Osimhen Enggan Rai Gol Lawan Udinese Selepas Diejek Kelab Sendiri

Victor Osimhen menjaringkan gol kedua Napoli dalam perlawanan menentang Udinese pada Rabu selepas tampil sebagai pemain kesebelasan utama walaupun hubungannya dengan kelab itu menjadi keruh sejak lebih 24 jam lalu.

Pemain antarabangsa Nigeria itu menamatkan penantian empat perlawanan tanpa sebarang jaringan, namun memilih untuk tidak meraikan jaringan tersebut untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap tindakan Napoli mempersendakannya di media sosial baru-baru ini.

Sememangnya dikenali sebagai pemain yang akan meraikan jaringan secara habis-habisan setiap kali menemui sentuhan penyudah, Osimhen kali ini tidak memberikan sebarang reaksi tatkala rakan sepasukan yang lain datang untuk mengucapkan tahniah.

Osimhen sebelum ini rasa terkilan dan sedang mempertimbangkan untuk menyaman kelab sendiri selepas satu muat naik di akaun TikTok rasmi kelab mempersendakan dirinya.

Keengganan penyerang berusia 24 tahun itu meraikan jaringan dilihat sebagai episod baru hubungan keruh pemain itu dengan kelab, setelah Osimhen turut bertindak memadam semua foto dirinya bersama Napoli di akaun Instagram peribadinya.

Video yang membuatkan Osimhen terasa hati memaparkan pemain itu merayu untuk mendapatkan penalti, tetapi turut disertakan dengan audio melucukan dengan caption ‘Gimme penalty please’. Pemain itu kemudiannya merembat liar penalti tersebut.

Video kedua menyamakan Osimhem dengan sebiji kelapa dan kritikan turut ditujukan kepada Napoli kerana mengeluarkan video yang dianggap berbaur perkauman.

Dalam perlawanan pada awal pagi tadi itu, Osimhen menggandakan kedudukan Napoli pada minit ke-39 setelah pemain tengah Poland, Piotr Zileonski meletakan pasukan itu di hadapan melalui sepakan penalti.

Sebelum itu Osimhen turut enggan menolak permintaan untuk mengambil sepakan tersebut sebelum ianya disempurnakan oleh Zileonski.

Osimhen bagaimanapun dikeluarkan pada babak kedua oleh Rudi Garcia. Penyokong Napoli yang hadir di Stadium Diego Maradona turut menyatakan sokongan kepada pemain itu.

Sebelum ini ejen pemain itu Roberto Calenda memberi bayangan Osimhen akan menyaman kelabnya sendiri kerana video yang kini telah dipadam.

BACA:  Osimhen Mahu Saman Napoli Yang Mengejeknya Penalti Tak Masuk