di Napoli untuk kembali bersatu dan turut berterima kasih kepada penyokong yang tidak putus-putus memberikan sokongan terhadapnya berikutan insiden tersebut.

“Pilihan untuk datang ke bandar Naples pada 2020 adalah keputusan yang sangat hebat untuk saya. Penduduk di Napoli telah menunjukkan saya rasa kasih dan amat baik hati.

“Dan saya tidak akan membenarkan sesiapa untuk menjadi penghalang.

“Semangat dan kesungguhan penduduk Naples sentiasa memberikan saya semangat luar biasa untuk bermain sepenuh hati dan jika. Dan perasaan cintakan lencana ini sentiasa membuak membuatkan saya memakai [jersi] dengan penuh rasa bangga.

“Tuduhan terhadap penduduk Naples adalah tidak benar. Saya mempunyai ramai kenalan yang merupakan Napolitans dan telah menjadi sebahagian daripada keluarga dalam kehidupan seharian.

“Saya menghargai suara rakyat Nigeria dan semua orang yang tampil menghubungi saya untuk menyatakan sokongan.

“Selama-lamanya saya bersyukur untuk itu. Mari kita sama-sama bersatu, saling hormat menghormati dan memahami satu sama lain dengan lebih lagi.

“FORZA NAPOLI SEMPRE.”

Osimhen sebelum ini bertindak memadam semua foto dirinya dengan jersi Napoli di akaun media sosial peribadinya, selain turut enggan mengambil sepakan penalti pada perlawanan menentang Leece pada hujung minggu lalu.

Osimhen turut menerima permohonan maaf daripada Pengarah Napoli secara peribadi pada Rabu lalu, namun kecewa kerana pihak kelab tidak melakukannya secara terbuka.

BACA:  Presiden Napoli Umum Tidak Akan Lagi Beli Pemain Afrika