Gerrard Berjaya Pukau Pimpinan Villa Sejak Dari Hari Temuduga Lagi

Steven Gerrard akan turun mengendalikan Aston Villa buat pertama kalinya pada malam ini, menentang Brighton & Hove Albion di Villa Park.

Legenda Liverpool itu memiliki tugas yang sangat berat menanti beliau pada malam ini, dengan pimpinan kelab dan para penyokong sangat berharap beliau mampu membantu Villa mencatatkan kemenangan.

Lima kekalahan secara berturut-turut menyebabkan Dean Smith kehilangan pekerjaan dan tempatnya terpaksa digantikan oleh Steven Gerrard.

Aston Villa pada ketika ini berada di kedudukan ke-16 dalam carta saingan liga dengan mereka hanya dua mata sahaja dipisahkan dari zon penyingkiran.

Kekalahan 1-0 di tangan Southampton sebelum rehat antarabangsa membuktikan yang Dean Smith sememangnya tidak mampu lagi untuk memimpin Aston Villa.

Dan kerana itulah pihak kelab memutuskan untuk memecat beliau dan mencari pengganti yang baru dalam usaha untuk menyelamatkan kelab dari tersingkir.

Christian Purslow dan Johan Lange sama sekali tidak meragui kemampuan Gerrard dalam menggalas tugas sebagai pengendali kelab yang baru.

Ia kerana mereka benar-benar terpukau dengan semangat dan perancangan yang Gerrard tunjukkan ketika sesi temuduga sebelum ini.

Menurut laporan dari Daily Telegraph, bekas ketua pasukan England itu menjadi calon kegemaran untuk mengendalikan Aston Villa selepas melalui lima jam sesi temuduga yang penuh mengujakan.

Laporan tersebut turut menyatakan tentang bagaimana Gerrard memukau kelab dengan perancangan masa depan beliau dan bagaimana kagumnya kelab melihat persediaan beliau pada ketika itu.

Gerrard menunjukkan perancangan beliau menggunakan ‘Powerpoint presentation’ tentang kekuatan dan kelemahan setiap pemain yang ada dalam skuad Aston Villa pada ketika ini.

Bekas pengurus Rangers itu turut ditanya beberapa soalan tentang bagaimana beliau mahu membawa philosophy dan kaedah latihan serta corak permainan beliau.

Jawapan yang Gerrard berikan membuatkan tukang temuduga beliau hilang kata-kata dan hanya mampu mengagumi sahaja segala perancangan beliau.

“Ia merupakan temuduga yang sungguh luar biasa menakjubkan dan membuatkan kami langsung tidak ragu-ragu yang dia adalah orang yang paling tepat.”

Jelas Purslow.

“Dari sudut pandangan saya, kami memang terpukau dan teruja, dan kami benar-benar jelas dengan segala penerangan serta perancangan dia.”

Laporan sama turut menjelaskan tentang bagaimana Lange menggunakan data dan analitik untuk memilih 20 senarai pendek calon pengurus untuk menggantikan Dean Smith.

Aura serta semangat para pemain juga dilihat berbeza sejak ketibaan Steven Gerrard, dengan pengurus baharu kelab itu juga turut sudah mengadakan perjumpaan bersama para pemain, untuk menjelaskan apa yang beliau mahu dari setiap pemain.

Kehebatan dan kemampuan Steven Gerrard sememangnya tidak boleh diragukan kerana beliau memiliki rekod yang sungguh menakjubkan sebagai seorang pengurus.

Gerrard meninggalkan Juara bertahan saingan Scottish Premiership, Rangers untuk menyertai Aston Villa, seterusnya memulakan karier barunya sebagai pengurus di England.

Beliau telah menandatangani kontrak perjanjian selama tiga tahun setengah untuk mengendalikan Aston Villa yang merupakan kelab Inggeris pertama akan beliau kendalikan.

Aston Villa juga dilaporkan sudah membayar pampasan bernilai £3 juta ke £4 juta kepada Rangers untuk mereka mendapatkan khidmat Gerrard bersama pembantunya, Gary McAllister.

Ini bukanlah kali pertama untuk Gary McAllister melatih Aston Villa, dengan beliau juga merupakan pembantu jurulatih kelab ketika era kendalian Gerard Houllier pada musim 2010/11.

Legenda Liverpool yang kini berusia 41 tahun itu mula mengurus Rangers pada tahun 2018, dan berjaya membantu gergasi Scotland itu untuk memenangi gelaran liga musim lalu.

Beliau berjaya menghentikan dominasi Celtic dari memenangi gelaran liga ke-10 berturut-turut, seterusnya membantu Ranger memenangi gelaran liga ke-55 mereka dengan rekod cemerlang tanpa kalah sepanjang musim.

Kehebatan beliau menjadi pengurus di Scotland memperlihatkan Gerrard berjaya memenangi anugerah SFWA Manager of the Year, PFA Scotland Manager of the Year dan SPFL Manager of the Year.

Aston Villa akan menjadi kelab kedua yang dikendalikan oleh Steven Gerrard selepas beliau mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak pada tahun 2016 yang lalu.

Sangat menarik untuk menyaksikan apa yang mampu beliau lakukan pada malam ini, untuk membantu Aston Villa mencatatkan kemenangan bertemu pasukan yang sedang dalam prestasi terbaik mereka, Brighton.

Adakah Gerrard akan mampu buktikan sesuatu malam ini? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jordan Henderson Ditawarkan £700,000 Seminggu Tinggalkan Liverpool Untuk Sertai Al Ettifaq