Newcastle Kemuka Bidaan £82 Juta Untuk Bintang Napoli

Newcastle United dilaporkan telah melakukan bidaan bernilai £82 juta untuk mendapatkan pemain tengah menyerang dan pemain sensasi Napoli, Khvicha Kvaratskhelia.

Menurut laporan Corriere Dello Sport, Newcastle telah menawarkan jumlah yang besar itu selepas tertarik dengan kemampuan pemain berasal dari Georgia itu pada musim lalu menjaringkan 12 gol selain menghasilkan 13 assist untuk membantu Napoli meraih kejuaraan Serie A pada musim lali.

Sekiranya bidaan untuk pemain berusia 22 tahun itu diterima, maka Kvaratskhelia akan menjadi rekod perpindahan termahal yang pernah dibayar oleh Newcastle.

Pasukan dengan nama jolokan The Magpies sebelum ini telah mengesahkan ketibaan Sandro Tonali dari AC Milan dengan nilai perpindahan £55 juta,dan bersedia untuk mengegarkan pasaran pemain di Itali pada musim panas ini.

Tonalo dan Kvaratskhelia dilihat oleh pengurus pasukan Eddie Howe sebagai pembelian yang sangat diperlukan Newcastle yang akan beraksi di saingan UEFA Champions League pada musim hadapan.

Prestasi Kvaratskhelia bersama Napoli adalah antara daya tarikan Serie A pada musim lalu.

Napoli mendatangkan pemain antarabangsa Georgia itu dengan nilai €11.5 juta daripada Dinamo Batumi pada Julai tahun lalu, namun pemain muda itu pantas menjadi antara pemain sayap paling mendapat tumpuan walaupun beraksi hanya semusim bersama kelab Naples itu.

Presiden Napoli Aurelio de Laurentis sebelum ini menekankan Kvaratskhelia dan rakan sepasukannya Victor Osimhen bukanlah pemain untuk dijual.

Namun demikian tidak dapat dipastikan sejauh manakah bidaan daripada Newcastle ini akan menguji De Laurentis dan Napoli – mengambil kira jumlah keuntungan yang akan diraih oleh kelab.

BACA:  Klopp: Liverpool Patut Bayar 'Double' Untuk Alisson !